Halaman

07 September 2011

LPP Terengganu hasilkan 45 tan Cili Kulai tahun ini

Oleh FAUZI MOHD

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu menjangka mengeluarkan kira-kira 45 tan metrik Cili Kulai daripada projek yang diusahakan di Kampung Pela Bukit Diman, Hulu Terengganu tahun ini.

Pengarah LPP negeri, Shamsuddin Mat Rani berkata, projek penanaman yang dimulakan secara berperingkat mulai awal tahun ini membabitkan kawasan seluas 1.6 hektar.

Katanya, tanaman peringkat pertama yang membabitkan 6,000 pokok telah dijalankan awal tahun dan berjaya menghasilkan 18 tan metrik cili dengan nilai RM40,000.

"Jumlah tanaman itu akan ditingkatkan kepada 9,000 pokok bulan depan yang dijangka mengeluarkan hasil 27 tan metrik dengan nilai RM50,000.

"Ini merupakan tahun kedua LPP menjalankan projek itu dan kebanyakan hasil tanaman itu dipasarkan ke luar Terengganu kerana harganya lebih baik dan stabil," katanya.

Shamsuddin berkata, LPP membelanjakan lebih RM300,000 untuk menyediakan kemudahan asas projek itu tahun ini.