Halaman

15 October 2011

BN Terengganu sudah bersedia hadapi PRU 13

Oleh: Suriati Ali

“Barisan Nasional (BN) Terengganu sudah mempunyai senarai nama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Udangan Negeri (Adun) selain bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang bakal diadakan pada bila-bila sama sahaja.



“Buat masa terdekat ini kita tidak boleh umum lagi siapa yang layak atau siapa yang tidak layak kerana yang penting semua jentera parti BN sudah bersedia,”kata Dato’ Seri Haji Ahmad Said kepada sidang media selepas menyempurnakan program Sukan Keluarga Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, di Padang Bola Kampung Matang, Hulu Terengganu semalam (14 Oktober).


Sementara itu, Adun Telemong merangkap Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, YB Rozi Mamat berkata Jentera parti BN Dun Telemong optimis untuk menghadapi PRU-13 dengan mempertaruhkan moto ‘bahang rapat jik’ bagi memenangi pilihan raya dengan majoriti undi lebih besar selain terus menjadi kubu kuat parti.

Katanya, pihaknya percaya sokongan padu rakyat dalam Dun berkenaan akan meningkat dan yakin kawasan itu akan terus dapat dipertahankan.

“‘Bahang rapat jik’ yang sinonim dengan semangat juang habis-habisan ini akan ditonjolkan dalam gerak kerja parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Kita bukan hanya mahu kekalkan kerusi tetapi juga mahu mencapai kemenangan lebih besar,” katanya.

YB Rozi berkata, moto ini diharapkan mampu menaikkan semangat jentera parti bagi merealisasikan hasrat memenangi pilihan raya.

“Justeru, pelbagai program sudah diatur dalam usaha mendekatkan diri dengan rakyat termasuk simulasi dan bengkel membabitkan bari-san pemimpin.
“Walaupun tarikh sebenar pilihan raya umum belum diumumkan lagi, namun jenteranya di Dun Telemong sudah bersiap-sedia menghadapinya,” katanya.



Perhentian Island Challenge Ke 8 meriah

Oleh: Mohammad Ishak


Alias tiga dari kanan memegang jalur gemilang melepaskan peserta larian di Pulau Perhentian

Pusat pelancongan Pulau Perhentian, Besut, sekali lagi menjadi tumpuan pelancong asing apabila pulau itu menjadi lokasi sukan lasak yang menyertai Program Perhentian Island Challenge bagi tahun ke lapan berturut-turut bermula hari ini.

Program tiga hari itu disertai 242 orang peserta membabitkan 11 buah Negara termasuk England, Taiwan, Nigeria, Singapura, Amerika, France, Kenya,German, Phlippines, Rebpulik Czech dan Malaysia.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Besut, Alias Mamat melakukan upacacara pelepasan peserta yang berlangsung di Pulau Perhentian Kecil.

Program itu membabitkan dua dua acara larian sejauh 23 km di Pulau Perhentian Kecil dan Besar serta acara berenang sejauh 800 meter dari Pulau Perhentian Besar ke Pulau Perhentian Kecil.

Selain peserta dari negara luar penduduk tempatan dari pulau berkenaan juga turut mengambil bahagian bagi acara larian sejauh 18 km di Pulau Perhentian Kecil.

Alias berkata, usaha penganjur mengadakan program itu patut dipuji kerana ia salah satu cara untuk mempromosi Pulau Perhentian kepada pelancong asing supaya lebih ramai berkunjung ke negeri ini.

Katanya,keindahan pulau berkenaan sememangnya mampu memberi kepuasan kepada setiap pengunjung kerana ia mempunyai panorama menarik terutama waktu senja.

Selain mempunyai pantai yang putih bersih serta air laut kebiruan pulau berkenaan juga menarik minat pelancong asing untuk melihat keindahan batu karang ketika menyelam di dasar laut pulau itu.


Bayaran Bantuan Persekolahan Akan Dibuat Disember Ini - Muhyiddin

Bayaran bantuan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar di negara ini seperti yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2012, akan dibuat pada bulan Disember, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi kelonggaran supaya pembayaran itu dilakukan sebelum sesi baru persekolahan bermula.

"Ini bermakna semua pelajar berhak untuk dapat jumlah itu tidak kira daripada kumpulan mana. Oleh kerana bajet ini untuk Januari tetapi Januari sekolah sudah bermula, kita minta ia dibayar pada bulan Disember kerana biasanya ibu bapa berbelanja bagi sesi persekolahan pada bulan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis bersama rakyat di Kampung Paya di sini.

Ketika membentangkan Belanjawan 2012 pada 7 Okt lepas, Najib berkata bantuan persekolahan RM100 diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 di seluruh negara, selain baucar buku bernilai RM200 kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata bantuan itu merupakan pemberian kerajaan untuk mengurangkan bebanan ibu bapa terutamanya yang mempunyai anak ramai.

