Halaman

10 October 2011

Kerajaan beri pinjaman RM110 juta kepada pelajar IPTA

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) mengeluarkan pinjaman pelajaran berjumlah RM110 juta kepada anak negeri ini yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di dalam dan luar negara, tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, seramai 3.400 pelajar terbabit membuat pinjaman pelajaran untuk melanjutkan pelajaran mereka.

“Kita juga berjaya mengutip bayaran balik pinjaman sebanyak RM12 juta tahun lalu,” katanya kepada pemberita di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan meraikan pesaraan pegawai YT di Primula Beach Resort hari ini.

Hadir sama, Pemangku Pengarah YT, Encik Zakaria Yusof serta Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Imtiaz dan Pusat Pendidikan YT seluruh negeri.

Selain itu, tahun lepas 160 orang pelajar berjaya menukarkan pinjaman kepada biasiswa kerana mendapat Gred Nilai Purata Kumulatif (CGPA) tidak kurang dari 3.75 dan ke atas melalui penyelarasan kerajaan yang diumumkan baru-baru ini bagi pengiktirafan kelas pertama dari mana-mana universiti.

Sementara itu, 28 orang kakitangan YT terima APC tahun ini yang membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta sijil penghargaan dan 11 orang menerima insentif lama berkhidmat melebihi 20 tahun menerima Sijil Simpanan Premium BSN dengan nilai RM1,000.

Majlis turut meraikan empat orang kakitangan YT yang bersara wajib termasuk bekas pengarahnya Haji Aziz Mamat.