Pesanan dan ingatan ini mungkin boleh mengelak berlakunya perkara yang tidak diingini ketika berada di jalan-jalan raya pada musim perayaan atau hari-hari biasa.
Penolong Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) merangkap Imam Besar Terengganu, Haji Aizi Saidi Abdul Aziz menyarankan masyarakat khususnya orang Islam mengamalkan amalan sunah sebelum memulakan perjalanan menuju destinasi masing-masing.
Katanya, bagi mereka yang bermusafir, sangat digalakkan untuk melaksanakan solat Safar dua rakaat agar perjalanan yang dilalui dipermudahkan oleh-Nya.
“Amalan ini agak jarang dilakukan, sedangkan ia sebenarnya adalah salah satu ikhtiar sebagai umat Islam supaya perjalanan yang dilalui diberkati dan dilindungi Allah SWT,” katanya.
Menurutnya, sebagai umat Islam setiap amalan perlu bersandarkan agama dan ia tidak terhad apabila ditimpa kesusahan sahaja.
“Langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelakkan sebarang kemalangan atau perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Haji Aizi Saidi mengingatkan orang ramai khususnya pemandu perlu bertimbang rasa sewaktu berada di jalan raya dan melihat kesusahan orang lain sebelum melakukan sebarang tindakan yang boleh membawa musibah kepada keluarga dan juga orang sekeliling.