Halaman

09 September 2011

Terengganu lulus 5,167 lot tanah melalui 64 skim RTB

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri telah meluluskan 64 skim permohonan tanah melalui Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) sejak 2008 sehingga Julai lalu kepada rakyat di negeri ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, daripada jumlah itu 13 skim permohonan telah diluluskan pada 2008, 22 skim pada tahun 2009, 21 skim pada tahun 2010 dan lapan permohonan sehingga Julai lalu.

Katanya, ia melibatkan 5,167 lot tanah secara keseluruhan di semua tujuh daerah di Terengganu.

Menurut Dato' Seri Ahmad, daerah Marang mencatatkan jumlah kelulusan tanah yang tertinggi dengan 1,741 lot melalui 15 skim permohonan sehingga Julai lalu.

"Manakala di Besut kita menerima 10 skim permohonan sejak 2009 dan 2010, namun kita hanya meluluskan sembilan permohonan melibatkan 564 lot.

"Bagi daerah Dungun kita tidak menerima sebarang permohonan pada 2008, namun pada 2009 kita meluluskan dua skim melibatkan 62 lot manakala pada tahun lalu kita hanya meluluskan dua daripada tiga skim dengan 224 lot keseluruhan diperuntukkan," katanya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Menteri Besar memaklumkan sebanyak 553 lot diagihkan kepada penduduk di Hulu Terengganu setelah Kerajaan negeri meluluskan 10 skim permohonan yang dibuat sehingga kini.

Beliau berkata, setiap pemohanan yang diajukan perlu mematuhi prasyarat permohonan tanah yang telah dikeluarkan sebelum ini termasuk bagi status tanah haram.

Kerajaan Negeri katanya, telah bersetuju meluluskan satu lot baru di Kemaman dan lokasinya akan dikenal pasti. Sehingga kini sebanyak 744 lot telah diluluskan menerusi sembilan skim permohonan dibuat dan satu ditolak pada 2008.

"Di Kuala Terengganu dua permohonan diluluskan melibatkan 42 lot melibatkan perumahan pada 2008 dan pada 2009 ada 4 permohonan dengan 312 lot diluluskan.

"Tahun 2010 ada lapan skim melibatkan 327 lot dan satu skim pada tahun ini melibatkan 17 lot menjadikan 698 lot secara keseluruhan," ujarnya.

Sementara itu kata Dato' Seri Ahmad, daerah Setiu hanya tiga skim di pohon pada 2008 dan 2009 dengan melibatkan 643 kelulusan lot tanah diberikan kepada penduduk di daerah itu.

Katanya, jumlah keseluruhan ini tidak termasuk kelulusan yang telah diumumkan sebelum ini termasuk tapak tanah pertanian, tanah haram dan tapak rumah yang diluluskan.

"Setiap tapak rumah yang diluluskan, kerajaan hanya mengambil premium 10 peratus daripada jumlah nilai harga semasa.

"Sekiranya tanah haram kerajaan negeri hanya mengambil 15 peratus daripada jumlah harga semasa, manakala sekiranya skim tanah itu ada penolakan, kita hanya ambil 25 peratus," katanya.

Sebelum ini katanya, Kerajaan negeri mewujudkan polisi baru dalam urusan menukar syarat tanah sebagai usaha memantapkan lagi pentadbiran yang sebelum ini dilihat mengambil masa terlalu lama hingga mencecah setahun.

"Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2011, Kerajaan negeri telah meluluskan 613 permohonan dan hanya meluluskan 55 daripada 399 permohonan bagi tanah haram," jelasnya.