Halaman

12 October 2011

Pelajar KTB sertai bakti siswa bestari

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 42 orang pelajar Kolej Teknologi Bestari (KTB), Putera Jaya, Bandar Permaisuri, Setiu akan menyertai Program Bakti Siswa Bestari (PBSB) di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit selama tiga hari bermula esok.

Pengarah PBSB, Wan Nurhanis Nazihah Wan Shukri berkata, program anjuran bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Kelab Pembimbing Rakan Siswa ini bertujuan memberi pendedahan dalam aktiviti kemasyarakatan agar mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang mantap.

“Melalui program ini peserta boleh membina hubungan baik, berinteraksi dengan orang lain dan bekerja secara efektif untuk mencapai matlamat bersama,” katanya.

Menurutnnya, peserta dibawa untuk merasai pengalaman hidup dalam suasana kampung serta dapat mempelajari aktiviti penduduk tempatan dalam pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Katanya, pelbagai aktiviti diatur seperti gotong royong bersih kawasan, kunjungan ke rumah warga emas dan orang kurang upaya, sukan rakyat, senam seni serta solat berjemaah dan tazkirah di Masjid Bukit Wan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat akan lakukan perasmian penyerahan pelajar kepada keluarga angkat manakala majlis penutup dilakukan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah KTB, Dato’ Dr. Tengku Mahmud Mansor pada Sabtu ini.