Halaman

28 August 2011

Kawat rai anggota penguatkuasa bertugas sempena Aidilfitri

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Bagi menghargai anggota polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bertugas sepanjang perayaan Aidilfitri tahun ini, Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) ‘turun padang’ menemui mereka sambil menghulurkan ‘buah tangan’ sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

Kawat yang diketuai Presidennya, Encik Ayob Mamat dan kira-kira 20 ahli jawatankuasa serta ahli kelab dan warga media, turut sama menjayakan program berkenaan yang diadakan di jalan berhampiran Pantai Batu Buruk, malam tadi.

Turut sama pada program itu ialah Ketua Polis Negeri Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa dan Pengarah JPJ, Encik Abdul Rahman Emang Anyie.

Menurut Encik Ayob, Kawat menyediakan kira-kira 120 bungkusan mengandungi kuih raya, air zam-zam, kurma dan kad raya untuk diagih-agihkan kepada anggota polis trafik dan petugas JPJ ketika mereka sedang mengadakan operasi dan sekatan jalan raya sekitar bandar ini.

Beliau berkata, cenderahati tersebut disediakan bagi menghargai penat lelah anggota penguatkuasa sewaktu bertugas dan pengorbanan mereka yang sanggup melupakan cuti pada musim perayaan ini bagi memastikan orang ramai berhari raya dalam keadaan aman.

“Melalui program ini juga pihak kami berpeluang merapatkan lagi hubungan pihak media dengan dua agensi berkenaan yang banyak berjasa kepada rakyat negara ini,” ujarnya.