Halaman

31 August 2011

Ribuan penduduk Besut serbu Rumah terbuka Aidifitri Wakil Rakyat

Oleh: Mohammad Ishak


Dewan MDB Besut penuh sesak dengan tetamu jemputan sempena Rumah terbuka Aidilfitri Idris Jusoh.

Penduduk daerah Besut memberi sokongan padu kepada pemimpin daerah ini apabila dua majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dianjurkan berasingan oleh mereka mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai sejak dibuka pada jam 9 pagi dan berakhir jam 2 petang ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi Mara, menganjurkan majlis di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, bagi memudahkan semua rakyat terutama ahli Umno bahagian hadir ke tempat berkenaan.

Orang ramai mula membanjiri dewan sejak jam 8 pagi lagi walaupun majlis sebenar bermula jam 9 pagi dan sukarelawan yang dilantik bertungkus lumus menjalankan tugas bagi mempastikan majlis berjalan lancar dan memuaskan hati setiap tetamu yang hadir.

Antara pemimpin yanh hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar, Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, Pegawai Daerah Besut, Ab Rahim Jusoh, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Wan Mohamad Ibrahim, Ketua Pegawai Exsekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman bersama isteri masing-masing dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Majlis bertambah meriah dengan kehadiran kaum Cina, Siam dan perantau yang pulang berhari raya di kampung turut mengambil peluang untuk bertemu pemimpin terbabit.

Sementara itu, ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad, mengadakan yang mengadakan majlis serupa di Pejabat Penyelaras DUN Hulu Besut, Pasir Akar, tidak kurang meriahnya apabila penduduk kawasan pedalaman membanjiri dewan penyelaras berkenaan.


YB Hulu Besut Nawi Mohamad tunjuk bakat membacuh teh tarik.

Selain beramah mesra dan melayani tetamu Nawi juga sempat menunjukkan bakat membacuh teh tarik dan mengagihkannya kepada orang ramai.

Kehadiran begitu ramai penduduk terhadap majlis yang dianjurkan oleh wakil rakyat berkenaan mencerminkan rakyat Besut begitu semangat dan memberi isyarat kepada pembangkang mereka tidak mudah dipengaruhi oleh pemimpin pembangkang.

BN makin kuat di Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, Barisan Nasional (BN) kehilangan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu, berikutan ‘tsunami’ yang melanda politik tanah air.

Lapan kerusi tersebut dimenangi calon Pas yang didokong oleh parti-parti pembangkang lain, termasuk DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun, atas usaha gigih pemimpin Umno dan bantuan pemimpin BN negeri dan Pusat, kedudukan Umno dan BN di negeri ini semakin kuat.

Setiap program yang dianjurkan oleh Umno dan BN dipenuhi orang ramai yang datang bukan kerana dikerah, tetapi bagi menunjukkan sokongan dan komitmen mereka terhadap program tersebut.

Berdasarkan prestasi semasa Umno dan BN Terengganu, sekurang-kurangnya empat daripada lapan DUN yang BN tewas sebelum ini dapat dikembalikan semula kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Hakikat ini dapat dicapai berdasarkan sokongan semasa rakyat Terengganu kepada Umno dan BN, khususnya kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang dilantik semula sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Berdasarkan perangkaan, sepanjang tahun lalu Umno berjaya mendaftar 34,000 orang sebagai pemilih manakala Pas hanya mampu mendaftar 10,000 pemilih baru.

Ini jelas menunjukkan sokongan rakyat semakin terarah kepada Umno dan BN yang semakin cemerlang dan menunjukkan prestasi baik dalam memerintah negara, khususnya menangani masalah ekonomi global.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula mengumumkan seramai 55,301 penduduk di Terengganu yang layak mendaftar sebagai pemilih, masih belum berbuat demikian.

Jika jentera pilihan raya Umno dan BN mengambil kesempatan mendaftarkan mereka sebagai pemilih, kedudukan BN pasti lebih kuat bagi menghadapi pembangkang pada PRU13.

