Halaman

28 August 2011

600 pesakit di HSNZ terima hamper raya

Oleh FAUZI MOHD



Kedukaan dan kesakitan yang dialami oleh lebih 600 pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu mungkin sedikit terubat apabila menerima kunjungan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said serta beberapa pemimpin negeri, petang semalam.

Selain bertanya khabar, kunjungan sempena Program Ehsan Ramadan anjuran Pergerakan Puteri UMNO negeri itu, turut menyampaikan hamper raya kepada pesakit yang sedang dirawat di hospital berkenaan.


Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Nordiana Dato’ Shafie berkata, program itu antara lain bagi mendekatkan pemimpin dengan rakyat terutama mereka yang sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.

Katanya, kunjungan yang turut disertai isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Norliza Mahmud dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar itu merupakan sebahagian daripada Program Puteri Prihatin (3P) di Terengganu.

“Di saat orang lain begitu gembira untuk menyambut kemeriahan Aidilfitri, jangan kita lupa masih ramai insan yang kurang bernasib baik sedang menangggung penderitaan akibat pelbagai penyakit.

“Dengan sumbangan hamper seperti ini, ia sedikit sebanyak mampu menceriakan setiap pesakit serta anggota keluarga masing-masing," katanya ketika ditemui pada program berkenaan, petang semalam.

Selain kumpulan rombongan Menteri Besar yang turut diiringi Pengarah Kesihatan negeri, Dato’ Dr. Nordiyanah Hassan melawat pesakit di wad tujuh HSNZ, enam kumpulan lagi secara serentak turut serta melawat pesakit di wad yang lain.

Rombongan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd. Nasir Ibrahim Fikri membahagikan hamper raya kepada pesakit di wad dua, Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh, Muhammad Ramli Nuh (wad empat), dan Ketua Wanita UMNO negeri, Senator Dato’ Fatimah Hamat (wad satu).

Manakala kumpulan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Zaidi Muda di wad lima, Ketua Pemuda UMNO negeri, Saiful Bahri Baharuddin (wad enam) dan Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh (wad lapan).

Tambah Nordiana, kunjungan itu adalah kemuncak kepada program sebelum ini di mana Puteri UMNO Terengganu turut menganjurkan program yang sama ke hospital-hospital daerah di Besut, Setiu, Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Sejurus selepas itu, warga Jabatan Kesihatan negeri bersama-sama Dato’ Seri Ahmad berbuka puasa di tempat letak kereta, Kompleks Rawatan Harian, HSNZ.