Halaman

11 October 2011

Jeremy Koo juara MMRC 2011


Oleh FAUZI MOHD

JEREMY Koo dari pasukan Abdullah Chan KRT berjaya mengekalkan kejayaan apabila sekali lagi muncul juara Kejohanan Match Racing Malaysia (MMRC) 2011 yang berlangsung di Pulau Duyong, di sini.

Kemenangan itu membolehkan Jeremy mendapat tempat dalam Piala Monsun yang akan diadakan di tempat sama mulai 22 hingga 27 November ini.

Jeremy berjaya menggalas cabaran negara selepas mengetepikan saingan penyandang juara dua tahun lalu Hazwan Hazim Dermawan dari pasukan Permai Hotel Sailing Team.




Beliau yang pernah menjadi krew Tiffany ketika adik perempuannya itu menjuarai MMRC pada 2006 dan 2007 berjaya mengatasi pencabar terdekatnya dengan keputusan 3-2 dalam perlawanan akhir petang tadi.

Jeremy ketika ditemui pemberita berkata perlawanan sangat sengit dan sukar untuknya mengalahkan penyandang juara edisi 2009 itu.

"Perlawanan tadi amat sengit namun dengan semangat berpasukan yang tinggi daripada ahli kumpulan yang lain kami berjaya mengatasi lawan," katanya.

Dalam saingan separuh akhir pada sebelah pagi, Jeremy menewaskan Masyuri Rahmat dari pasukan MAF 2 dengan mencatat kemenangan 3-2 manakala Hazwan Hazim Dermawan berjaya menyekat kemaraan UPM Sailing dengan keputusan 3-2.

Sementara itu, Hazwan Hazim, kecewa setelah tewas kepada pasukan Abdullah Chan KRT di peringkat akhir sekaligus menutup peluangnya mengulangi kejuaraan dua tahun lalu.

"Kami telah melakukan yang terbaik namun nasib tidak menyebelahi kami dan kesilapan teknikal yang tidak dapat dielakkan terus menutup peluang kami," katanya.





Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dato' Zaidon Asmuni. Hadir sama Pengerusi T-Best, Tan Sri Sabaruddin Chik.

Sebanyak tujuh pasukan menyertai kejohanan edisi keenam itu membolehkan juara MMRC mewakili Malaysia pada kejohanan Piala Monsun pusingan akhir serta penentu juara jelajah Match Racing Dunian (WMRT) di lokasi yang sama pada bulan November ini.

Kejohanan Match Racing Asia (AMRC)akan bermula 12 hingga 15 Oktober ini di mana juara kejohanan akan mendapat tempat dalam saingan Piala Monsun.