Halaman

11 October 2011

Isteri semat pangkat Koperal kepada suami

Oleh: Mohammad Ishak


KPD Besut Kamaruddin memerhati sorang isteri menyematkan pangkat kepada suaminya

Seramai 66 anggota polis dari daerah Besut yang menerima kenaikan pangkat Koperal terharu apabila isteri sendiri diberi mandat untuk memakai pangkat dalam satu majlis yang diadakan di Padang Kawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, Kampung Raja, hari ini.

Peluang itu turut dikongsi kegembiraan oleh isteri dan anak-anak yang diundang khas oleh pihak IPD untuk memakai sendiri pangkat yang diterima oleh suami masing-masing sambil disaksikan oleh Ketua Polis Daerah Suerintendan Kamaruddin Zakaria serta pegawai kanan lain.

Majlis Pemakaian Pangkat Koperal Time Based itu membabitkan anggota dari pelbagai unit seluruh daerah Besut berlangsung dalam suasana meriah dan perasaan terharu bercampur gembira jelas kelihatan kepada mereka terbabit.

Kamaruddin berkata, peluang yang diberikan kepada isteri masing-masing untuk memakai pangkat yang diterima suami bagi membangkitkan semangat dan kesedaran isteri kepada suami yang menjadi anggota pasukan keselamatan.

Katanya, beliau nampak menerusi cara itu isteri begitu terharu apabila suami mereka menerima kenaikan pangkat selain satu penghormatan yang amat berharga dalam sejarah hidup mereka.

Menurutnya, anggota yang menerima kenaikan pangkat itu diharap dapat meningkatkan lagi kerjaya masing-masing dengan lebih bersemangat dan bertanggungawab terhadap tugas.

"Peningkatkan kes jenayah yang dilaporkan di daerah ini memerlukan kepakaran dan kebijaksanaan semua anggota untuk mengurangkan kadar jenayah yang dilaporkan," katanya.

Beliau berkata, berikutan itu Polis Besut sudah menjalin kerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Masjid dengan meletakkan seorang anggota polis bagi setiap agensi terbabit.