Halaman

25 October 2011

Terengganu beri diskaun 50 peratus tiket pertandingan akhir Piala Malaysia

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan Terengganu bersetuju memberi subsidi 50 peratus daripada harga tiket RM50 yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi pertandingan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam, 29 Oktober ini (Sabtu).

Langkah itu bertujuan meringankan beban yang terpaksa ditanggung peminat skuad “Penyu” yang terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk pengangkutan dan penginapan serta makan minum bagi memberi sokongan kepada pasukan mereka pada pertandingan piala berprestij itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengeluarkan arahan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dato’ Haji Che Mat Jusoh supaya menempah 30,000 tiket bagi menyaksikan pertandingan itu untuk dijual kepada penyokong Terengganu.

“PBSNT diminta supaya mengagihkan 500 keping tiket kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dijual kepada penyokong pasukan Terengganu,” kata Setiausaha Akhbar Menteri Besar Terengganu, Encik Rosli Zakaria, melalui SMS kepada Teganukita, hari ini.

Sebelum ini FAM mengumumkan harga tiket bagi pertandingan akhir antara Terengganu dan Negeri Sembilan ditetapkan pada harga RM50 bagi semua tempat duduk manakala tiket untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah RM5 seorang.

Kenaikan harga tiket yang dianggap tinggi itu menimbulkan rungutan kepada orang ramai, khususnya peminat kedua-dua pasukan yang akan beraksi pada pertandingan akhir itu.

“Bayaran subsidi akan disalurkan terus kepada PBSNT,” kata Rosli yang turut meminta peminat bolasepak di negeri ini supaya menghubungi terus PBSNT bagi mendapatkan keterangan lanjut.



Produk Kedai Rakyat 1Malaysia di T-Shoppe

Oleh FAUZI MOHD

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah bersetuju untuk menempatkan produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di rangkaian kedai serbaneka 24 jam, T-Shoppe.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Dato' Mohamed Awang Tera berkata, dengan kerjasama Mydin Holding sekalu pembekal 250 jenis produk di KR1M, ia bermula hujung tahun ini.

"Kedai Rakyat 1Malaysia tetap akan dibuka di Terengganu tetapi jumlahnya tidak banyak kerana 14 buah T-Shoppe di seluruh negeri telah membawa jenama produk kedai itu kepada pengguna.

"Ia projek serampang dua mata, di samping mahu menarik lebih ramai pengunjung ke T-Shoppe, produk KR1M yang lebih murah dan berkualiti itu boleh didapati di premis 24 jam kecuali cawangan baru di Universiti Malaysia Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kedai Harga Patut 2011 Zon Timur di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Terengganu petang semalam.

Projek KR1M yang dipantau dan diuruskan KPDNKK itu menjual barangan seperti beras, minyak masak, susu tepung dan lampin yang dipak menggunakan logo 1Malaysia.

Sementara itu, sebanyak 139 buah kedai dari tiga negeri, Terengganu, Pahang dan Kelantan telah berjaya dipilih sebagai Kedai Harga Patut melalui Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar).

Program Tukar diperkenalkan oleh KPDNKK selepas mendengar luahan hati serta masalah yang dihadapi peniaga kedai runcit yang sukar bersaing dengan pasar raya.

Sebanyak 600 kedai runcit tradisional di negara ini dimodenkan menerusi kerjasama kerajaan dengan pasar raya atau outlet terpilih seperti Tesco, Carrefour, Mydin, AEON, Giant dan Econsave.

Daripada jumlah berkenaan kata Dato' Mohamed, 49 buah kedai di Terengganu berjaya menerima status Kedai Harga Patut dan 27 buah daripadanya adalah kedai runcit.

Katanya, T-Shoppe dalam masa sama telah dilantik sebagai perunding Tukar di negeri ini oleh KPDNKK yang berperanan untuk memodenkan operasi kedai runcit tradisional dalam persekitaran perniagaan peruncitan yang kompetitif.

"Peniaga kedai runcit ini telah dan akan dibantu dari segi reka bentuk kedai yang menarik, amalan pengurusan yang cekap dan selamat serta aplikasi sepenuhnya sistem maklumat dalam operasi perniagaan.

"Sebagai mentor, T-Shoppe diamanahkan untuk membimbing pengusaha yang disasarkan supaya operasi kedai runcit mereka menjadi lebih berdaya maju dengan identiti tersendiri," katanya.

Dalam pada itu katanya, Terengganu mensasarkan 60 buah kedai runcit berjaya dipilih sebagai Kedai Harga Patut pada tahun ini dan setiap peruncit diberi pinjaman mudah RM60,000 daripada Bank Rakyat untuk program berkenaan.

