Halaman

24 August 2011

9,000 bubur lambuk diagih secara percuma

Oleh: Suriati Ali

Keenakan bubur lambuk Hotel YT Midtown (YT Midtown), Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu pasti dinanti pengguna jalan raya dan pengemar makanan itu setiap kali menjelang Ramadan.

Kebanyakan mereka tidak akan melepaskan peluang mengambil bubur lambuk yang diagih secara percuma di perkarangan hotel itu bermula jam 4.00 petang.

Penolong Pengurus YT Midtown, Puan Nik Roselin Nik Mohd Wawi, berkata sebanyak 9,000 bungkus bubur lambuk akan diagihkan sehingga akhir Ramadan di mana 300 bungkus disediakan untuk orang ramai pada setiap hari.

“Agihan yang dilakukan tiga hingga lima kakitangan itu mendapat sambutan sangat menggalakkan iaitu hanya mengambil masa kira-kira 30 minit.

“Pihak kami tidak ketinggalan melakukan kebajikan sepanjang 13 tahun penubuhan YT Midtown sehingga rata-rata mereka terutama penduduk setempat sudah mengetahui aktiviti ini yang dilaksanakan pada setiap Ramadan,” katanya.

Pengguna jalan raya, Ramdan Ismail, 36, berkata dia tidak akan melepaskan peluang mendapatkan bubur lambur percuma yang diberikan YT Midtown setiap kali menjelang Ramadan.

Katanya, keenakan dan kepekatan bubur lambuk hotel itu sememangnya tersohor sejak dulu lagi. Bagi mereka yang pernah mencuba pasti ingin mencuba buat kali seterusnya.

“Saya mengharapkan pihak YT Midtown meneruskan tradisi murni ini yang nyata dapat menaikkan imej hotel dan dapat membantu golongan berpendapatan rendah merasai bubur lambuk.