Halaman

31 August 2011

BN makin kuat di Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, Barisan Nasional (BN) kehilangan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu, berikutan ‘tsunami’ yang melanda politik tanah air.

Lapan kerusi tersebut dimenangi calon Pas yang didokong oleh parti-parti pembangkang lain, termasuk DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun, atas usaha gigih pemimpin Umno dan bantuan pemimpin BN negeri dan Pusat, kedudukan Umno dan BN di negeri ini semakin kuat.

Setiap program yang dianjurkan oleh Umno dan BN dipenuhi orang ramai yang datang bukan kerana dikerah, tetapi bagi menunjukkan sokongan dan komitmen mereka terhadap program tersebut.

Berdasarkan prestasi semasa Umno dan BN Terengganu, sekurang-kurangnya empat daripada lapan DUN yang BN tewas sebelum ini dapat dikembalikan semula kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Hakikat ini dapat dicapai berdasarkan sokongan semasa rakyat Terengganu kepada Umno dan BN, khususnya kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang dilantik semula sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Berdasarkan perangkaan, sepanjang tahun lalu Umno berjaya mendaftar 34,000 orang sebagai pemilih manakala Pas hanya mampu mendaftar 10,000 pemilih baru.

Ini jelas menunjukkan sokongan rakyat semakin terarah kepada Umno dan BN yang semakin cemerlang dan menunjukkan prestasi baik dalam memerintah negara, khususnya menangani masalah ekonomi global.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula mengumumkan seramai 55,301 penduduk di Terengganu yang layak mendaftar sebagai pemilih, masih belum berbuat demikian.

Jika jentera pilihan raya Umno dan BN mengambil kesempatan mendaftarkan mereka sebagai pemilih, kedudukan BN pasti lebih kuat bagi menghadapi pembangkang pada PRU13.

Mereka bukan saja setakat mampu menawan balik empat kerusi yang dimenangi pembangkang, tetapi tidak mustahil jika meraih lebih daripada itu.