Penemuan Bewah Man, rangka manusia di Gunung Bewah, Tasik Kenyir yang dikatakan berusia 13,400 tahun, bakal menjadi tumpuan pada Seminar dan Pameran Perkembangan Arkeologi Terengganu mulai 25 September ini.
Penolong Kurator, Muzium Terengganu, Azuan Harun selaku penyelaras pameran berkata, pameran itu bertujuan menyalurkan maklumat kronologi persejarahan dan budaya Terengganu melalui penemuan dan pembuktian bahan-bahan arkeologi.
"Penemuan Bewah Man pada 2009 akan menjadi fokus utama pada seminar yang akan mengumpulkan lapan pembentang kertas kerja di kalangan anggota akademik daripada pelbagai bidang sebagai satu perkongsian ilmu," katanya di sini baru-baru ini.
Menurut Azhar, lawatan ke tapak penemuan Bewah Man merupakan antara pengisian program pada seminar tiga hari di Dewan Batu Bersurat muzium itu.
Katanya, sempena seminar yang diadakan dengan kerjasama Kerajaan negeri itu, satu pameran arkeologi Terengganu selama seminggu akan diadakan mulai 25 September di Galeri Mandika di muzium berkenaan.
"Ia turut mempamerkan bukti-bukti penemuan arkeologi Bewah Man dan pelbagai alat zaman batu.
"Sebagai perbandingan, beberapa bukti penemuan arkeologi dari luar Terengganu juga akan dipamer seperti Perak Man dan Batu Meteor," ujarnya.