Halaman

20 November 2011

PHM dedah kepentingan pengguna dan pengusaha

Oleh; Esah Abdullah

Sebanyak sembilan kertas kerja mengisi slot Program Halal Malaysia (PHM) yang berlangsung di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) selama dua hari bermula hari ini.

Program bertujuan mendedahkan kepentingan dan keperluan halal serta memaksimunkan standard halal pihak pengguna, pengeluar, usahawan dan masyarakat dianjurkan oleh Jabatan Standard Malaysia (JSM) dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu.

Ketua Pengarah JSM, Puan Fadilah Baharin, menyatakan program ini merupakan salah
satu inisiatif pembaharuan strategik di bawah program tranformasi ekonomi bagi memastikan perniagaan mematuhi standard antarabangsa dalam memudahkan hubungan ke rantaian penawaran dunia.

“Ia memberi manfaat kepada semua pihak bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkenaan aplikasi standard halal sedia ada dan akan datang di samping meningkatkan integriti produk halal di persada antarabangsa.

Antaranya kertas kerja ‘Perbankan Islam Solusi Kewangan Industri Halal’ oleh Pengurus Besar Am Islamic Bank, Datuk Zainal Abidin Mohamed dan ‘Keberkatan Bisnes Dengan Berzakat Dan Berwakaf’ oleh Penolong Pengarah Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Ustaz Mustapayyudin Abdul Halim.

Pengarah Urusan QSR Brand Berhad/KFC Holding, Haji Jamaludin Md. Ali turut memberi tips mengenai peluang bisnes bersama KFC/ Ayamas dan Pensijilan Halal; Prosedur dan Isu Terkini oleh Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ustaz Kamarul Nizal Idris.

Seramai 150 peserta dari kalangan pengguna, pengusaha, usahawan dan wakil jabatan kerajaan, badan berkanun dan swasta menyertai program yang julung kali diadakan di negeri ini.




JKKK perlu menyediakan pelan kawasan kampung

Oleh: Mohammad Ishak












Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu menyediakan pelan kawasan pentadbiran sendiri bagi memudah sesuatu tindakan diambil untuk melaksanakan pelbagai pembangunan di kampung terbabit.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh berkata, penyediaan pelan kampung amat perlu kepada semua JKKK supaya proses menyusun sesuatu projek pembangunan dapat dilaksanakan secara kemas dan tersusun.

Katanya, agak jarang JKKK daerah ini yang mampu menyediakan pelan berkenaan dan mereka sepatutnya menyediakan kemudahan itu disetiap organisasi terbabit.

Beliau berkata demikian ketika menutup Kursus Jati Diri dan Kepimpinan Pengerusi-Pengerusi JKKK kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, di Kuala Lumpur International Hotel semalam.

Kursus tiga hari anjuran Pejabat Daerah Besut (PDB) dengan kerjasama Fieyna Traning Centre disertai oleh 30 Pengerusi JKKK kawasan berkenaan.

A Rahim berkata, kursus bertujuan melengkapkan pengetahuan selok belok menjadi pemimpin kepada pengerusi organisasi itu bagi mempastikan jentera JKKK daerah itu dapat berfungsi dengan baik dan berkesaan untuk pembangunan setempat.

Selain itu,katanya, kursus itu juga untuk melahirkan golongan pemimpin yang berwibawa dan mampu merancang pelbagai aktiviti dan pembangunan untuk faedah penduduk setempat.

Beliau berkata, pihaknya bangga kerana Besut dapat menonjolkan sebuah JKKK paling berjaya di negeri ini apabila JKKK Gong Gucil menjadi model kepada jentera pentadbiran JKKK di Terengganu.


19 November 2011

Zoo Kemaman bertaraf antarabangsa

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kemudahan di Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman akan ditingkatkan secara berperingkat-peringkat bagi memenuhi standard piawaian antarabangsa, sekaligus menjadikannya zoo bertaraf dunia.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata peruntukan RM50 juta disediakan melalui Rancangan Malaysia Ke-10 bagi menambah bilangan haiwan serta pelbagai kemudahan bagi menempatkan lebih banyak haiwan di zoo tersebut.

“Kita mahu menyediakan ruang yang lebih besar bagi meletakkan pelbagai jenis haiwan seperti yang ditetapkan piawaian antarabangsa bagi menjadikan zoo ini bertaraf antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Haiwan Untuk Ditempatkan Di Pusat Pemuliharaan Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman, hari ini.