Mereka bukan saja setakat mampu menawan balik empat kerusi yang dimenangi pembangkang, tetapi tidak mustahil jika meraih lebih daripada itu.

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA - YB KHAZAN

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Kazan Che Mat mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Terengganu, khususnya para pelayar blog teganukita.blogspot.com.

Beliau berdoa dan mengharapkan mudah-mudahan puasa dan ibadah-ibadah kita di sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini diterima oleh Allah s.w,t.

“Selamat hari raya Aidilfitri daripada saya dan keluarga, maaf atas segala salah dan silap selama ini,” katanya kepada Teganukita.

Beliau meminta kepada mereka yang berada jauh di perantauan dan ingin pulang ke kampung supaya berhati-hati sewaktu berada di jalan raya dan mematuhi segala peraturan ditetapkan.

“Jangan jadikan hari raya hari yang duka, biarlah keluarga di kampung menerima kita dalam keadaan selamat,” ujar beliau.

30 August 2011

Rumah Terbuka Menteri Besar meriah

Oleh FAUZI MOHD



Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri hari ini begitu terasa apabila lebih 15,000 orang pengunjung berbilang bangsa hadir bagi meraikannya di Rumah Terbuka Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Semangat 1Malaysia nyata terpancar di wajah setiap pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat yang sama-sama hadir untuk meraikan dan memeriahkan sambutan bersama umat Islam itu.

Biarpun acara rumah terbuka untuk orang ramai bermula pada pukul 10 pagi, tetapi pengunjung telah mula tiba sejak pukul 8 pagi bagi mengelakkan kesesakan dan mengambil peluang untuk bersalaman dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Menteri Besar dan isteri, To' Puan Seri Norliza Mahmud.

Pengunjung disajikan dengan pelbagai juadah istimewa dan makanan tradisional seperti lemang, ketupat dan rendang selain dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu Hari Raya.

Seorang pengunjung, Abdul Malik Yusof, 51, berkata, beliau bersama isteri dan tiga anak perempuannya yang pertama kali menghadiri rumah terbuka Menteri Besar itu bagi merasai kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama pemimpin negeri.

"Pada mulanya, kami ingatkan majlis ini hanya untuk orang kenamaan sahaja. Sebaik sampai di sini saya berpeluang bersalam dengan Menteri Besar dan kami diraikan bersama " katanya yang juga guru Matematik dari Chendering, Kuala Terengganu.

Bagi Cheah Wan Ning, 21, berkata, beliau seronok untuk meraikan Hari Raya bersama teman-temannya yang beragama Islam, malah setiap tahun rumah terbuka Menteri Besar adalah tempat yang mesti disinggah.

"Saya begitu gembira dapat datang ke rumah terbuka ini dan melihat pemimpin negeri secara lebih dekat. Paling penting, saya juga dapat duit raya,” katanya sambil tersenyum riang.

Sementara itu, di luar Seri Iman, lebih 10 khemah dipasang berserta kerusi dan meja untuk orang ramai menjamu selera sambil berbual mesra antara satu sama lain dan tidak melepaskan peluang bergambar di kawasan sekitar itu.


MB sertai 3,000 jemaah solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Mukhtafi Billah Shah

Oleh FAUZI MOHD



Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said hari ini menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Mukhtafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu bersama-sama rakyat sekitarnya.

Segak dengan lengkap berpakaian baju Melayu, beliau dan isteri, To' Puan Seri Norliza Mahmud hadir diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mazlan Ngah dan Mufti Negeri, Dato' Dr. Alias Abdullah serta beberapa pemimpin negeri yang lain.

Solat Aidilfitri diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Aizi Saidi Abdul Aziz sebelum menyampaikan khutbah bertajuk 'Kemerdekaan Hakiki'.

