Tinggal hanya sehari dua sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, 3,454 pekebun kecil Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersial (TSK) di negeri ini mengukir senyum gembira.
Kegembiraan menghadapi 1 Syawal amat bermakna apabila mereka menerima pembayaran dividen sebanyak RM20.32 juta daripada RM176.6 juta dividen RISDA yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pertengahan bulan lalu.
Ketua Pengarah RISDA, Dato’ Wan Mohamad Zuki Mohamad berkata, dividen antara RM1,000 hingga RM6,000 seorang itu dibayar kepada 2,6665 peserta TSK dan selebihnya kepada peserta RTBB yang melibatkan tanah ladang seluas 13,713 ekar telah dimajukan.
“Dengan pembayaran dividen ini ia sedikit sebanyak dapat membantu peserta membuat persiapan menghadapi sambutan Aidilfitri serta simpanan untuk hari tua dan pendidikan anak-anak.
“Ini setimpal dengan apa yang diusahakan di bawah RTBB atau TSK selain memajukan RISDA,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bayaran dividen itu di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai, Kuala Terengganu, hari ini.
Hadir menyampaikan dividen itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dengan diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera.
Sementara itu, seorang peserta, Ahmad Ismail, 54, dari Kampung Jerung Tuan, Marang berkata, dividen tersebut akan disimpan bagi kegunaan rawatan kesihatannya dan selebihnya akan dibelanjakan untuk persiapan raya.
“Terima kasih kepada RISDA dan Menteri Besar yang prihatin tentang masalah rakyat lebih-lebih lagi kepada pekebun kecil seperti kami yang bergantung kepada hasil tanaman," katanya yang memperolehi dividen berjumlah RM3,250.
Bagi Ibrahim Mamat, 70, yang berasal dari Kampung Bukit Berangan, Tepuh memberitahu, wang berjumlah RM1,625 yang diterimanya akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi perbelanjaan hari tuannya.
Menurutnya, ini merupakan hadiah yang paling bermakna untuknya sekeluarga dan berterima kasih kepada RISDA dan kerajaan atas pemberian dividen tersebut.