Halaman

01 September 2011

Majlid rumah terbuka Aidilfitri tiga pemimpin Besut terus mendapat sambutan

Oleh: Mohammad Ishak


Dr Abdullah bersama isteri Toh Puan Wan Naimah memotong kambing bakar.

Tiga lagi wakil rakyat dari kawasan Parlimen Besut hari ini mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri sebagai acara tradisi menyambut hari raya selain memberi peluang kepada penduduk daerah itu berkunjung ke rumah pemimpin

Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin mengadakan rumah terbuka dikediamannya di Kampung Alur Lintang, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar, mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Kuala Besut manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, di Kampung Alur Lintang.

Apa yang menariknya semua rumah wakil rakyat terbabit dikunjungi ribuan tetamu yang datang seawal jam 8 pagi walaupun semua pemimpin terbabit mengadakan majlis rumah terbuka mulai jam 9 pagi.

Dr Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut, bersama isteri Toh Puan Wan Naimah Abd Latif menyediakan hidangan istimewa kambing bakar kepada tetamu yang hadir untuk menjamu selera selain kuah tradisional lain.

Manakala Dr A Rahman, melayani tetamu pelbagai kaum yang datang dari seluruh daerah itu sambil menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak.


Dr A Rahman bersama isteri memberi duit raya kepada kanak-kanak.

Seorang lagi pemimimpin, Muhammad Pehimi, turut menarik perhatian pengunjung apabila beliau bersama isteri Rosaila Daud, mengadakan sesi memotong “Kek 1 Malaysia” mengambil sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke 54.

Kedua-dua mereka kemudian mengagihkan kek yang dipotong kepada orang ramai selain menikmati pelbagai hidangan makanan tempatan yang disediakan untuk orang ramai.


Muhammad Pehimi bersama isteri memotong "Kek 1 Malaysia"

31 August 2011

Gambar-Gambar Sekitar Majlis Sambutan Hari Raya Perantau 2011





KLIK UNTUK GAMBAR-GAMBAR SELANJUTNYA



























Perantau dijamu puluhan makanan Tradisional Terengganu

Oleh: Suriati Ali

Lebih 1,000 perantau yang hadir di Majlis Aidilfitri Bersama Perantau di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini (31 Ogos) bukan saja dijamu dengan hidangan ketupat, lemang dan rendang malah puluhan juadah tradisional lain.

Mereka yang dari serata negeri kelihatan berselera menikmati menu seperti rojak kateh, tapau, keropok lekor, laksa Terengganu, laksa penang, tart telur dan sebagainya yang jarang ditemui di negeri lain.

Perantau yang berasal dari Batu Buruk, Kuala Terengganu, Annur Najwa Azizan, 30, berkata dia tidak akan melepaskan peluang hadir meraikan majlis seumpama ini jika mendapat jemputan daripada penganjur.

“Apabila berpeluang hadir secara tidak langsung dapat berbual mesra dan mengenali pemimpin Terengganu secara dekat,” katanya yang juga Penguruk Akademi Kecantikan Redglow di Shah Alam, Selangor.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Hajah Norliza Mahmud dan anak-anak hadir meraikan perantau.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Dato' Tengku Putera Tengku Awang; beberapa ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Dato' Wan Ahamad Wan Muda.

Dikesempatan itu Dato’ Seri Haji Ahmad dan To’ Puan Norliza mengagihkan duit raya kepada anak-anak perantau.

Perantau dari Cheras, Kuala Lumpur, Puan Norhayati Mohamed, berkata dia dan keluarga seronok dapat menghadiri majlis ini kerana berpeluang merasai pelbagai makanan Tradisional Terengganu.

“Nasi dagang dan keropok lekor menjadi hidangan wajib bagi kami setiap kali hadir ke majlis ini kerana di Kuala Lumpur sukar untuk mendapatkannya,” katanya datang bersama suami dan anak-anak.

Sementara itu, Dato’ Haji Ahmad Said berkata, kerajaan komited melaksanakan pelbagai perubahan dan pembangunan semata-mata ingin melihat Terengganu lebih maju setanding dengan negara luar.

Katanya, apabila Terengganu maju sekaligus mampu menarik minat puluhan pelabur, keadaan
bukan saja memberi limpahan rezeki kepada negeri malah dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Dulu penduduk negeri ini seakan segan ingin mengaku bahawa dirinya orang Terengganu bermungkinan tidak banyak perubahan yang berlaku. Kini mereka bangga kerana ramai rakyat negeri ini mencipta nama di persada antarabangsa.

