Halaman

10 September 2011

Klinik gigi bergerak dapat sambutan rakyat

Oleh: Mohammad Ishak


Kakitangan klinik gigi bergerak sedang memberi rawatan kepada seorang pesakit.

Perkhidmatan Klinik Gigi Bergerak yang disediakan Jabatan Kesihatan Terengganu yang memberi khidmat secara percuma kepada rakyat negeri ini mendapat sambutan daripada orang ramai.

Klinik berkenaan yang mengunakan dua kenderaan khas yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan sama seperti di klinik gigi mula diperkenalkan kepada penduduk terutama di kawasan luar bandar awal tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut berkata, kerajaan membelanjakan hampir RM 2 juta untuk menyediakan perkhidmatan berkenaan.

Katanya, kemudahan itu disediakan bagi membantu penduduk negeri ini mendapat khidmat rawatan dan pemulihan gigi secara percuma.

Menurutnya, seorang doktor dan lima pembantu pergigian termasuk pemandu disediakan bagi setiap unit kenderaan yang akan memasuki kampung setiap daerah mengikut jadual yang ditetapkan.

Beliau berkata, ketika ini semua kenderaan khas itu ditempatkan di Kuala Terengganu akan menjelajah ke setiap daerah untuk memberi perkhidmatan kepada orang ramai.

“Sejak diperkenalkan klinik berkenaan ternyata mendapat sambutan dan sokongan daripada penduduk negeri ini,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan juga merancang untuk membuka Klinik 1 Malaysia yang akan ditempatkan di setiap daerah bagi memberi perkhidmatan kepada rakyat Terengganu.