Hasrat Azlas ziarah kubur bapa tercapai

Oleh FAUZI MOHD

TIADA apa yang mampu diingat Azlas Jaafar dalam usia seawal tiga tahun ketika mengunjungi pusara pahlawan Bukit Kepong di Muar, Johor bersama arwah ibunya, Seri Ahmad.

Sentuhan kasih sayang seorang anak terhadap bapanya, Konstabel Jaafar Hassan hanya melalui gambar 'hitam putih' yang telah meninggalkan nama sebagai pahlawan negara yang terkorban dalam tragedi berdarah Bukit Kepong.

Dalam usia 62 tahun, itulah kali pertama Azlas menyentuh ukiran nama bapanya pada batu nisan di Pusara Anggota Polis Peristiwa Bukit Kepong di Bukit Kepong, Jumaat lalu.

Kunjungan anak tunggal itu bersama 10 ahli Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Terengganu disertakan dengan majlis tahlil ringkas dan bacaan Surah Yasin.

Azlas ketika dihubungi berkata, sudah terlalu lama dia menyimpan hasrat untuk berkunjung ke Bukit Kepong dan perkara itu pernah dibincang bersama beberapa pihak lain, namun tidak kesampaian.

"Walaupun tertangguh beberapa kali, dengan sokongan Pemuda UMNO dan Pejabat Daerah Kuala Terengganu akhirnya saya sampai jua ke sini.

"Selama ini bukan saya tidak mahu pergi. Teringin sangat nak pergi. Sejak berpindah ke Terengganu 30 tahun lalu, susah untuk ke sana, lagipun saya orang susah," katanya yang kini menetap di Kampung Perpindahan Cendering, Kuala Terengganu.

Azlas yang tidak berkerja itu tinggal bersama ibu saudaranya yang juga kakak
kepada Allahyarham Jaafar, Minah Mohamad, 85 dan mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Kuala Terengganu, Badrol Hisham Zaki berkata, waris pejuang Bukit Kepong perlu diberi perhatian bagi mengurangkan kesedihan mereka akibat dihina pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab.

"Kita mahu zahirkan kepada mereka khususnya Azlas bahawa masih ramai individu dan pertubuhan yang prihatin dan mahu membela keluarga mereka.

"Tatkala waris mereka dihina dan dituduh sebagai tali barut penjajah, masih ada orang lain yang tampil memberi sokongan kepada mereka," katanya.

Peruntukan RM20,000 sedia tempat lawan pedang

Oleh: Esah Abdullah

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri Seberang Takir dipilih sebagai tempat latihan acara lawan pedang bagi mencungkil bakat baru dalam sukan berkenaan dari seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kerajaan negeri serius untuk melahirkan jaguh lawan pedang dari kalangan pelajar negeri ini, sekaligus menghantar mereka menyertai Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan.

“Sejumlah RM20,000 diperuntukkan untuk mengubahsuai tempat latihan di kawasan sekolah ini bagi kemudahan pelajar menjalani latihan,” katanya pada majlis Graduasi SMK Ibrahim Fikri, Seberang Takir bagi pelajar Tingkatan Lima dan Enam Atas yang akan meninggalkan sekolah berkenaan tahun ini.

Katanya, kerajaan sedia lakukan apa saja untuk melihat kejayaan semua pelajar sama ada dalam akademik atau pun bidang sukan.

YB Haji Ahmad Razif juga meminta pelajar terbabit menganggap pemakaian jubah graduasi hari ini sebagai permulaan untuk menyarung jubah konvokesyen pada masa akan datang.

“Saya janji akan menghadiahkan komputer riba kepada setiap mereka yang berjaya mendapat A dalam semua mata pelajaran dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diduduki November ini,” katanya.


Sehubungan itu, katanya ibu bapa perlu ada komitmen untuk memberi tambah nilai bagi memajukan pelajaran anak masing-masing walau pun kerajaan telah memansuhkan yuran sekolah serta memberi imbuhan RM100 kepada setiap pelajar mulai Januari tahun depan.

Seramai 303 pelajar menerima sijil graduasi masing-masing termasuk 238 orang pelajar yang akan menduduki SPM dan 65 orang akan mengambil STPM bulan depan.


24 October 2011

5.300 majikan yang berdaftar dengan Perkeso dikenalpasti tidak aktif

Oleh: Mohammad Ishak


A Rahim (kiri) dan Mohammad Ramli menyerahkan perlatakan kepada seorang penerima faedah Perkeso


Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Terengganu kini mempunyai 12,295 majikan yang mendaftar dengan pertubuhan itu sehingga akhir September lalu.

