Halaman

23 August 2011

DUN Tepoh agih Dana Raya RM1.74 juta















YB Haji Muhammad Ramli menyampaikan Dana Raya kepada salah seorang warga emas

Oleh: Suriati Ali


Seramai 6,253 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh menerima Dana Raya secara berperingkat-peringkat membabitkan peruntukan RM1.74 juta.

Penduduk Felda Belara mencatatkan bilangan tertinggi menerima Dana Raya iaitu 405 penduduk diikuti Bukit Berangan (287), Kampung (Kg) Gemuroh (281), Kg Raja (249), Kg Padang Nenas (248) dan Kg Alor Jambu pula mencatatkan jumlah (237).

Agihan dana itu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat membabitkan 25 lokasi dengan bayaran bermula 14 ogos lalu dan berakhir 25 Ogos ini.

Mereka yang rata-ratanya warga emas, ibu tunggal dan bekerja sebagai petani, nelayan serta pekerja am nyata gembira menerima sumbangan itu berikutan mampu menampung perbelanjaan harian dan membeli kelengkapan Hari Raya Puasa.
















Penduduk setia menunggu giliran untuk menerima Dana Raya

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Tepoh YB Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata kerajaan berusaha membantu rakyat dalam apa jua sekalipun tanpa mengira bangsa dan peringkat umur.

Sehubungan itu, katanya, mereka perlu mengingati jasa yang sudah dihulurkan dan bukannya menghentam kerajaan dengan pelbagai perkara yang tidak berfaedah.

“Gunakan Dana Raya yang diterima ini sebaik mungkin dengan membeli pelbagai perkara yang berfaedah untuk keluarga,” katanya ketika berucap di beberapa Majlis Agihan Dana Raya yang dihadiri sebelum ini.

















Dua penerima gembira menerima Dana Raya masing-masing

Sementara itu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM50 juta pada tahun ini sebagai bantuan dana raya kepada golongan miskin di Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata ia merupakan tambahan sebanyak 10 peratus daripada tahun lepas berikutan peningkatan jumlah keluarga yang layak menerima bantuan itu.

"Pada tahun ini, seramai 160,000 keluarga layak menerima bantuan berbanding 150,000 pada tahun lepas.

“Pengagihan itu dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula minggu ketiga Ramadan dengan jumlah penerima antara 3,000 dan 6,000 orang di setiap kawasan DUN,” katanya.

Dana raya diagihkan mengikut beberapa kategori iaitu warga emas menerima sumbangan sebanyak RM200, ibu tunggal (RM300) dan keluarga miskin memiliki anak melebihi empat orang layak menerima RM400.