Halaman

05 September 2011

Biskut raya Ziq digemari pelanggan

Oleh: Suriati Ali

Keenakan rasa lebih 30 jenis biskut raya dan kek milik 'Ziq Bakery & Cake' (Ziq) tidak perlu diperkenalkan lagi di kalangan pengemar tempatan yang sememangnya menjadi pilihan setiap kali menjelang Aidilfitri.

Almond london, royal capucino, sarang semut, tart gulung, tart nenas, conflakes, nestum, dahlia dan samprit menjadi pilihan utama pelanggan ketika mengunjungi Ziq di Gong Kapas, Gong Badak dan Mydin Mall Terengganu serta Mydin Mall Melaka.

Pemilik atau Pengurus Ziq, Puan Suzana Mohamed Salleh,36 sememangnya minat berniaga sejak dibangku sekolah lagi dan serius mendalaminya sejak 2000 dengan membuka Perusahaan Biskut dan Kek E-One.

Perniagaan itu diusahakan secara kecil-kecilan dan mengikut musim khususnya ketika menyambut hari raya dan Tahu Baru Cina.

Menyedari produk yang dijalankan itu mendapat sambutan menggalakkan, Puan Suzana nekad mengembangkan lagi sayap perniagaannya empat tahun kemudian.

Dengan menyewa sebuah rumah dua tingkat di Kampung Gong Pak Maseh, Kuala Terengganu wanita itu menjadikan premis itu pusat pengeluaran dan penginapan bagi pekerjanya.

Pada 2004, ibu kepada empat anak itu memperkayakan ilmu pembuatan makanan dengan mengikuti kursus jangka pendek di Malaysian Institute of Bakery (MIB) selama dua bulan.

Puan Suzana berkata, dia kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat diploma dalam bidang Baking Science and Technology di institusi sama selama dua tahun.

“Melihat keadaan pasaran kek, pastri dan bakeri tempatan yang banyak dimonopoli oleh bukan Islam, saya membuka sebuah kedai berkonsep moden menggunakan dua tahun kemudian di Gong Kapas,” katanya.

Selaku pengurus perniagaan itu, Suzana sebagai peniaga Islam berusaha memenuhi tuntutan agama yang meletakkan satu kewajipan menyediakan makanan suci, bersih dan halal kepada pelanggannya.

Pada Ogos 2008, perusahaan itu menjadi perniagaan perkongsian bersama suaminya, Badrul Hisham Zaki, 41, yang juga Pengarah Urusan di syarikat berkenaan.

Katanya, perniagaan mereka berkonsepkan 'dapur terbuka' yang membolehkan pelanggan melihat sendiri proses penyediaan produk yang hendak dibeli melalui jendela kaca.

"Ini akan memberi kepuasan dan keyakinan kepada pelanggan kerana mereka dapat melihat tahap kebersihan dalam proses pembuatan dan menilai kesucian produk yang dihasilkan.

"Maka lahirlah moto 'Bersih, Suci, Yakin' untuk Ziq dalam menghasilkan lebih 200 jenis kek, roti dan pastri pada hari ini," katanya.

Katanya, Anugerah Kilang Produk Halal Terbaik yang diterimanya pada Sambutan Maal Hijrah 1432 peringkat negeri baru-baru ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi lebih kepada satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat Islam.

"Ziq akan terus komited menjadikan perniagaan yang dimonopoli sepenuhnya bukan Islam sebagai satu industri makanan ala barat yang mampu menyediakan juadah 'Halalan Toyyiban' yang bersih suci dan diyakini,'' katanya.

Menurutnya, Ziq turut mendapat kepercayaan daripada agensi kerajaan untuk mengendalikan pelbagai kursus masakan kepada golongan sasaran seperti ibu tunggal dan usahawan kecil tempatan.

"Usahasama Ziq dengan agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) antara lain bertujuan memberi bimbingan dalam soal pembuatan produk yang baik serta prospek semasa perniagaan ini," jelasnya yang turut memiliki kilang membuat kek, bisku dan roti di Chendering, Kuala Terengganu