Halaman

02 September 2011

Adik Nurusyahamah Taqiah dapat tempat ketiga Majlis Tilawah al-Quran Kanak-kanak Peringkat Antarabangsa di Doha, Qatar

Oleh: Mohammad Ishak


Nurusyahmah menujukkan sijil yang diperolehi kepada dua bapa saudaranya.

Biarpun mampu menduduki tempat ketiga namun gelaran itu tetap dianggap satu kejayaan besar kepada adik Nurusyahamah Taqiah Nurunnajmi,12, dari Kampung Alur Keladi, Besut, yang mewakili Malayisa ke Majlis Tilawah al-Quran Kanak-Kanak Peringkat Antarabangsa di Doha, Qatar, pada 26 Ogos lalu.

Beliau yang kembali ke tanah air sehari sebelum menyambut kedatangan Aidilfitri bersyukur dengan kejayaan itu selepas bersaing hebat dengan dua peserta lelaki dari negara Timur Tengah iaitu dari negara Mahgribi dan Yaman pada ujian peringkat akhir yang berlangsung di negara berkenaan.

Sebelum mencapai kejayaan itu beliau murid Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah, Jertih, terpaksa berhadapan dengan 4,000 peserta lain pada peringkat awal termasuk 49 daripanya dari Malaysia.

Majlis anjuran Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar dan saluran kanak-kanak TV Al-Jazeera dianggap berprestij kerana menampilkan peserta kanak-kanak pelbagai bangsa dari seluruh dunia.

Menurut Nurusyahamah, pada majlis akhir itu beliau mengalami sedikit gangguan apabila tiba-tiba diserang demam selsema menyabkan suara terganggu sedangkan sebelum itu ramai pihak termasuk penganjur menjangkakan beliau akan muncul johan.

“Ini satu pengalaman amat berharga kepada saya kerana berjaya meletakkan diri hingga ke peringkat akhir selain bersaing hebat dengan peserta dari negara Timur Tengah sendiri,” katanya.

Kejayaan beliau bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga, sekolah dan penduduk Besut malah dia menaikkan nama negeri Terengganu sendiri ke persada Antarabangsa dalam bidang agama.

Bagaimanapun, beliau ingin meneruskan hasrat untuk menyertai sekali lagi pada tahun hadapan jika diizinkan Allah memandangkan uisa ketika itu masih layak menyertai majlis berkenaan.