Halaman

13 October 2011

Kutipan zakat RM80 juta menjelang akhir tahun

Oleh;Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menjangkakan jumlah kutipan zakat tahun ini lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Yang Dipertua Maidam, Dato’ Senara Muda, Dato’ Mazlan Hashim berkata, tahun ini pihak Maidam jangka dapat mengumpul kutipan zakat RM80 juta berbanding tahun lalu RM76 juta.

Kkatanya, Maidam yakin sasaran RM80 juta dapat dicapai dalam tempoh tiga bulan berbaki sebelum menjelang akhir tahun ini.

“Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini jumlah pungutan zakat telah mencecah RM63 juta berbanding RM54 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu,” katanya selepas menerima bayaran zakat perniagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di Pejabat Maidam, Kuala Terengganu.

Maidam menerima penyerahan zakat sebanyak RM960,000 yang telah disampaikan oleh Ahli Jemaah Pengarah Nafas Kebangsaan merangkap Pengerusi Nafas Terengganu, Dato’ Haji Wan Zakaria Abdul Rahman.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Wan Sulaiman.
Menurut Dato’ Senara Muda, bayaran zakat paling tinggi diterima tahun ini adalah daripada zakat pendapatan iaitu RM21 juta diikuti zakat perniagaan RM19 juta dan zakat simpanan RM13 juta.

“Kutipan terus meningkat hasil kesedaran tinggi pelbagai golongan masyarakat termasuk ahli korporat dan individu mengenai kewajipan membayar zakat untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.