Kerajaan negeri mengakui media massa memainkan peranan penting dalam mempromosikan kecemerlangan bidang pendidikan di Terengganu sejak kebelakangan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman berharap wartawan terus menyiarkan berita-berita mengenai kecemerlangan bidang pendidikan di Terengganu supaya rakyat tahu betapa kerajaan negeri begitu cakna soal pendidikan rakyat.
“Kerajaan negeri sudah melakukan bermacam-macam usaha dan mengeluarkan peruntukan yang besar pada setiap tahun agar Terengganu terus cemerlang dalam bidang pendidikan,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa meraikan wakil media massa di Taman Tamadun Islam, malam kelmarin.
Kira-kira 50 orang wartawan, jurufoto dan jurukamera mewakili pelbagai organisasi media hadir pada majlis tersebut.
YB Haji Ahmad Razif berkata, kehebatan anak-anak Terengganu dalam pelajaran dan pelbagai kejayaan diraih dari semasa ke semasa telah berjaya meletakkan negeri ini di landasan terbaik ke arah menjadikannya Negeri Anjung Ilmu.
“Kita harap Terengganu akan terus kekal sebagai negeri terbaik dalam setiap peperiksaan utama, termasuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).