Katanya pembayaran pada bulan Disember ini bagaimanapun tertakluk kepada persetujuan yang akan dicapai melalui perbincangan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kewangan kerana ia melibatkan peruntukan yang besar iaitu sebanyak RM500 juta.

Pada peringkat awal, bayaran akan dibuat melalui pihak sekolah dan ibu bapa akan mendapat wang itu secara tunai kerana sekolah mempunyai rekod anak-anak mereka yang belajar, katanya.

Beliau menjelaskan, pelajar yang layak adalah mereka yang belajar di sekolah-sekolah yang didaftarkan di bawah sistem Kementerian Pelajaran Malaysia dan bukan untuk sekolah-sekolah persendirian.

Terengganu, T-Team sama nelang

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pasukan Terengganu dan T-Team sama nelang apabila masing-masing menumpaskan lawan mereka malam tadi dan bergaya mara ke peringkat separuh akhir pertandingan Piala Malaysia.

Terengganu mengetepikan juara bertahan Kelantan untuk mara ke separuh akhir dengan aggregat 5-3 walaupun seri dalam pertandingan suku akhir kedua di Stadium Sultan Mohamad, Kota Bharu, malam tadi.

Pasukan “Penyu” yang berbekalkan kemenangan 3-1 di gelanggang sendiri minggu lalu bakal bertemu dengan pasukan Selangor, manakala T-Team pula akan bertemu Negeri Sembilan di peringkat separuh akhir.

T-Team yang mencatatkan kemenangan 2-1 di gelanggang lawan minggu lalu, menang sekali lagi dengan keputusan 2-1 sewaktu beraksi di gelanggang sendiri, malam tadi.

T-Team mara ke separuh akhir dengan aggregat 4-2, sekaligus mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya mara ke separuh akhir Piala Malaysia.

Kemaraan kedua-dua pasukan ini tentunya membanggakan rakyat Terengganu, khususnya peminat bolasepak dan mereka pastinya mengharapkan sama ada Terengganu atau T-Team akan bergelar juara Piala Malaysia 2011.

Swasta diminta terus membantu aktiviti NGO


Oleh: Mohammad Ishak



A Rahim menyampaikan hadiah kepada pasukan yang berjaya


Kerjasama strategik pihak swasta dalam membantu Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang diiktiraf kerajaan amat diperlukan bagi mempastikan setiap aktiviti yang dilaksanakan badan terbabit kerana mampu menarik minat peringkat akar umbi.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh berkata, sokongan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh Dina Sport satu contoh baik yang patut diikuti oleh pihak swasta lain yang turut menyokong kerajaan membantu NGO menjalankan aktiviti terutama sukan.

Katanya, Dina Sport yang mewakili pengeluar minuman terkemuka Milo menjalin kerjasama bagi dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang menyalurkan peruntukkan khas bagi memberi peluang Kawasan Rukun Tetangga (KRT) terpilih menjadi penganjur program sukan

Menurutnya, penganjuran Kem Sukan Milo yang dilaksanakan oleh Dina Sport berjaya menarik minat peserta khususnya pelajar dan ibu bapa menyertai program sukan.

A Rahim berkata demikian ketika menutup Kem Sukan Milo anjuran bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Jertih dengan Dina Sport di Padang Sekolah Kebangsaan Pusat Jertih hari ini.

Seramai 320 peserta terdiri daripada murid bawah 12 tahun mewakili 16 sekolah dari daerah Besut menyertai program sehari membabitkan acara bola sepak, bola jaring dan bola keranjang.

Kem Sukan Milo yang turut disertai dengan klinik sukan adalah yang ke 11 ditaja oleh Dina Sport dan KRT Bandar Jertih ialah yang pertama diberi kepercayaan mengelolakan program itu di Terengganu.

A Rahim berkata, beliau bangga kerana pihak terbabit memilih KRT Bandar Jertih selaku penganjujr bersama kerana KRT terbabit ialah yang terbaik di negeri Terengganu kerana sering mendapat pelbagai anugerah di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.




Pelabur asing minat ternak udang

Oleh: Suriati Ali

Pelabur asing dari China menyatakan minat melabur dalam bidang ternakan udang di negeri ini melibatkan jumlah pelaburan berbilion ringgit.

Menteri Besar, Dato’Seri Haji Ahmad Said, berkata dia akan mengadakan lawatan kerja di negara itu dalam tempoh terdekat bagi menilai sejauh mana kesungguhan pihak terbabit dan keberkesanan projek terhadap Terengganu.

“Ladang ternakan itu mungkin akan ditempatkan di kawasan Marang sekiranya ianya bersesuaian dan mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak.