Kira-kira 3,000 umat Islam yang meriah dengan pakaian berwarna-warni membanjiri perkarangan masjid berkenaan sejak 7 pagi bagi menunaikan solat Aidilfitri serta melaungkan takbir raya.

Mereka juga mengambil kesempatan untuk bersalaman dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Dato' Seri Ahmad.

Ribuan kunjungi rumah terbuka Aidilfitri dan Merdeka bersama MB

Oleh : Ruslan Abdul Rahman, Gambar : Harish Fadzillah


Ribuan pengunjung menghadiri rumah terbuka Aidilfitri dan Merdeka bersama Menteri Besar, Dato' Seri Hj Ahmad bin Said di kediamannya di Seri Iman.


Dato' Seri Ahmad dan isteri To' Puan Seri Norliza bersama keluarga menyambut dan bersalaman dengan para pengunjung terdiri dari semua peringkat rakyat.

Ia menggambarkan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan YAB Dato' Seri Ahmad dan Barisan Nasional khususnya di negeri Terengganu.

SEKITAR SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL FITRI DI RUMAH YAB MENTERI BESAR




































Masjid Kayu Seberang Jertih menjadi tumpuan umat Islam

Oleh: Mohammad Ishak


Masjid Kayu Seberang Jertih menjadi pilihan umat Islam sekitar bandar Jertih yang ingin menunaikan solat sunat Aidilfitri hari ini apabila lebih 1,000 jemaah berkunjung ke masjid yang dianggap paling unik di negara ini.

Upacara solat sunat berkenan juga mencatat sejarah kerana ia pertama kali diadakan di masjid itu selepas ia mula beroperasi kira-kira sebulan lalu.

Masjid berharga RM12 juga dibina pada awal 2010 satu-satunya masjid di negara ini yang mengunakan 90 peratus kayu cengal dan dianggap unik dengan keaslian seni bina Melayu yang mengekalkan ciri-ciri Islam.


Ceria...masyarakat Islan di Jertih memilih Masjid Kayu Seberang Jertih untuk solat Aidilfitri

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih,Datuk Seri Idris Jusoh, yang mengilhamkan pembinaan masjid berkenaan turut serta menunaikan solat Aidilfiri bersama masyarakat Islam lain termasuk perantau yang baru kembali ke kampung.

Selain mempunyai reka bentuk menarik masjid itu juga mempunyai pelbagai kemudahan asas termasuk dewan solat, pusat sumber, kolah besar dan lanskap untuk kawasan rekreasi kepada orang ramai yang berkunjung mengerjakan ibadat di situ.

Setiausaha Masjid itu, Abd Aziz Hassan, berkata masjid itu bakal menjadi tumpuan pelancong kerana keindahan seni bina yang menarik selain kedudukkanya di tepi laluan utama jalan Jertih-Kota Bharu dan Kuala Terengganu.

MB bangga ramai anak didik Terengganu berjaya

Oleh: Suriati Ali




Kerajaan negeri cukup bangga kerana apa yang disumbangkan kepada pelajar sebelum ini mula menampakkan hasil yang membanggakan sama ada dalam bidang pendidikan mahupun sukan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sebagai bukti Mohd Firdaus Samsuddin, 23, dari Kampung Kemat, Hulu Terengganu, yang baru saja menamatkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang Bioteknologi di Imperial College, London, ditawarkan melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka dunia, Universiti Oxford, akhir tahun ini.

Katanya, Mohd Firdaus yang merupakan antara lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2005 terbaik di peringkat kebangsaan, ditawarkan mengikuti pengajian peringkat sarjana di bidang Sains Biochemistry di universiti berkenaan.

“Manakala pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Lau Jia Cheng terus melakar kejayaan apabila ditawarkan melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi di University Of Cambridge, London, akhir September ini

“Itu antara contoh mereka yang berjaya dalam bidang pendidikan, manakala ahli sukan yang berjaya mengharum nama Terengganu pula adalah Mohd Azizulhasni Awang, Anuar Manan dan Fatehah Mustafa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas majlis Penyampaian Bantuan Persediaan di Stadium Tertutup, Komplek Gong Badak, Kuala Terengganu baru-baru ini .

