Katanya, ini jelas kerana sewaktu ketiga-tiga YB Mohd Ariffin Abdullah (Adun Paka), Abd Halim Jusoh (Adun Permaisuri) dan Datuk Rosol Wahid (Adun Ajil) menerima SMS ugutan, mereka bersepakat untuk terus mengadakan sidang media.
“Langkah ini jelas membuktikan beliau takut dan ingin terus membersihkan nama dengan menuduh pemilik nombor telefon 019-9158369 yang bersalah.
“Sebagai manusia normal yang tidak bersalah, apabila nama kita keluar dalam akhbar yang menyatakan bersalah atau sebagai penjenayah, kita akan terus melapor diri ke balai polis terbabit untuk membersihkan nama,” katanya.
Katanya, dalam kes ini, tertuduh masih menunggu hari ke hari untuk membuat laporan polis sehinggalah pihak polis terpaksa mengeluarkan waran tangkap terhadap OKT.
“Oleh itu, saya berharap pihak mahkamah menjatuhi hukuman yang setimpal terhadap tertuduh,” katanya
Perbicaraan hari ini berlangsung di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid, sementara Datuk Dr Ahmad Ramzi diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chooi Gaik.
Hakim kemudiannya menetapkan perbicaraan bersambung pada 8 November 2011.
Sementara itu penguambela OKT, Datuk Hazman Ahmad ketika menggulung hujah dalam perbicaraan kes `ugutan bunuh melalui SMS’ membabitkan bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, iaitu Datuk Dr.Ahmad Ramzi Mohd Zubir, di Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu hari ini, menyatakan terdapat unsur-unsur sabotaj dan permainan politik berhubung kes berkenaan.
“OKT memang tidak pernah mengetahui dan juga tidak pernah dihubungi Saksi Pendakwa (SP 16) yang juga pegawai kerani pejabat Umno Malaysia, Mohd Irwan Zainal Abidin mengenai `password’ dan `user name’ milik beliau yang telah dua kali ditukar,” katanya.
Beliau percaya terdapat individu tertentu bertindak menceroboh capaian internet milik OKT yang sememangnya dapat digunakan oleh sesiapa saja jika berada di sekitar rumah tertuduh dengan jarak 50 meter.
Beliau meminta mahkamah perlu meneliti perkara ini sebaik mungkin.