“Bidang pendidikan dan sukan turut membuka mata pihak luar dengan mengambil modul bidang itu untuk dipratikkan di negeri masing-masing,” katanya.


Ribuan penduduk Besut serbu Rumah terbuka Aidifitri Wakil Rakyat

Oleh: Mohammad Ishak


Dewan MDB Besut penuh sesak dengan tetamu jemputan sempena Rumah terbuka Aidilfitri Idris Jusoh.

Penduduk daerah Besut memberi sokongan padu kepada pemimpin daerah ini apabila dua majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dianjurkan berasingan oleh mereka mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai sejak dibuka pada jam 9 pagi dan berakhir jam 2 petang ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi Mara, menganjurkan majlis di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, bagi memudahkan semua rakyat terutama ahli Umno bahagian hadir ke tempat berkenaan.

Orang ramai mula membanjiri dewan sejak jam 8 pagi lagi walaupun majlis sebenar bermula jam 9 pagi dan sukarelawan yang dilantik bertungkus lumus menjalankan tugas bagi mempastikan majlis berjalan lancar dan memuaskan hati setiap tetamu yang hadir.

Antara pemimpin yanh hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar, Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, Pegawai Daerah Besut, Ab Rahim Jusoh, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Wan Mohamad Ibrahim, Ketua Pegawai Exsekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman bersama isteri masing-masing dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Majlis bertambah meriah dengan kehadiran kaum Cina, Siam dan perantau yang pulang berhari raya di kampung turut mengambil peluang untuk bertemu pemimpin terbabit.

Sementara itu, ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad, mengadakan yang mengadakan majlis serupa di Pejabat Penyelaras DUN Hulu Besut, Pasir Akar, tidak kurang meriahnya apabila penduduk kawasan pedalaman membanjiri dewan penyelaras berkenaan.


YB Hulu Besut Nawi Mohamad tunjuk bakat membacuh teh tarik.

Selain beramah mesra dan melayani tetamu Nawi juga sempat menunjukkan bakat membacuh teh tarik dan mengagihkannya kepada orang ramai.

Kehadiran begitu ramai penduduk terhadap majlis yang dianjurkan oleh wakil rakyat berkenaan mencerminkan rakyat Besut begitu semangat dan memberi isyarat kepada pembangkang mereka tidak mudah dipengaruhi oleh pemimpin pembangkang.

BN makin kuat di Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, Barisan Nasional (BN) kehilangan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu, berikutan ‘tsunami’ yang melanda politik tanah air.

Lapan kerusi tersebut dimenangi calon Pas yang didokong oleh parti-parti pembangkang lain, termasuk DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun, atas usaha gigih pemimpin Umno dan bantuan pemimpin BN negeri dan Pusat, kedudukan Umno dan BN di negeri ini semakin kuat.

Setiap program yang dianjurkan oleh Umno dan BN dipenuhi orang ramai yang datang bukan kerana dikerah, tetapi bagi menunjukkan sokongan dan komitmen mereka terhadap program tersebut.

Berdasarkan prestasi semasa Umno dan BN Terengganu, sekurang-kurangnya empat daripada lapan DUN yang BN tewas sebelum ini dapat dikembalikan semula kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Hakikat ini dapat dicapai berdasarkan sokongan semasa rakyat Terengganu kepada Umno dan BN, khususnya kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang dilantik semula sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Berdasarkan perangkaan, sepanjang tahun lalu Umno berjaya mendaftar 34,000 orang sebagai pemilih manakala Pas hanya mampu mendaftar 10,000 pemilih baru.

Ini jelas menunjukkan sokongan rakyat semakin terarah kepada Umno dan BN yang semakin cemerlang dan menunjukkan prestasi baik dalam memerintah negara, khususnya menangani masalah ekonomi global.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula mengumumkan seramai 55,301 penduduk di Terengganu yang layak mendaftar sebagai pemilih, masih belum berbuat demikian.

Jika jentera pilihan raya Umno dan BN mengambil kesempatan mendaftarkan mereka sebagai pemilih, kedudukan BN pasti lebih kuat bagi menghadapi pembangkang pada PRU13.

Mereka bukan saja setakat mampu menawan balik empat kerusi yang dimenangi pembangkang, tetapi tidak mustahil jika meraih lebih daripada itu.

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA - YB KHAZAN

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Kazan Che Mat mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Terengganu, khususnya para pelayar blog teganukita.blogspot.com.

