Halaman

15 October 2011

Perhentian Island Challenge Ke 8 meriah

Oleh: Mohammad Ishak


Alias tiga dari kanan memegang jalur gemilang melepaskan peserta larian di Pulau Perhentian

Pusat pelancongan Pulau Perhentian, Besut, sekali lagi menjadi tumpuan pelancong asing apabila pulau itu menjadi lokasi sukan lasak yang menyertai Program Perhentian Island Challenge bagi tahun ke lapan berturut-turut bermula hari ini.

Program tiga hari itu disertai 242 orang peserta membabitkan 11 buah Negara termasuk England, Taiwan, Nigeria, Singapura, Amerika, France, Kenya,German, Phlippines, Rebpulik Czech dan Malaysia.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Besut, Alias Mamat melakukan upacacara pelepasan peserta yang berlangsung di Pulau Perhentian Kecil.

Program itu membabitkan dua dua acara larian sejauh 23 km di Pulau Perhentian Kecil dan Besar serta acara berenang sejauh 800 meter dari Pulau Perhentian Besar ke Pulau Perhentian Kecil.

Selain peserta dari negara luar penduduk tempatan dari pulau berkenaan juga turut mengambil bahagian bagi acara larian sejauh 18 km di Pulau Perhentian Kecil.

Alias berkata, usaha penganjur mengadakan program itu patut dipuji kerana ia salah satu cara untuk mempromosi Pulau Perhentian kepada pelancong asing supaya lebih ramai berkunjung ke negeri ini.

Katanya,keindahan pulau berkenaan sememangnya mampu memberi kepuasan kepada setiap pengunjung kerana ia mempunyai panorama menarik terutama waktu senja.

Selain mempunyai pantai yang putih bersih serta air laut kebiruan pulau berkenaan juga menarik minat pelancong asing untuk melihat keindahan batu karang ketika menyelam di dasar laut pulau itu.