Halaman

03 September 2011

Pelancong serbu Pulau Perhentian

Oleh: Mohammad Ishak


Jeti Pelancongan Kuala Besut penuh sesak dengan bot membawa pelancong ke Pulau Perhentian.

Cuti berpanjangan sempena sambutan Aidilfitri tahun ini memberi rezeki lebih kepada industri pelancongan terutama pengusaha chalat dan bot apabila ramai pelancong asing memilih Pulau Perhentian sebagai destinasi utama untuk dikunjungi.

Kehadiran begitu ramai pelancong asing yang berkunjung ke pulau peranginan terkenal itu mampu meningkatkan lagi ekonomi penduduk setempat terutama mereka yang terbabit secara langsung dalam sektor pelancongan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut,Dr A Rahman Mokhtar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, mengakui setiap kali musim perayaan pulau berkenan menjadi tumpuan pelancong terutama dari luar negara.

Katanya, beliau dimaklumkan oleh pengusaha bot purata jumlah kemasukan pelancong ke pulau itu pada setiap hari adalah antara 500 hingga 1,000 orang jumlah itu akan meningkat pada musim cuti umum.

Menurutnya, sepanjang bulan Ramadan lalu pulau itu juga tidak sunyi daripada dikunjungi pelancong terutama dari negara Eropah yang memang menyukai keindahan pulau berkenaa.

Dr A Rahman berkata, sebagai destinasi pelancongan popular pihak berkuasa juga turut membuat pemantauan bagi mempastikan tahap keselamatan pelancong dan bot yang digunakan sentiasa dalam keadaan baik dan selamat.

Katanya, pegawai Jabatan Laut yang ditempatkan di jeti pelancongan Kuala Besut sentiasa membuat pemeriksaan rapi terhadap setiap penumpang bot agar mereka sentiasa memakai jaket keselamatan ketika nenaiki bot.

Beliau berkata menjelang akhir tahun ini dianggarkan kira-kira 90,000 pelancong akan berkunjung ke pulau berkenaan yang ingin melihat keindahan alam semula jadi yang menakjubkan selain permandangan menarik pada waktu senja.