Penolong Kurator Sejarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT), Encik Azuan Harun selaku penyelaras pameran berkata antara lain, pameran itu bertujuan menyalurkan maklumat kronologi persejarahan dan budaya negeri melalui penemuan dan pembuktian bahan-bahan arkeologi.
"Penemuan Bewah Man pada 2009 akan menjadi fokus utama pada seminar yang akan mengumpulkan lapan pembentang kertas kerja di kalangan anggota akademik daripada pelbagai bidang sebagai satu perkongsian ilmu," katanya.
Encik Azuan berkata lawatan ke tapak penemuan Bewah Man merupakan antara pengisian program pada seminar tiga hari di Dewan Batu Bersurat LMNT.
Sempena seminar yang diadakan dengan kerjasama Kerajaan Terengganu itu, satu pameran arkeologi Terengganu selama seminggu akan diadakan mulai 25 Sept di Galeri Mandika di muzium berkenaan.
Ia antara mempamerkan bukti-bukti penemuan arkeologi Bewah Man dan pelbagai alat zaman batu.
Azuan berkata sebagai perbandingan, beberapa bukti penemuan arkeologi dari luar Terengganu juga akan dipamer seperti Perak Man dan Batu Meteor.