“Kerajaan negeri memang mengalu-alukan lebih ramai pelabur dalam pelbagai bidang sama ada berkaitan pertanian, perladangan dan perkilangan kerana ia boleh memberi pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan program Sukan Keluarga Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, di Padang Bola Kampung Matang, Hulu Terengganu semalam (14 Oktober).

Lebih 5,000 penduduk di DUN itu menyertai pelbagai jenis sukan yang disediakan penganjur program.

Futsal, bola jaring, tarik tali, kerusi muzik, persembahan gerak gempur dan senamrobik, antara 70 aktiviti dan jenis sukan yang sediakan.

Dato’ Seri Haji Ahmad memberitahu Terengganu yang sememangnya kaya dengan sumber alam dijangka terus mendapat perhatian pelabur asing dengan membuka pelbagai rangkaian perniagaan yang membawa jumlah pelaburan berbilion.

Dato’ Ahmad berkata, penemuan rangka manusia berusia lebih 16,000 tahun yang rangka tertua pernah ditemui di negara ini, di Gua Bewah, Tasik Kenyir Hulu Terengganu menjadi kebanggaan semua pihak.

“Kerajaan berusaha melaksanakan pelbagai kemudahan di lokasi itu bagi menambah lagi jumlah pengunjung yang sedia ada.

“Ini termasuk membina menara terapung setinggi tiga tingkat bagi memudahkan pelancong melihat secara dekat khazanah berharga itu,” katanya.
Katanya,oleh kerana masalah mendapatkan bekalan elektrik di kawasan berkenaan , pembinaan menara yang turut menyediakan tangga bergerak itu akan menggunakan tenaga solar atau hybrid.

``Pembinaan tangga bergerak penting untuk membolehkan pelancong melawat Gua Bewah dan artifak di dalamnya dengan keadaan selamat kerana keadaan persekitaran licin dan gelap,” katanya.






Tiga tadika YIT akan dibina

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Islam Terengganu (YIT) akan membina tiga tadika di beberapa daerah di Terengganu dalam tempoh terdekat, melibatkan kos keseluruhan RM10.5 juta.

Pengarah YIT, Md Kamaru Al- Amin Ismail, berkata antara kawasan yang terlibat adalah Seberang Takir (Kuala Terengganu), Al Muktafi Billah Shah (Dungun) dan Kijal (Kemaman).

Katanya, setiap tadika yang dibina itu membabitkan kos RM3.5 juta, termasuk kemudahan, peralatan dan kelengkapan bagi proses pembelajaran di tadika itu nanti.
“Tadika YIT di Seberang Takir sudah hampir siap dan dijangka akan memulakan operasi bagi sesi persekolahan tahun 2012. Malah sudah ada ibu bapa membuat permohonan yang ingin menghantar anak masing-masing di tadikan itu.

“Pihak kami mengharapkan pembinaan ketiga-tiga buah tadika ini akan memenuhi permintaan di kawasan yang terlibat dan kita sentiasa bersedia menambah tadika di kawasan yang di lihat terdesak serta kawasan tumpuan bagi membolehkan kanak-kanak mendapat pendidikan yang sempurna,” katanya.

Encik Md Kamaru Al- Amin turut memberitahu, kira-kira 8,000 kanak-kanak yang mengikuti pendidikan awal di institusi kelolaan kerajaan negeri dan Pusat di Terengganu dijangka menyertai Majlis Khatam dan Pintar al-Quran di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, pada 22 Oktober ini.

Bilangan itu melibatkan kanak –kanak berusia 5 dan 6 tahun daripada empat gabungan tadika iaitu Yayasan Islam Terengganu (YIT), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional.

Katanya pihaknya bangga kerana program yang dianjurkan lima tahun berturut-turut itu bukan saja dapat meningkatkan jumlah penyertaan malah mendapat sokongan pelbagai pihak terutama ibu bapa.

“Pada tahun lalu, seramai 7,000 kanak-kanak daripada empat tadika sama berjaya khatam al-Quran dengan sempurna,” katanya.

Katanya, YIT akan membuka tiga buah lagi tadika membabitkan kos keseluruhan hampir RM10 juta di tiga daerah di negeri ini.


Nuri Ceriakan SKSI

Oleh: Nurul Aziela Saberi



Bank Rakyat telah berjaya menganjurkan Pertandingan Mewarna Kelab Nuri di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail, Kemaman baru-baru ini, sempena Karnival Kewangan Sekolah Berprestasi Tinggi peringkat negeri Terengganu.

Program itu mendapat sokongan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia dan kerjasama dari rakan-rakan strategi utama seperti Bank Rakyat iaitu Adabi, Arora Sports, Nestle Milo, Felda Travel dan Takaful Ikhlas.

