Halaman

10 October 2011

DR RAMZI SERAH DUIT KEPADA IRWAN PEGAWAI KERANI IBU PEJABAT UMNO UNTUK LAKSANAKAN SMS BLAST KEMPEN CALON MT DATO’ SERI IDRIS JUSOH

Tertuduh kes 'Ugutan bunuh melalui SMS' beri keterangan secara bersumpah.

Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohd Zubir, bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, yang dituduh terlibat dalam kes ‘ugutan bunuh melalui SMS‘ memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di Mahkamah Seksyen, pada prosiding hari ini.

Tertuduh memberitahu mahkamah beliau hanya mengetahui tentang SMS itu selepas diberitahu Adun Paka, YB Mohd Ariffin Abdullah dan Adun Permaisuri YB Abd Halim Jusoh, kira-kira jam 11 malam, pada hari kejadian 13 April 2009.

Datuk Dr Ahmad Ramzi kemudiannya meminta kedua-dua Adun berkenaan supaya memanjangkan SMS (foward) yang mereka terima kepada beliau.

Tertuduh memberitahu mahkamah, tidak lama selepas dia menerima SMS itu, YB Ariffin telah mencadangkan kepadanya supaya mereka berjumpa di Hotel Felda Residence Kuala Terengganu tempat beliau (YB Arifin) menginap.

Peguambela: Apa yang berlaku selepas itu?
Datuk Dr Ramzi: Apabila tiba di lokasi yang dijanjikan, saya dapati YB Halim pun turut ada bersama untuk berbincang mengenai perkara berkaitan SMS.

Peguambela: Apa hasil perbincangan?
Datuk Dr Ramzi: Hasil daripada perbincangan kami bersepakat memberitahu Adun Alor Limbat, YB Haji Alias Abdullah. Kami merujuk kepada YB Alias kerana ingin meminta pendapat memandangkan beliau seorang peguam berpengalaman.

Peguambela: Ada buat laporan polis?
Datuk Dr Ramzi: YB Arifin dan YB Halim kemudiannya bersepakat membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 12 tengah malam. Saya turut berada bersama mereka ketika laporan dibuat dengan menunggunya di luar IPD.

Peguambela: Berapa lama tempoh diambil?
Datuk Dr Ramzi: Seingat saya masa yang diambil untuk laporan itu lebih kurang dua jam di mana siap jam 2 pagi.


Peguambela: Kenapa kedua-dua YB itu telefon dan memberitahu Datuk mengenai kejadian itu?
Datuk Dr Ramzi: Mereka memberitahu saya sebab kami mempunyai hubungan baik sebagai rakan.

Peguambela: Selepas laporan dibuat, ke mana Datuk selepas itu?
Datuk Dr Ramzi: Kami masing-masing bersepakat, pulang ke rumah

Peguambela: Adakah kamu kenal individu yang bernama Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda pada ketika itu?

Datuk Dr Ramzi: Saya memang kenal Dato’ Wan Ahamad di mana ketika itu, dia (Dato’ Wan Ahamad) memegang jawatan pegawai di bahagian perjawatan.
Urusan penjawatan saya pada ketika itu iaitu sebagai Setiausaha Politik diuruskan beliau.

Ketika saya memegang jawatan sebagai SUP, nama beliau (Dato’ Wan Ahamad) sememangnya menjadi sebutan di kalangan Pegawai Tadbir Negeri atau `TCS’.

Ada di kalangan TCS itu menyatakan Dato’ Wan Ahamad sebagai ahli Pas seumur hidup dan pernah mengibar bendera pada pilihan raya tahun 1999.

Selepas saya tidak menjadi SUP pada 2008, saya kemudianya mendapat tahu bahawa beliau dilantik menjawat Setiausaha Sulit Kanan Kepada Menteri Besar.

Peguambela: Ada atau tidak Datuk menyimpan nombor telefon Dato’ Wan Ahamad?
Datuk Dr Ramzi: Saya ada menyimpannya, sebab nombornya memang ada tercatat dalam diari kerajaan negeri. Diari itu diedarkan kepada TCS dan semua kakitangan awam. Setahu saya, diari ini mudah diperoleh.

