Halaman

08 September 2011

MB rai 96 pelajar ke luar negara

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman




Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, meraikan meraikan 96 pelajar Terengganu yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara, di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, hari ini.

Pelajar tersebut akan mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di tiga negara iaitu United Kingdom (11 orang), Rusia (66 orang) dan Jordan (19 orang).

Turut hadir pada majlis itu ialah Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh dan Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Haji Aziz Mamat.



Kerajaan Negeri melalui YT memperuntukkan sebanyak RM4 juta sebagai wang pendahuluan diri pelajar seberang laut Sesi 2011, dengan sebahagian besarnya akan melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Moscow, Rusia dan Jordan serta London.

Terdapat empat pelajar cemerlang yang akan melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka dunia iaitu Mohd Firdaus Samsudin yang akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford, Lau Jia Cheng (Universiti Cambridge), Ester Ng Feng Ying (Kings College, London) dan Kharina Abdullah (London School of Economics).



“Kerajaan Negeri mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua anak-anak Terengganu yang cemerlang. Kalau dapat cemerlang lagi, kita mungkin akan pertimbangkan untuk beri biasiswa,” kata Menteri Besar.

“Cuma satu pesanan saya, agar mereka belajar bersungguh-sungguh dan tidak terlibat dengan perkara-perkara yang boleh menjejaskan pelajaran mereka. Kalau mereka yang gagal, siapa yang rugi,” tambahnya.