Halaman

07 September 2011

MSNT cari atlit taekwondo untuk Sukma ke-14

Oleh: Suriati Ali

Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan menganjurkan Kejohanan Taekwondo di Gerbang Sukan MSNT di Gong Badak, Kuala Terengganu, esok (8 September) bagi memilih mana-mana atlit yang layak mewakili Sukan Malaysia (Sukma) ke 14.

Pengarah MSNT, Encik Zainal Abidin Husin berkata, peserta berumur 21 ke atas saja layak menyertai kejohanan itu yang dianjurkan semata-mata untuk mencari bakat terpendam dan seterusnya mewakili Terengganu pada Sukma di Kuantan tahun depan.

Katanya, pihaknya berharap semua persatuan taekwondo di negeri ini memberi kerjasama baik dengan menghantar wakil atau ahli masing-masing untuk menyertai kejohanan itu.

“Mereka boleh menghantar nama peserta secepat mungkin dan boleh juga berbuat demikian pada hari pertandingan itu nanti. Peserta yang terpilih akan menjalani latihan pusat untuk persiapan menghadapi sukan Sukma dengan harapan mereka mampu meraih pingat emas.

“Terengganu perlu membuat persediaan awal dan atas sebab itu kami memerlukan atlit berbakat sama ada lelaki atau perempuan untuk mewakili negeri ini,” katanya.

Beliau mahu atlit Terengganu menunjukkan mutu persembahan terbaik supaya sasaran meraih emas tercapai sekaligus memastikan kontinjen negeri terus mengondol juara.