Halaman

30 August 2011

Rumah Terbuka Menteri Besar meriah

Oleh FAUZI MOHD



Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri hari ini begitu terasa apabila lebih 15,000 orang pengunjung berbilang bangsa hadir bagi meraikannya di Rumah Terbuka Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Semangat 1Malaysia nyata terpancar di wajah setiap pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat yang sama-sama hadir untuk meraikan dan memeriahkan sambutan bersama umat Islam itu.

Biarpun acara rumah terbuka untuk orang ramai bermula pada pukul 10 pagi, tetapi pengunjung telah mula tiba sejak pukul 8 pagi bagi mengelakkan kesesakan dan mengambil peluang untuk bersalaman dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Menteri Besar dan isteri, To' Puan Seri Norliza Mahmud.

Pengunjung disajikan dengan pelbagai juadah istimewa dan makanan tradisional seperti lemang, ketupat dan rendang selain dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu Hari Raya.

Seorang pengunjung, Abdul Malik Yusof, 51, berkata, beliau bersama isteri dan tiga anak perempuannya yang pertama kali menghadiri rumah terbuka Menteri Besar itu bagi merasai kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama pemimpin negeri.

"Pada mulanya, kami ingatkan majlis ini hanya untuk orang kenamaan sahaja. Sebaik sampai di sini saya berpeluang bersalam dengan Menteri Besar dan kami diraikan bersama " katanya yang juga guru Matematik dari Chendering, Kuala Terengganu.

Bagi Cheah Wan Ning, 21, berkata, beliau seronok untuk meraikan Hari Raya bersama teman-temannya yang beragama Islam, malah setiap tahun rumah terbuka Menteri Besar adalah tempat yang mesti disinggah.

"Saya begitu gembira dapat datang ke rumah terbuka ini dan melihat pemimpin negeri secara lebih dekat. Paling penting, saya juga dapat duit raya,” katanya sambil tersenyum riang.

Sementara itu, di luar Seri Iman, lebih 10 khemah dipasang berserta kerusi dan meja untuk orang ramai menjamu selera sambil berbual mesra antara satu sama lain dan tidak melepaskan peluang bergambar di kawasan sekitar itu.