Hadir sama pada majlis itu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Dato’ Mohamed Awang Tera dan Ketua Pengarah Perhilitan, Dato’ Abdul Rashid Shamsuddin.

Perhilitan menyerahkan 13 ekor singai, dua tapir dan dua pasang ungka untuk dibela di zoo tersebut.

Menteri Besar berkata, zoo berkenaan bukan saja menjadi tempat belaan pelbagai jenis haiwan untuk ditonton orang ramai, tetapi pada masa yang sama akan menjadi tempat pemuliharaan haiwan, terutama daripapada spesies yang hampir pupus.

Katanya, zoo itu juga kini dalam proses menyediakan ‘African Safari’ yang bakal menempatkan pelbagai haiwan dari Afrika, tidak lama lagi.




Prasarana sekolah luar bandar setaraf dengan pencapaiannya

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri bercadang untuk menaik taraf kemudahan prasarana sekolah luar bandar dalam usaha merapatkan jurang dengan sekolah bandar bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB. Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kecemerlangan yang ditunjukkan sekolah luar bandar dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Khamis lalu.

Katanya, peningkatan kecemerlangan pelajar sekolah di luar bandar itu amat membanggakan dan tumpuan lebih terperinci wajar diberikan memandangkan mereka telah membuktikan berpotensi tinggi untuk berjaya dalam pelajaran.

"Semasa keputusan UPSR baru-baru ini kita dapati ada beberapa sekolah luar bandar menunjukan potgensi yang lebih baik berbanding sekolah bandar, terutamanya Sekolah Kebangaan (SK) Kampung Dusun dan SK Kampung Tok Dor di Hulu Terengganu.

"Keputusan ini amat membanggakan kita, malah SK Kampung Dusun diiktiraf sekolah terbaik walaupun berada di kawasan luar bandar sehingga berjaya melayakkan Terengganu kekal sebagai negeri terbaik UPSR untuk kali ke-11," katanya.

Beliau berkata demikian sebelum merasmikan Majlis Konvoksyen Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) 2011 yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Presiden PSSCM, Dato' Maideen Kadir Shah, Ketua Pusat Ko-Kurikulum UMT, Awang Koding dan Presiden PSSCM UMT, Wan Nasruddin Abdullah.

Seramai 700 peserta menyertai konvoksyen itu dan 135 daripadanya menerima sijil setelah lulus dalam Ujian Sijil Rendah Seni Silat Cekak Malaysia. Untuk rekod sehingga kini PSSCM mempunyai seramai 10,000 ahli yang berdaftar.

Tambah Ahmad Razif, pihaknya akan mengenalpasti kekurangan dan kemudahan yang perlu diberi keutamaan di sekolah berkenaan dan sekiranya perlu menambah bilangan guru, keperluan itu akan diusahakan.

Katanya, sekiranya diberi bantuan dan perhatian sekolah luar bandar ini boleh menghasilkan kejayaan dan pihaknya sedar kemudahan yang ada di sekolah terbabit amat berbeza jika dibandingkan dengan sekolah di kawasan bandar.

"Justeru, Kerajaan negeri akan terus menyalurkan bantuan kepada Jabatan Pelajaran Negeri terutamanya dalam aspek kewangan untuk terus mengekalkan prestasi dan kecemerlangan sekolah luar bandar," katanya.

Tuanku Mizan berkenan rasmi jambori

Oleh: Suriati Ali


Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Jambori Malaysia ke-12 dan Jambori Antarabangsa Negeri Terengganu di Kem Pengangkap Tengku Muhammad Ismail, Seberang Takir, Kuala Terengganu, petang semalam (18 November).

Ketibaan Yang Dipertuan Agong kira-kira jam 3.40 petang itu, disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ketua Pengakap Negara, Dato’ Seri Paduka Dr Haji Shafie Mohd Salleh.



Tetamu kehormat lain yang menyambut, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Dato’ Kaharuddin Mo’min; Pengerusi Majlis Pengangkap Terengganu, Dato’Haji Abdullah Taib dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Terengganu, Haji Otman Ismail.



Selepas titah perasmian, baginda turut berkenan menandatangan plak perasmian pegisytiharan Kem Pengakap Tengku Muhamaad Ismail di mana sebelum ini dikenali sebagai Kem Pengangkap Telaga Batin.