Peguambela: Adakah Datuk kenal individu bernama Mohd.Irwan Zainal Abidin?.
Datuk Dr Ramzi: Saya kenal Mohd Irwan Zainal Abidin pada Jun 2008 pada ketika itu beliau (Mohd Irwan) menyandang jawatan sebagai pegawai kerani di pejabat Umno Malaysia.

Peguambela: Adakah Datuk kenal syarikat Mobile Biz Network?
Datuk Dr Ramzi: Saya tidak pernah kenal

Peguambela: Sebelum Datuk ditahan adakah kenal syarikat Mobile Biz Network?
Datuk Dr Ramzi: Tidak pernah kenal

Peguambela: Bila Datuk mengetahuinya?
Datuk Dr Ramzi: Bila timbul kes ini, baru saya mengenalinya.

Peguambela: Datuk tahu mengenai keistimewaannya?
Datuk Dr Ramzi: Saya pernah tanya pada Irwan apa istimewanya menggunakan `SMS blast’”. Saya ingin tahu mengenainya untuk kepentingan kempen Dato’ Seri Haji Idris di mana pada ketika itu beliau (Dato’ Seri Haji Idris) adalah calon calon pertandingan Majlis Tertinggi.

Peguambela: Kenapa kamu pilih cara sama blast?
Datuk Dr Ramzi: Kebanyakan calon MT pada ketika itu mengunakan kaedah SMS blast untuk berkempen.

Peguambela: Tujuannya?
Datuk Dr Ramzi: Kempen ini maksudnya hantar SMS kepada semua pewakilan untuk pancing undi. Saya serahkan semuanya pada Irwan kerana menganggapnya semua tahu.

Peguambela: Nama syarikat yang mengendalinya?
Datuk Dr Ramzi: Irwan ada memberitahu, terdapat syarikat yang boleh melaksanakan SMS itu untuk tujuan kempen.

Selepas diberi beberapa keterangan, saya bersetuju menggunakan SMS itu dengan membayar sejumlah wang kepada Irwan. Seingat saya jumlah itu dalam ribuan ringgit.
Saya tidak ambil tahu mengenainya secara mendalam kerana ketika itu saya sibuk dengan kempen.

Peguambela: Bila kamu bagi duit pada Irwan?
Datuk Dr Ramzi: Saya bagi duit ketika berada di PWTC dan bayaran kali kedua melalui akaun Maybank milik Irwan.

Peguambela: Irwan ada memberitahu nilai kadar setiap SMS.
Datuk Dr Ramzi: Ada bagi tahu, tapi saya tidak ingat berapa kadar setiap
SMS yang dihantar.

Peguambela: Irwan ada kenakan syarat
Datuk Dr Ramzi: Irwan ada menyatakan kepada saya bahawa untuk menggunakan perkhidmata SMS ini perlu membuat bayaran atau topup dulu sebelum SMS dapat dihantar.


Peguambela: Pernah atau tidak Irwan bagi password?
Datuk Dr Ramzi: Irwan ada menghubungi saya untuk bagi password tapi saya tidak ambil kisah sangat mengenainya.

Peguambela: Bila didaftarkan.
Datuk Dr Ramzi: seingat saya pada Mac 2009.

Peguambela: Pernah guna kaedah SMS blast kepada semua YB yang terlibat.
Datuk Dr Ramzi: tidak pernah.

Peguambela: Adakah tahu tukar beberapa kali kandungan SMS?
Datuk Dr Ramzi: Tidak tahu.


Peguambela: Pada hari kejadian, di mana Datuk berada?.
Datuk Dr Ramzi: Saya berada di rumah milik mertua, beralamat E726, Jalan Kubang Parit, Kubang Parit, 20050 Kuala Terengganu.

