Tokoh Wanita Terengganu kepada Dato’ To’ Puan Seri Ashiahton Fadzullah Suhaimi.
Golongan wanita di negeri ini memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada perpaduan serta rakan kongsi dalam proses merakyatkan pembangunan Terengganu, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.
Menurutnya, fitrah wanita yang penuh dengan sifat keprihatinan, kesabaran dan penuh kelembutan menjadikan mereka sebagai insan yang layak menjadi ejen perpaduan dan pembangunan sosial negeri.
"Kerana itu wanita perlu diberi ruang dan peluang yang besar termasuk dalam bidang ekonomi serta soaial sekiranya kita mahu menjadi sebuah negeri maju, maka kita tidak boleh mengasingkan wanita sebagai modal insan,” katanya.
Beliau berucap pada Sambutan Hari Wanita peringkat Negeri Terengganu dan majlis berbuka puasa di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, Kuala Terengganu, petang semalam.
Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad dan Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah.
Hadir sama, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Mohd. Shafaruddin Mustaffa dan Ketua Wanita UMNO negeri' Dato' Fatimah Hamat.
Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan Anugerah Tokoh Wanita Terengganu kepada Dato’ To’ Puan Seri Ashiahton Fadzullah Suhaimi yang juga isteri kepada bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.
Dengan tema ‘Wanita Penjalin Perpaduan’ anugerah berkenaan sebagai menghargai dan mengiktiraf sumbangan penting tokoh itu kepada pembangunan wanita di negeri ini khususnya dalam memperkukuhkan kerjasama dan silaturahim.