Bagaimanapun, daripada jumlah itu Perkeso mengenal pasti ada 5,300 majikan yang tidak aktif sama ada tidak mencarumkan kepada petubuhan itu atau majikan terbabit sudah berkubur.

Pengarahnya,Mohammad Ramli Ahmad Dahalan berkata, purata majikan yang mendaftar perusahaan masing-masing ialah 53 majikan pada setiap bulan.

“Pertambahan ini menunjukkan semakin ramai majikan sedar mengenai tanggungjawab dan prihatin terhadap pekerja apabila mereka tanpil mendaftar,” katanya pada Seminar Perkeso Bersama Pemimpin Masyarakat Peringkat Negeri Terengganu di Demong Beach Resort, hari ini.

Seminar sehari disertai 40 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Penghulu Mukim Daerah Besut itu dirasmikan oleh Pegawai Daerah, A Rahim Jusoh.

Sempena seminar itu juga Perkeso menyerahkan alat pemulihan kepada seorang penerima faedah Perkeso.

A Rahim berkata, seminar berkenaan bertujuan melengkapkan ilmu dan peranan pengerusi JKKK dalam memimpin organisasi itu selain dapat membantu agensi kerajaan termasuk Perkeso menyampai mesej kepada masyarakat.


Sekolah disaran wujud tanaman herba

Oleh; Esah Abdullah


Pihak pengurusan sekolah di negeri ini disaran supaya mewujudkan taman yang ditanam dengan tumbuh-tumbuhan herba yang boleh memberi manfaat kepada kehidupan masyarakat, khususnya warga sekolah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata generasi baru perlu dilatih mengenali dan membiasakan diri mereka mengamalkan makanan tradisional yang diyakini berkhasiat dan bermutu tinggi.

“Program yang dilancar hari ini merupakan projek perintis bagi sekolah-sekolah di negara ini dan akan dikembangkan ke sekolah lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Penggalakan Sains dan Teknologi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Taman Mini Tanaman Makanan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Seberang Takir hari ini.

Hadir sama, Dekan Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan UMT, Prof Dr. Sayed Mohamed Zain Sayed Hasan dan Pengetua SMK Ibrahim Fikri, Encik Roslan Awang.

YB Haji Ahmad Razif berkata, selain memperkenalkan tanaman herba kepada masyarakat, program itu juga bertindak melatih mereka mengamalkan pemakanan yang baik untuk kesihatan terutama dalam menggunakan tumbuh-tumbuhan herba.


“Usaha UMT memperkenalkan tanaman ini ke sekolah-sekolah selaras dengan konsep Anjung Ilmu yang dibawa kerajaan dan melalui program ini banyak makumat dan kajian boleh dijalankan mengenai tumbuhan herba yang tumbuh di bumi Terengganu,” katanya.

Menurutnya, terdapat 66 jenis pokok herba di tanam di Taman Mini SMK Ibrahim Fikri dan boleh dimanfaat oleh semua pihak termasuk sekolah serta pelajar dan juga ibu bapa.


Skuad Penyu disaran jangan fikir ganjaran

Oleh: Suriati Ali

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Dato’ Che Mat Jusoh mengingatkan barisan pemain Skuad Penyu agar tidak memikirkan soal ganjaran, sebaliknya perlu memberi seluruh tumpuan dalam misi untuk memburu juara Piala Malaysia musim ini yang bakal berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor, 29 Oktober ini.

Menurutnya, apa yang lebih penting kini adalah pemain perlu terlebih dahulu mencatat kemenangan bagi memberi penghargaan kepada seluruh rakyat Terengganu yang banyak memberi sokongan kepada pasukan selama ini.

“Jika perkara berkaitan insentif diuar-uarkan kepada umum, dikhuatiri akan menjejaskan tumpuan barisan pemain memandangkan perjuangan sebenar mereka masih belum selesai.

“Sebaliknya, apa yang paling penting adalah pemain perlu terlebih dahulu bermain dengan bersungguh-sungguh dan selepas berjaya meraih kemenangan baru kita bercakap soal insentif dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengambil jalan selamat dengan tidak membuat sebarang janji berkaitan insentif kepada pemain Terengganu walaupun berjaya menempah tiket ke pentas final bagi memastikan pemain tidak hilang tumpuan.