Beliau berdoa dan mengharapkan mudah-mudahan puasa dan ibadah-ibadah kita di sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini diterima oleh Allah s.w,t.

“Selamat hari raya Aidilfitri daripada saya dan keluarga, maaf atas segala salah dan silap selama ini,” katanya kepada Teganukita.

Beliau meminta kepada mereka yang berada jauh di perantauan dan ingin pulang ke kampung supaya berhati-hati sewaktu berada di jalan raya dan mematuhi segala peraturan ditetapkan.

“Jangan jadikan hari raya hari yang duka, biarlah keluarga di kampung menerima kita dalam keadaan selamat,” ujar beliau.

30 August 2011

Rumah Terbuka Menteri Besar meriah

Oleh FAUZI MOHD



Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri hari ini begitu terasa apabila lebih 15,000 orang pengunjung berbilang bangsa hadir bagi meraikannya di Rumah Terbuka Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Semangat 1Malaysia nyata terpancar di wajah setiap pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat yang sama-sama hadir untuk meraikan dan memeriahkan sambutan bersama umat Islam itu.

Biarpun acara rumah terbuka untuk orang ramai bermula pada pukul 10 pagi, tetapi pengunjung telah mula tiba sejak pukul 8 pagi bagi mengelakkan kesesakan dan mengambil peluang untuk bersalaman dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Menteri Besar dan isteri, To' Puan Seri Norliza Mahmud.

Pengunjung disajikan dengan pelbagai juadah istimewa dan makanan tradisional seperti lemang, ketupat dan rendang selain dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu Hari Raya.

Seorang pengunjung, Abdul Malik Yusof, 51, berkata, beliau bersama isteri dan tiga anak perempuannya yang pertama kali menghadiri rumah terbuka Menteri Besar itu bagi merasai kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama pemimpin negeri.

"Pada mulanya, kami ingatkan majlis ini hanya untuk orang kenamaan sahaja. Sebaik sampai di sini saya berpeluang bersalam dengan Menteri Besar dan kami diraikan bersama " katanya yang juga guru Matematik dari Chendering, Kuala Terengganu.

Bagi Cheah Wan Ning, 21, berkata, beliau seronok untuk meraikan Hari Raya bersama teman-temannya yang beragama Islam, malah setiap tahun rumah terbuka Menteri Besar adalah tempat yang mesti disinggah.

"Saya begitu gembira dapat datang ke rumah terbuka ini dan melihat pemimpin negeri secara lebih dekat. Paling penting, saya juga dapat duit raya,” katanya sambil tersenyum riang.

Sementara itu, di luar Seri Iman, lebih 10 khemah dipasang berserta kerusi dan meja untuk orang ramai menjamu selera sambil berbual mesra antara satu sama lain dan tidak melepaskan peluang bergambar di kawasan sekitar itu.


MB sertai 3,000 jemaah solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Mukhtafi Billah Shah

Oleh FAUZI MOHD



Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said hari ini menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Mukhtafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu bersama-sama rakyat sekitarnya.

Segak dengan lengkap berpakaian baju Melayu, beliau dan isteri, To' Puan Seri Norliza Mahmud hadir diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mazlan Ngah dan Mufti Negeri, Dato' Dr. Alias Abdullah serta beberapa pemimpin negeri yang lain.

Solat Aidilfitri diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Aizi Saidi Abdul Aziz sebelum menyampaikan khutbah bertajuk 'Kemerdekaan Hakiki'.

Kira-kira 3,000 umat Islam yang meriah dengan pakaian berwarna-warni membanjiri perkarangan masjid berkenaan sejak 7 pagi bagi menunaikan solat Aidilfitri serta melaungkan takbir raya.

Mereka juga mengambil kesempatan untuk bersalaman dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Dato' Seri Ahmad.

Ribuan kunjungi rumah terbuka Aidilfitri dan Merdeka bersama MB

Oleh : Ruslan Abdul Rahman, Gambar : Harish Fadzillah


Ribuan pengunjung menghadiri rumah terbuka Aidilfitri dan Merdeka bersama Menteri Besar, Dato' Seri Hj Ahmad bin Said di kediamannya di Seri Iman.


Dato' Seri Ahmad dan isteri To' Puan Seri Norliza bersama keluarga menyambut dan bersalaman dengan para pengunjung terdiri dari semua peringkat rakyat.

Ia menggambarkan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan YAB Dato' Seri Ahmad dan Barisan Nasional khususnya di negeri Terengganu.

SEKITAR SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL FITRI DI RUMAH YAB MENTERI BESAR