Selain pertandingan Seronoknya Mewarna, penganjur turut menyediakan acara menarik lain seperti Kuiz Kelab Nuri, Demonstrasi Pertandingan Bola Sepak Kelab Nuri Bank Rakyat, Pencarian "Junior Chef" Kelab Nuri & Adabi dan bersama artis jemputan Abang Ropie Cecupak.



Kehadiran Maskot Nuri telah menjadi tarikan utama karnival ini, kehadirannya bermesra dan bermain bukan sahaja dengan kanak-kanak malah dengan orang dewasa telah mencuit hati ramai pengunjung.

Tahun ini juga, buat julung kalinya diadakan pertandingan penabung terbanyak bagi menggalakkan lebih ramai lagi peserta menyertai pertandingan menabung.

Majlis penyampaian hadiah pertandingan mewarna Kelab Nuri ini disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Air Putih, YB Haji Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar di Dewan PIBG SK. Sultan Ismail.



Hadiah-hadiah yang dimenangi merupakan baucer wang tunai simpanan dan barangan tajaan Kelab Nuri, serta hadiah iringan dari penaja-penaja seperti Adabi dan Ayamas Rasamas.

14 October 2011

Kerajaan Terengganu mendahului negeri lain dalam pembangunan pendidikan

Oleh: Mohammad Ishak


Idris menyampaikan e-book kepada murid tahun 4 di Dewan MDB Besut hari ini.

Rakyat negeri ini bertuah kerana sentiasa mendapat perhatian terutama dalam pembangunan pendidikan apabila kerajaan negeri begitu perihatin untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pengagihan e-book yang dilaksanakan kerajaan tidak terdapat di negeri lain menyebabkan pelajar negeri ini sentiasa kehadapan dalam celik teknologi maklumat (IT).

Katanya, pembelanjaan besar membababitkan lebih RM1 juta setiap tahun untuk menyediakan kemudahan e-book patut dipuji dan rakyat hendaklah bersyukur kerana mendapat kemudahan seperti itu sejak di tahun empat lagi.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar berkata, tuduhan sesetengah pihak terhadap usaha kerajaan menyediakan kemudahan e-book yang dianggap membazir dan merugikan adalah tidak benar kerana ia mampu meningkatkan kemahiran pelajar.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan e-book kepada 685 murid tahun empat dari sekolah Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, di Dewan Majlis Daerah Besut,Gong Kemuntong, Jertih, hari ini.

Idris berkata,ada pihak menuduh penggunaan e-book tidak memberi manfaat adalah tidak berasas sebaliknya jika semua ibu bapa faham dan tahun mengawal anak-anak menggunakannya ia memberi kebaikkan.

Beliau berkata, pengagihan e-book juga bukan untuk anak ahli Umno sebaliknya ramai juga ibu bapa dikalangan penyokong Pas turut mendapat kemudahan itu.

“Semua bentuk bantuan yang diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah satu kebajikan untuk rakyat yang sudal lama dipraktikkan, tetapi ada pihak hanya bercakap Negara Berkebajikan tetapi ia hanya tinggal slogan semata-mata,” katanya.


T-Team tidak mahu dabik dada

Oleh: Suriati Ali

T-TEAM tidak menganggap mudah pertemuan suku akhir kedua kempen Piala Malaysia 2011 menentang Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Jurulatih, Yunus Alif berkata, kemenangan tipis 2-1 ke atas Sabah dalam perlawanan pertama Isnin lalu tidak boleh dijadikan ukuran.

"Kita masih ada 90 minit lagi untuk diharungi dan macam-macam boleh berlaku, tambahan pula Sabah sekarang berada pada prestasi terbaik dan boleh mengancam T-Team," katanya.

Yunus berkata, T-Team tidak mempunyai strategi tertentu untuk menghadapi Sabah kecuali meningkatkan semangat berpasukan.

Strategi tersebut ternyata berkesan pada aksi suku akhir pertama di gelanggang lawan Isnin lalu," katanya.

Beliau berkata, T-Team belum mahu mendabik dada malah akan tetap menghormati Sabah.
Menurutnya, T-Team ingin merealisasikan impian penyokong mereka untuk melihat pasukan itu terus berjaya dan seterusnya menjulang piala yang berprestij itu musim ini.

Pada pertemuan ini, bekas pemain kebangsaan, Tengku Hasbullah Tengku Hassan yang mengalami kecederaan di pangkal paha semasa pertemuan pertama Insin lalu mungkin akan direhatkan pada aksi kedua ini.

Begitupun, Yunus berkata, beliau tidak bimbang kerana T-Team mempunyai ramai pemain yang boleh mengisi tempat Tengku Hasbullah.

Sementara itu, Setiausaha Kerja T-Team, Zaini Abu Bakar berkata, pihak pengurusan T-Team mengambil keputusan tidak akan menaikan harga tiket untuk perlawanan tersebut.
Beliau berkata, ia bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai penyokong T-Team menyaksikan perlawanan tersebut.