Halaman

29 August 2011

Ukom anjur Hari Raya MB bersama perantau

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Imbas...Sambutan Hari Raya Aidil Fitri 2010


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan meraikan para perantau pada Hari Raya Aidilfitri Kedua mulai jam 10 pagi hingga 2 petang, di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk.

Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan pemimpin kanan kerajaan, dijangka hadir bagi memeriahkan majlis tersebut.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong, berkata program itu merupakan acara tahunan Ukom bagi memberi peluang Menteri Besar bertemu dengan rakyat Terengganu yang berada di perantauan.

“Sempena kepulangan perantau ke kampung halaman masing-masing pada Hari Raya Puasa ini, pihak kami mengambil inisiatif bagi menemukan mereka dengan pemimpin kerajaan, khususnya YAB Menteri Besar,” katanya.

Dijangka 1,500 orang perantau anak Terengganu, termasuk pelajar yang menuntut di pelbagai institusi pengajian tinggi akan mengambil kesempatan berhari raya akan bersama pemimpin kesayangan mereka, Dato’ Seri Haji Ahmad dan keluarga.

Haji Shamsuddin berkata, program itu akan diadakan dalam keadaan santai di mana ia selaras dengan suasana perayaan dan pendekatan kerajaan negeri untuk Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

Selain pelajar, perantau yang terdiri dari pelbagai jenis profesion seperti ahli akademik, petugas media dan tokoh serta personaliti anak Terengganu yang mencipta nama di luar Terengganu turut dijemput hadir program berkenaan.

Selain menikmati hidangan hari raya, para hadirin juga akan dihiburkan persembahan bercorak budaya Terengganu.

Menteri Besar juga akan menyampaikan ucapan bagi memberi maklumat kepada perantau tentang pembangunan dan hala tuju pembangunan Terengganu yang terkini.