Halaman

07 September 2011

Anak sedih pengorbanan bapa tidak dihargai

leh FAUZI MOHD

Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengangkat komunis sebagai wira dalam peristiwa Bukit Kepong merupakan satu penghinaan terhadap perjuangan anggota polis yang terkorban dalam peristiwa berdarah pada tahun 1950 itu.



Bagi Azlas Jaafar, 62, anak Allahyarham Konstabel Jaafar Hassan, salah seorang anggota polis yang terkorban dalam kejadian itu, tindakan tersebut amat menyedihkan.

"Saya merasa amat sedih dengan dakwaan Mat Sabu itu, satu kenyataan yang tidak sepatutnya keluar dari mulut pemimpin kanan Pas itu,” katanya.

Anak tunggal itu berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima kunjungan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said di kediamannya di Kampung Cendering di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Norliza Mahmud, Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Timbalan Ketua Polis Terengganu, Dato' Hamzah Md. Jamil.



Dalam kunjungan itu, Dato' Seri Ahmad turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri kepada keluarga pejuang negara itu.

Kata Azlas, kenyataan yang dikeluarkan itu cuba memutarbelitkan sejarah sehingga mengetepikan perjuangan anggota keselamatan yang gugur ketika mempertahankan tanah air.

Azlas merupakan anak allahyarham Konstabel Jaafar, kini tinggal bersama ibu saudaranya Aminah Mohamad, 85, iaitu kakak kepada Konstabel Jaafar.

"Kalau komunis dikatakan pejuang sebenar untuk memerdekakan negara, jadi adakah anggota pasukan keselamatan itu pengkhianat?” soalnya.