Halaman

10 October 2011

UCAPAN ALUAN Y.B. DATO’ HAJI MAZLAN BIN NGAH SETIAUSAHA KERAJAAN TERENGGANU

MAJLIS PERASMIAN PENUTUP KURSUS KHAS BAGI BAKAL-BAKAL HAJI DI BAWAH ANUGERAH KHAS KECEMERLANGAN PERKHIDMATAN AWAM NEGERI TERENGGANU MUSIM 1432H/2011M PADA 9 OKTOBER 2011 (AHAD), MASA 12.30 TENGAHARI, DI SUMAI HOTEL APARTMENT, KUALA TERENGGANU

Bersyukur kita ke hadrat ilahi kerana limpah kurniaNya dapat kita berkumpul pada hari ini bersempena Kursus Khas Bagi Bakal-Bakal Haji Di Bawah Program Anugerah Khas Kecemerlangan Perkhidmatan Negeri Terengganu Musim 1432H/2011M.

Saya ingin mengambil kesempatan di sini mengucapkan tahniah dan syabas kepada tuan-tuan dan puan-puan bakal-bakal haji seramai 100 orang bersama pengiring dengan jumlah 58 jemaah lelaki dan 42 jemaah wanita ke tanah suci kerana telah mendapat anugerah Kerajaan Negeri dalam program kecemerlangan bagi Musim Haji 1432 Hijrah ini.

Jemaah haji yang dimuliakan ALLAH sekalian

Sebagai tetamu Allah, seharusnya tuan-tuan dan puan-puan bersyukur kerana telah terpilih di kalangan Penjawat Awam Negeri Terengganu, JKKK, Imam dan Bilal dan Anugerah Khas Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) serta jutaan umat Islam yang berhasrat menunaikan fardhu haji pada tahun ini.

Sebagai jemaah haji, saya amat yakin tuan-tuan dan puan-puan telah bersedia untuk memulakan musafir menuju ke tanah suci nanti disamping kursus khas anjuran kerajaan negeri sebagai pemantap pengetahuan yang telah dipelajari. Justeru itu, jadikanlah segala ilmu yang diperolehi selama ini sebagai panduan dan rujukan semasa menunaikan ibadat haji nanti.

Akan tiba masa nanti, para jemaah haji perlu melupakan seketika segala tugas dan kerja di tanah air, keluarga dan rakan-rakan yang ditinggalkan. Di hadapan tuan-tuan dan puan-puan ada satu urusan yang perlu diberi keutamaan, iaitu memastikan segala syarat-syarat sah haji dan umrah dapat dilaksanakan dengan sempurna, seterusnya memperolehi haji yang mabrur.

Namun dalam keghairahan melaksanakan ibadat haji janganlah pula lupa untuk menjaga tatasusila semasa di tanah suci. Seorang bakal haji perlu mempunyai sifat sabar yang tinggi. Keadaan cuaca yang berbeza, kesesakan yang luar biasa dan budaya yang agak asing dengan kita, memungkinkan kita terdedah kepada sifat tidak sabar dan marah.

Oleh itu sentiasalah memelihara diri dari sifat marah, suka bertengkar dan bertelagah. Makkah dan Madinah adalah bumi suci, bumi yang penuh dengan keberkatan. Allah tidak akan mensia-siakan orang yang sentiasa bersabar.

Selain itu, jemaah haji Malaysia juga sangat dikenali sebagai jemaah haji yang tertib dan bersopan. Sebagai rakyat Negara Malaysia yang sering menjadi contoh kepada umat Islam lain di dunia ini, perlulah kita menjaga pekerti kita sepanjang tempoh masa kita berada di kedua-dua tanah suci iaitu Makkah Al-Mukaramah dan Madinah Al-Munawarah.

Janganlah jemu untuk memperbanyakkan doa di waktu-waktu yang terluang. Jadikan setiap masa dihabiskan dengan aktiviti yang berkualiti, yang boleh menambahkan pahala. Jauhilah perkara-perkara yang tidak memberi manfaat dan sia-sia. Bercakaplah tentang perkara yang berfaedah dan berusahalah untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita.

Jemaah haji yang dimuliakan ALLAH sekalian

Saya yakin dan percaya bahawa Lembaga Tabung Haji telah membuat persediaan yang rapi untuk memberi perkhidmatan yang baik kepada semua jemaah haji pada setiap tahun serta mempunyai komitmen yang tinggi untuk mempertingkatkan tahap perkhidmatan semasa di tanah suci berdasarkan pengalaman dan kemampuan serta bersandarkan kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Tabung Haji juga sentiasa memelihara hubungan baik dengan kerajaan Arab Saudi secara bijaksana kerana ia menyumbang kepada kelicinan dan kelancaran Operasi Haji secara keseluruhannya. Suka saya mengingatkan kepada tuan-tuan dan puan-puan, sentiasalah mengikut segala peraturan, sama ada peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan Arab Saudi atau peraturan oleh Tabung Haji.

Patuhilah arahan kerana ia boleh memudahkan petugas Tabung Haji mengurus ribuan jemaah haji ketika di sana nanti.

Akhir sekali, saya mengiringi pemergian tuan-tuan dan puan-puan ke tanah suci nanti dengan doa dan harapan agar perjalanan tuan-tuan dan puan-puan akan sentiasa diberkati dan dipermudahkan, serta sentiasa bersemangat untuk memulakan perjalanan suci ini. Seterusnya tuan-tuan dan puan-puan dapat kembali ke tanah air dengan memperolehi haji yang mabrur, InsyAllah.

Sekian, Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.