Ditanya peluang Terengganu dalam pertemuan menentang Negeri Sembilan Sabtu ini, beliau optimis skuad kendalian jurulatih berjiwa besar, Irfan Bakti Abu Salim itu mampu mencipta kejutan, sekali gus peluang terbaik untuk tamatkan kemarau 10 tahun.

Bagaimanapun, beliau tetap mengakui kedua-dua pasukan memiliki peluang yang sama rata untuk bergelar juara musim ini dan apa yang diharapkan agar Skuad Penyu akan memberi tumpuan penuh sepanjang 90 minit perlawanan nanti.


Kelab Peteh sedia 10 bas untuk penyokong

Oleh: Suriati Ali

Kelab Penyokong Bola Sepak Negeri Terengganu (Peteh) akan menyediakan 10 buah bas untuk membawa rombongan penyokong ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 di Stadium Shah Alam, Selangor, Sabtu ini.

Bagaimanapun, menurut Setiausahanya, Wan Mohd Azmi Wan Ngah, pihaknya belum memutuskan bayaran yang akan dikenakan berikutan ada ura-ura harga tiket akan dinaikkan dalam perlawanan penting itu.

“Pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka akan bermesyuarat hari ini berhubung harga tiket dan kita akan memaklumkan jumlah bayaran yang akan dikenakan selepas ini (selepas mesyuarat).

“Bagaimanapun, seperti biasa, kita mula membuka kaunter pendaftaran kepada ahli baru mulai hari ini di pejabat Peteh yang terletak di tingkat bawah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan tempat adalah terhad,” katanya.

Menurutnya, kebiasaannya harga tambang yang dikenakan kepada ahli termasuk tiket adalah RM110, manakala bukan ahli RM125.



Pembangunan semula Pekan Ajil sedang rancak dijalankan

Oleh: Suriati Ali

Pembangunan semula Pekan Ajil, Hulu Terengganu yang membabitkan kos RM4.2 juta kini sedang rancak dilaksanakan dengan memasang cerucuk di bangunan empat tingkat.

Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), Encik Talaha Ali, berkata apabila bangunan yang menempatkan 46 lot kedai itu siap kelak, ia bukan saja mampu mengubah landskap Pekan Ajil malah merancakkan lagi sosio-ekonomi masyarakat setempat.

“Pembangunan semula kawasan itu berkonsepkan indah dan bersih. Sehubungan itu, peranan komuniti setempat juga amat diperlukan dalam memastikan persekitaran Pekan Ajil kelak sentiasa indah serta bersih biarpun pemandangan demi pembangunan dijalankan.

“Antara projek yang disenaraikan di bawah pelan Pembangunan Semula Pekan Ajil, termasuk membina stesen kemudahan awam, beberapa lot perkedaian dan lot kedai buah.

“Lot gerai buah yang terletak di persimpangan Ajil Jerangau ini telah siap dibina dan dijangka perniaga yang berkaitan akan berpindah bia-bila masa,” katanya.


Puisi sumpah sang pujangga muncul juara

Oleh; Esah Abdullah

`Sumpah Sang Pujangga’ puisi karya Zuraidah Rashid dideklamasikan oleh Azahari Ibrahim muncul johan kategori terbuka pada Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu 2011.

Dengan kemenangan itu, Azahari seorang pendidik memenangi wang tunai RM1,000 beserta piala sumbangan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said.

Tempat kedua dimenangi Asiah Hanim Mohd Tahir yang menerima RM700 dan sijil penyertaan, manakala tempat ketiga Nordin Ismail menerima RM500 dan sijil penyertaan
Manakala kategori sekolah menengah dimenangi Nurul Fitri Bukhari yang mendeklamasikan puisi `Petualang Bangsa’ karya Wardah Munirah dan menerima wang tunai RM500, piala dan sijil penyertaan.
Chua Wy Sheng (kedua) menerima RM300 dan Nor Aimi Syuhada Shaiful Bahari (ketiga) menerima RM200 melalui sajak ` Inilah Suara Bangsa’ karya Sharif Putera.

Sementara itu bagi kategori sekolah rendah Nurul Anis Adibah Zulkifle (johan) menerima wang tunai RM250, piala dan sijil diikuti Nurul Syazwina Mohd Shukri (kedua) dan Marsitah Sulaiman (ketiga).

Sayembara Deklamasi Puisi diadakan sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dengan kerjasama Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita).

Seramai 30 penyertaan kategori terbuka dan 78 pelajar menyertai kategori pelajar sekolah.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahasa Melayu, Jabatan Pelajaran Negeri, Haji Che Soh Muda, Hadir sama Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Hajah Nor Akmal Abdul Fatah.