Halaman

25 August 2011

Hasrat 265 peneroka dapat hak milik jadi kenyataan

Oleh FAUZI MOHD



Seramai 265 peneroka dari kawasan Felda Kertih II, Dungun bersyukur selepas penantian hampir 29 tahun untuk mendapatkan hak milik tanah akhirnya menjadi kenyataan.

Suratan hak milik tanah itu disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said pada satu majlis di Dewan Sivik Felda Kertih II, petang semalam.

Lebih menggembirakan, sebahagian besar penerima hak milik berkenaan merupakan peneroka asal yang mula memasuki ladang sawit seluas 1,499 hektar itu pada 15 Oktober 1982.

Menteri Besar dalam ucapannya berkata, hak milik tersebut merupakan satu ‘anugerah’ yang mempunyai nilai tinggi selepas peneroka berhempas pulas membangunkan tanah terbabit.

Menurut beliau, tanah yang diterima mereka itu merupakan jaminan masa hadapan, bukan hanya untuk generasi pertama, tetapi generasi kedua, ketiga dan seterusnya.

“Setiap peneroka dan anak peneroka perlu menilai perit serta kepayahan sewaktu mula-mula meneroka kawasan Felda agar dapat menanamkan sifat keinsafan di dalam diri,” katanya.

Turut hadir isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Pegawai Daerah Dungun, Dato’ Mustaffa Abdul Rahman; Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh; Ahli Dewan Undangan Negeri Paka, Mohd. Ariffin Abdullah dan Ketua UMNO Bahagian Dungun, Dato’ Dr. Rosli Mat Hassan.

Sebelum itu, ketibaan Menteri Besar dan isteri telah diarak oleh lebih 50 peserta konvoi bermotosikal sejauh kira-kira tiga kilometer.

Felda yang mula diterokai oleh 321 peserta itu kini mempunyai 3,076 orang penduduk termasuk 142 orang usahawan manakala 195 orang anak peneroka terlibat dalam kerjaya profesional dan 90 orang telah melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Tambah beliau, pemberian itu merupakan satu rahmat dan hadiah sempena kedatangan bulan Ramadan serta sambutan Aidilfitri beberapa hari lagi.

"Jagalah tanah ini elok-elok untuk anak-anak dan cucu-cicit kita. Nak dapat geran bukannya mudah kerana kita perlu menunggu lebih 20 tahun dan ada yang telah meninggal dunia.

"Gunakan tanah ini sebaik mungkin, jangan dicagarkan atau dijual pada orang lain," kata Dato’ Seri Ahmad.