Halaman

04 September 2011

Menu rumah terbuka Aidilfitri anjuran ADUN Jabi menarik perhatian pengunjung

Oleh: Mohammad Ishak


Ramlan ditemani isteri (kiri) memotong ayam golek untuk diagihkan kepada tetamu.

Hidangan burung puyuh goreng celuk tepong dan ayam golek panas adalah antara menu yang mendapat sambutan luar biasa dikalangan tetamu yang mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali di kediamannya di Kampung Tanah Merah, kerandang, semalam.

Menu yang jarang disediakan itu berjaya menarik perhatian tetamu menyebabkan puyuh goreng tepung diserbu orang ramai yang ingin merasai kelazatannya selain ayam golek yang turut disediakan di situ.

Pendek kata, semua makanan dan minuman yang disedakan berkonsepkan tradisional yang membuatkan tetamu tidak jemu-jemu menjamu selera selain hidangan makanan lain yang disediakan sepanjang majlis diadakan.

Ramlan bersama isteri juga turut menyambut kehadiran tetamu yang hadir sambil beramah mesra dengan orang ramai dan mencerminkan sikap ramah dan mesra wakil rakyat berkenaan.

Malah,kata Ramlan, dia juga ada menerima kunjungan ramai ahli Pas dari daerah Besut dan Setiu yang hadir sama untuk berhari raya sekali gus membuktikan pemimpin Umno diterima semua pihak terutama daripada golongan bawahan.

Perkembangan menarik dan sihat ini sebenarnya turut berlaku hampir keseluruhan rumah terbuka yang dianjurkan oleh pemimpin Umno dari Bahagian Besut yang diadakan sebelum itu.

Ramlan yang gembira dengan perkembangan itu berkata, rakyat bawahan sebenarnya mulai sedar dengan kemampuan kerajaan pimpinan Umno dan tidak rugi menyokong parti itu kerana ia jelas sebuah kerajaan yang dinamik dan berkebajikan kerana sering membantu golongan yang memerlukan bantuan.