Seramai 4,062 pelajar yang bakal menyambung pelajar ke peringkat ijazah menerima wang tunai membabitkan jumlah keseluruhan RM4.6 juta di mana setiap pelajar menerima RM1,000 seorang.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Norliza Mahmud; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pengarah YT, Haji Aziz Mamat, beberapa wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan.

Pelajar lepasan Universiti Institut Teknologi Maklumat (UiTM) Dungun, Noor Asmanira Arifin, berkata dia bersyukur ke hadrat Illahi dan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi memberi sumbangan berupa wang tunai kepada kami semua yang menyambung pelajaran ke peringkat ijazah.

Katanya, sumbangan yang cukup berharga ini nyata mampu meringgankan beban keluarga yang hanya memperoleh pendapatan hasil ayah berkerja sebagai petani.

“Paling utama saya akan membelanjakan duit yang diterima ini untuk membayar yuran pengajian dan membeli kelengakapan belajar di universiti nanti,” katanya yang akan menyambung pengajian peringkat ijazah di UiTM Melaka dalam bidang Sistem Maklumat Perakuanan.



MB ucap Selamat Hari Raya

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengajak umat Islam di seluruh negeri supaya mengetepikan fahaman politik, sebaliknya mengambil kesempatan sambutan Aidilfitri untuk mengeratkan hubungan sesama mereka.

Beliau berkata, mereka tidak sepatutnya berselisih faham disebabkan perkara remeh temeh kerana ia bukan saja bertentangan dengan ajaran Islam, tetapi juga merugikan agama, bangsa dan negara.

“Pada hari baik dan bulan yang mulia ini kita perlu bermaaf-maafan antara satu sama lain dan lupakan sengketa lama.

“Lebih elok lagi jika kita sama-sama mengajak generasi baru agar mengekalkan tradisi berkunjung dari rumah ke ramah bagi mengeratkan lagi silaturahim,” katanya ketika memberi perutusan Aidilfitri di Kediaman Seri Iman, baru-baru ini.

Menteri Besar dan keluarga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat Malaysia dan rakyat Terengganu khususnya.

“Saya harap kita semua menyambut Aidilfitri dengan penuh keriangan dan semangat muafakat serta perpaduan,” ujar beliau.

Beliau turut mengingatkan kepada para perantau yang ingin pulang menyambut lebaran bersama ahli keluarga di kampung halaman masing-masing supaya berhati-hati semasa memandu pulang.

“Saya harap perantau memandu secara berhati-hati, jangan gopoh dan elakkan tragedi. Tidak ada gunanya kita mahu cepat pulang dan melanggar peraturan jalan raya, tetapi pada masa yang sama terlibat dengan kemalangan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, di segi kerajaan pula pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik, termasuk menyediakan rangkaian jalan raya yang elok dan sempurna serta selamat dilalui.

29 August 2011

Rumah terbuka MB Hari Raya Aidilfitri pertama



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan mengadakan rumah terbuka di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk pada hari raya pertama mulai jam 10 pagi hingga 3 petang.

Orang ramai boleh datang ke situ bagi mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada Menteri Besar dan keluarga serta pemimpin kerajaan negeri yang turut hadir pada majlis berkenaan.

Dato’ Seri Haji Ahmad akan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama Ahli-Ahli Perwakilan Pemangku Raja di Masjid al-Muktabillah Shah, Ladang.

Selepas itu, beliau dijadualkan mengiringi Ahli-Ahli Perwakilan Raja dan isteri ke Makam Diraja.

Beliau kemudiannya akan pulang ke Kediaman Seri Iman bagi meraikan tetamu yang berkunjung bagi mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan menjamu selera sempena perayaan tahun ini.