Pada masa sama, Yang Dipertuan Agong turut berkenan melancarkan syiling Peringatan Pengangkap 100 Tahun di Malaysia.

Bertemakan ‘Menjelajah Warisan’, pelbagai kegiatan diadakan termasuk kembara bandar, aktiviti lasak dan aktiviti air





Jambori dapat sambutan pelbagai Negara

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 10,800 pengakap dari 21 negara penuh minat menyertai Jambori Malaysia ke-12 dan Jambori Antarabangsa Negeri Terengganu yang di Kem Pengangkap Tengku Muhammad Ismail, Seberang Takir, Kuala Terengganu.



Antara Negara menyertai jambori yang diadakan selama lapan hari dan berakhir 25 November itu adalah Mesir, Jepun, Hongkong, Singapura, Vietnam, Nepal, Indonesia, Sri Langka, Brunei, Maldives dan Kazakhstan.

Pelbagai aktiviti diadakan, termasuk kembara Bandar, aktiviti lasak, aktiviti air, pertandingan kebudayaan, forum perdana dan persembahan perdana.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata lebih 4,000 peserta dari Terengganu menyertai jambori kali ini dan selebihnya iaitu, 6,000 peserta dalam negara serta 800 lagi dari luar negara.

Katanya, dia mahu setiap peserta mengambil manfaat sepenuhnya aktiviti ini kerana mampu memupuk semangat kerjasama antara pelbagai kaum, membina jati diri supaya lebih berdisplin, mengerat hubungan persaudaraan dan mengenali cara hidup dan budaya pelbagai Negara.

“Pihak kami berbangga kerana Terengganu dipilih sebagai tuan rumah jambori secara tidak langsung dapat memperkenalkan kecantikan dan keunikan negeri ini kepada masyarakat luar.

“Sehubungan itu, peserta dan urusetia jambori sewajarnya meluangkan masa melawat di pelbagai lokasi menarik yang terdapat di negeri ini yang nyata boleh menambah pengalaman dan pengetahuan,” katanya.




18 November 2011

Pelayar TESA ungguli 'Laser Dinghy' Regatta KFC Terbuka Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Regu pelayar dari Persatuan Pelayaran Terengganu (TESA), Mohd. Sollehudin Ismail, 19, dan Mohd. Fathudin Salleh, 19, menjuarai kategori 'Laser Dinghy' Regatta KFC Terbuka Terengganu 2011 di Pulau Duyong, Kuala Terengganu hari ini.

Perlumbaan maraton mengelilingi Pulau Duyong sejauh 18 kilometer itu membolehkan gandingan dari Penarik, Setiu itu membawa pulang wang tunai RM600 serta medal dengan menewaskan Sheikh Abdul Somad Saidi, 16 (kedua) dan Azri Suhaimi, 19 (ketiga).

Tempat kedua dan ketiga pelayar dari TESA itu masing-masing membawa pulang wang tunai RM300 dan RM200 yang disampaikan Penasihat Kejohanan Piala Monsun, Dato' Peter Gilmour. Turut hadir, Naib Presiden I Persatuan Perlayaran Malaysia (MYA), Dato' Wan Hisham Wan Salleh.

Bagi kategori 'Optimist', pelayar Persatuan Perlayaran Kedah, Mohd. Isan Ali, 15, diumumkan juara selepas menewaskan dua pelayar dari Persatuan Perahu Layar Melaka Bandaraya Bersejarah iaitu Ahmad Khairulhafiz A. Khmbali, 15 (kedua) dan Nur Qhudrat Yusop, 17.

Juara tunggal kategori 'Windsurfing' diraih Muhd. Faqih Mohd. Arshad, 15 dari Persatuan Perahu Layar Pahang.

Paling membanggakan, semua peserta berjaya menamatkan perlumbaan dengan masa terpantas 1 jam 14 minit dengan kelajuan angin monsun 4.5 not, arus dari dua aliran sungai di Muara Sungai Terengganu serta hujan.

Kejohanan tiga hari anjuran KFC, TESA, MYA dan Majlis Sukan Negara itu disertai oleh 89 pelayar muda berusia lapan hingga 19 tahun dari 10 pasukan termasuk Persatuan Perlayaran Tentera Laut Diraja Malaysia dan semua persatuan pelayaran negeri dari Semenanjung Malaysia kecuali Kelantan.