Peguambela: Berapa bilangan komputer ada ketika itu?.
Datuk Dr Ramzi: Tiga buah, termasuk milik bapa mentu dan anak, jenis komputer riba saya adalah Dell.

Peguambela: Ada buat capaian internet?.
Datuk Dr Ramzi: Ada dan ia dikendali oleh TM Point Streamyx dan turut mempunyai Wifi.

Peguambela: Ada password dan username?.
Datuk Dr Ramzi: Tidak ada dan untuk pengetahuan, beberapa minggu sebelum kes ini berlaku, rauter internet tidak dapat digunakan. Apabila rosak saya ada membuat laporan mengenainya .

Pegawai berkaitan ada datang menyiasat tetapi dia tetap tidak boleh digunakan. Pegawai itu ada mencadangkan supaya menggunakan open access.

Peguambela: Pada tarikh 14.2.2009, apa yang berlaku.
Datuk Dr Ramzi: Sepuluh Adun tidak mahu hadir Sidang Dewan Undangan Negeri sebab ada di antara mereka terima sms ugutan bunuh.

Peguambela: Apa yang berlaku pada 25. 4.2009?
Datuk Dr Ramzi: Lagi terkejut kerana ada pegawai polis mengeluarkan kenyataan akhbar menyatakan saya terbabit dalam SMS ugutan bunuh.

Pada 26 dan 27.4.2009 pula, pegawai yang sama menafikan pula saya terbabit dalam kes ini. Pada 9.5.2009, keluar kenyataan bahawa saya akan dikenakan waran tangkap sekiranya gagal melaporkan diri.

Pada 12 Mei tahun sama, saya ditangkap ketika membuat laporan polis. Ketika soalsiasat, DSP Manoharan menyatakan ada bukti yang saya terbabit dalam kes ini. Saya inginkan bukti itu tetapi pegawai polis terbabit gagal membuktikannya. Kemudian saya didesak supaya mengaku.

Dalam kes ini, Dato’ Dr Ahmad Ramzi didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS iaitu bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas Adun Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E-726 Kampung Kubang Parit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi Adun, Abd Halim Jusoh (Permaisuri) dan Dato’ Rosol Wahid (Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Beliau turut didakwa atas tuduhan pilihan, menggunakan perkhidmatan internet bagi menghantar SMS berbunyi: "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" kepada tiga Adun tersebut.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Dr Ahmad Ramzi turut dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019 -9158369 milik Wan Ahamad.

Tertuduh, yang kelihatan tenang berada di kandang tertuduh di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pagi ini diwaklili oleh peguambela Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abdul Rahman.

Pada prosiding sebelah petang, Dr Ahmad Ramzi memberitahu mahkamah beliau mula bekerja dengan Dato’ Seri Idris Jusoh pada tahun 2004.

“Saya mengenali Dato’ Rosol sejak menjadi Setiausaha Politik kepada Dato’ Seri Idris,” katanya.

Menjawab pertanyaan pihak pendakwa mengenai perasaan beliau selepas mengetahui isu sms ugut itu, beliau berkata, tidak berasa apa-apa kerana dirinya tidak terlibat dengan kes berkenaan.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa dirinya tidak tahu jika password peralatan komputer yang ada di rumahnya diberitahu kepada pihak lain.

Katanya, beliau menyerah diri ke balai polis Kuala Terengganu pada 12 Mei setelah diminta berbuat demikian oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Menurutnya, pada mulanya beliau mahu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, tetapi beliau diminta supaya berbuat demikian di Terengganu.

Perbicaraan bersambung pagi esok.

Ralat:

Para ke 13 berita ini hendaklah dibaca sebagai berikut:


Dato' Dr. Ahmad Ramzi mendakwa bahawa beliau menerima laporan menyatakan Dato' Wan Ahamad adalah penyokong Pas pada pilihan raya tahun 1999 dan sebagai Setiausaha Politik beliau (Ahmad Ramzi) telah menjalankan tugas untuk menyiasat kebenaran dakwaan itu.


Kesilapan adalah tidak disengajakan - Pengarang Teganukita.