Halaman

04 September 2011

Hidupkan tradisi ziarah menziarahi


Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sempena musim perayaan Aidilfitri yang masih disambut dengan penuh meriah ini, kita semua patut menyahut pesanan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said supaya mengekalkan tradisi kunjung mengunjung dari rumah ke rumah.

Sesungguhnya tradisi ini dapat mengeratkan tali silaturahim antara saudara-mara, jiran tetangga dan sahabat handai, terutama jika mereka sangat jarang bertemu pada waktu-waktu lain melainkan di musim perayaan.

Dalam perutusan yang disiarkan dalam keluaran khas Teganukita, Menteri Besar mengajak umat Islam di seluruh negeri supaya mengetepikan fahaman politik, sebaliknya mengambil kesempatan sambutan Aidilfitri untuk mengeratkan hubungan sesama mereka.


Beliau berkata, mereka tidak sepatutnya berselisih faham disebabkan perkara remeh temeh kerana ia bukan saja bertentangan dengan ajaran Islam, tetapi juga merugikan agama, bangsa dan negara.

“Lebih elok lagi jika kita sama-sama mengajak generasi baru agar mengekalkan tradisi berkunjung dari rumah ke ramah bagi mengeratkan lagi silaturahim,” kata beliau.
Sejak kebelakangan ini, tradisi tersebut sudah semakin dilupakan, terutama di kalangan generasi muda.

Mereka lebih gemar ‘lepak’ di depan televisyen atau merempit bersama-sama rakan sebaya pada hari raya dan sepanjang musim perayaan.

Golongan dewasa patut mendidik generasi muda mengamalkan tradisi kunjung mengunjung, dimulai dengan rumah saudara-mara, diikuti jiran tetangga dan sahabat handai.

Pada musim ini juga kita perlu bermaaf-maafan dan melupakan segala perselisihan faham, termasuk perbalahan disebabkan ideologi politik yang berbeza.

Kita semua tidak patut menjadikan perbezaan fahaman politik sebagai penyebab untuk bermasam muka sepanjang waktu dan memutuskan tali silaturahim antara saudara mara dan jiran sekampung.

Masalah ini bukan saja dilarang keras oleh agama, tetapi amat merugikan agama, bangsa dan negara.

Kita semua, ,khususnya masyarakat Melayu sepatutnya bersatu hati, bermuafakat dan sentiasa tolong menolong antara satu sama lain.

Jika kita bersatu, kita pasti akan kuat, bak kata pepatah ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.

Justeru, sebelum sambutan Aidilfitri melabuhkan tirainya, marilah kita sama-sama kunjung-mengunjung rumah rakan-rakan seagama dan bermaaf-maafan antara satu sama lain.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.