Acara yang masuk musim ketiga itu melibatkan enam kelas perlumbaan iaitu 470, Laser Radial, Laser Standard, International 420, Luncur Angin serta Optimis dan sebelum ini ia dianjurkan di Penarik, Setiu dan Batu Buruk.

Sementara itu, Dato' Wan Hisham dalam ucapannya memberitahu, bermula tahun depan seramai 300 pelayar tempatan dari seluruh negara akan dipilih untuk menjadi pemerhati dalam kejohanan perlayaran, Piala Monsun.

Katanya, program tajaan KFC dan MYA itu bagi memberi pendedahan acara perlayaran sebenar yang bertaraf dunia bagi menaik taraf sukan ini ke tahap yang lebih tinggi serta mempromosi pelayaran sebagai acara sukan penting di Malaysia.

T-Team uji pemain import Brazil

Oleh FAUZI MOHD

Pemain Zambia, Sashi Chalwe merupakan yang pertama diuji pasukan T-Team dalam rangka pengisian pemain import dalam menghadapi Liga Malaysia 2012.

Jurulatihnya, Yunus Alif berkata, selepas ini, T-Team akan menguji beberapa pemain dari Argentina, Cameroon dan Brazil dalam usaha mencari pemain import terbaik untuk pasukan itu.

"Kita akan menguji pemain import ini satu demi satu supaya kita benar-benar dapat pemain yang import yang berkualiti dan baik,” katanya.

Mengenai pemain Zambia itu Yunus berkata, setakat ini beliau sukar untuk menilai prestasinya kerana pemain itu baru tiba di sini dua hari lepas dan baru diuji semalam.

Sehubungan itu, katanya, T-Team mengatur beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan bola sepak di Terengganu sebagai gelanggang menguji pemain tersebut.

Besut muncul daerah terbaik dalam UPSR

Oleh; Esah Abdullah

Daerah Besut muncul daerah terbaik bagi keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 yang diumumkan hari ini apabila mencatat kelulusan semua A sebanyak 23.9 peratus.



Daerah berkenaan mencatatkan keputusan lebih baik berbanding Putrajaya yang mencatat keputusan semua A sebanyak 20 peratus.

Sejumlah 3,515 calon dari sekolah rendah daerah Besut menduduki peperiksaan itu tahun ini di 50 pusat peperiksaan.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Razali Daud mengumumkan bahawa Terengganu terus mengungguli tangga teratas bagi pencapaian keputusan UPSR tahun ini.

“Kita berjaya mengekalkan kedudukan sebagai juara 11 tahun berturut-turut apabila sekali lagi mencatat keputusan terbaik UPSR tahun 2011,” katanya daam sidang media di pejabatnya hari ini.

Daripada keseluruhan 23,250 calon yang menduduki peperiksaan itu tahun ini, 15.6 peratus mendapat keputusan semua A, iaitu meningkat sebanyak 0.2 peratus berbanding tahun lalu (15.4 peratus).




Ibu tunggal Terengganu aktif sertai PCIT

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 6,343 ibu tunggal di Terengganu aktif menyertai Program Cakna Ibu Tunggal (PCIT) yang diwujudkan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) sejak tahun lalu.

Penglibatan golongan itu dalam PCIT bukan saja dapat membantu menyelesaikan pelbagai masalah malah mampu memberi, sokongan, galakan dan menyuntik semangat baru supaya terus berdikari meningkatkan ekonomi keluarga.

Pengarah YPKT, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa, berkata PCIT mampu membuktikan keberkesanannya kerana sehingga kini mampu menghimpunkan lebih 6,000 ibu tunggal yang kematian suami atau bercerai dalam satu kumpulan.

“Melalui program ini, YPKT dapat membantu melalui pelbagai aspek termasuk berkaitan ekonomi, undang-undang, bimbingan kaunseling, hubungan kekeluargaan, bimbingan kesihatan dan pendidikan anak-anak,” katanya.

Katanya, pada masa sama kursus kemahiran internet dan pembangunan e-Perniagaan yang diselia khas oleh beberapa pegawai di bawah Program Bengkel Latihan Jendela Industri Kecil dan Sederhana turut dianjurkan bertujuan meningkatkan daya kreativiti berkaitan teknologi maklumat.

“Apabila mempunyai kemahiran berkaitan itu, mereka mampu mempromosi pelbagai jenis perniagaan atau produk yang dimiliki secara meluas melalui laman sesawang,” katanya.