Halaman

20 December 2011

JKKK Dun Bandar terima tunggakan elaun RM67,000


Oleh FAUZI MOHD

Seramai 48 Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar menerima bayaran tunggakan mereka dalam satu majlis malam kelmarin.

Penyerahan bayaran yang keseluruhan lebih RM67,000 itu berikutan kenaikan elaun perkhidmatan Januari lalu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Toh Chin Yaw.

Dato’ Chin Yaw yang juga ADUN Bandar berkata, jika sebelum ini kerajaan memberi elaun sebanyak RM450 sebulan

telah dinaikkan kepada RM800 sebulan mulai Januari lalu iaitu kenaikan RM350 sebulan.

Katanya, Timbalan Pengerusi dan Setiausaha JKKK masing-masing turut menerima kenaikan RM150 dan RM100.

“Bayaran kadar baru ini dibuat selepas kerajaan mengambil kira perkhidmatan mereka semakin membebankan selain kos sara hidup semakin meningkat sekarang,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek Tunggakan itu di Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu.




Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Sabri Alwi dan Penyelaras UMNO DUN Bandar, Dato’ Ibrahim Mohamad.

Caj RM1 untuk rawatan warga emas dihapus

Berita baik untuk warga emas, mulai 1 Januari 2012, Kementerian Kesihatan menghapuskan caj pendaftaran pesakit sebanyak RM1 kepada semua warga emas berusia 60 tahun ke atas, di Jabatan Pesakit Luar Am, semua hospital dan klinik kerajaan.

Setiausaha Bahagian Kewangan kementerian, Wong Foong Lai, berkata pelaksanaan itu bagi merealisasikan hasrat Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, yang diumumkan dalam Bajet 2012 bagi menghargai jasa warga emas menikmati kemudahan awam terutama perkhidmatan kesihatan.

“Semua hospital dan klinik kerajaan dikehendaki melaksanakan pengecualian caj pendaftaran itu, sebagaimana ditetapkan mengikut Jadual A, Bahagian 1, Perintah Fi (Perubatan) 1982 kepada semua warga berusia 60 tahun ke atas,” katanya dalam Pekeliling Bahagian Kewangan, Bilangan 4 tahun 2011, yang dikeluarkan dalam laman sesawang kementerian, semalam.

Ketika membentangkan belanjawan bertemakan ‘Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara’ baru-baru ini, Najib mengumumkan, semua warga berumur 60 tahun ke atas tidak perlu lagi membayar caj pendaftaran pesakit luar di semua hospital dan klinik kesihatan.

Foong Lai berkata, bagi membolehkan pesakit menikmati pengecualian itu, mereka perlu mengemukakan dokumen pengenalan diri iaitu MyKad bagi membolehkan pihak klinik atau hospital terbabit membuat pengesahan.

“Bagi membolehkan pesakit terbabit mendapatkan perkhidmatan itu nanti, mereka perlu mengemukakan MyKad bagi membuat pengesahan kewarganegaraan dan umur berdasarkan tarikh lahir pesakit,” katanya.

Sementara itu, kementerian mengumumkan 60 klinik kesihatan melaksanakan waktu bekerja selepas waktu pejabat di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Kenyataan itu berkata, rakyat menyambut baik perkhidmatan yang mula dilaksanakan sejak 2008 itu, menyaksikan perkhidmatan dilanjutkan dari jam 5 petang hingga 9.30 malam setiap hari bekerja, manakala hari Sabtu daripada jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Antara klinik terbabit ialah Klinik Kesihatan Kuala Perlis, Perlis; Alor Setar, Kedah; Seberang Jaya, Pulau Pinang; Taiping, Perak; Shah Alam, Selangor; Putrajaya; Masjid Tanah, Melaka; Seremban, Negeri Sembilan dan Batu Pahat, Johor.

Turut dilanjut masa rawatan Klinik Kesihatan Kuantan, Pahang; Kuala Terengganu, Terengganu; Bandar Kota Bharu, Kelantan; Miri, Sarawak dan Lahat Datu, Sabah.


Kejohanan Sepaktakraw Piala Menteri Besar Mac depan

Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT) akan menganjurkan Kejohanan Sepaktakraw Terbuka Piala Menteri Besar Terengganu pada tahun depan sebagai usaha menyemarakkkan sukan itu.

Presidennya yang juga Naib Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Mohd Shapian Ali berkata kejohanan itu akan berlangsung pada awal bulan Mac dan terbuka kepada semua pasukan negeri dan kelab.

"Kejohanan itu akan menjadi landasan bagi melahirkan pemain-pemain untuk negara pada masa depan," katanya baru-baru ini.

Beliau berharap dengan adanya kejohanan itu nanti yang sebelum ini diadakan di peringkat negeri Terengganu sahaja, suasana sukan sepak takraw negara yang ketika ini agak suram dan sepi akan kembali meriah.

PSNT juga akan mengadakan kejohanan sepaktakraw super siri untuk peringkat negeri Terengganu mulai tahun depan sebagai salah satu usaha menyemarakkan sukan itu.

Kata Mohd Shapian, kejohanan yang bakal diperkenalkan PSNT itu melibatkan pasukan daerah-daerah di negeri berkenaan dan sekaligus menarik minat belia dalam sukan tersebut.

"Namun begitu kejohanan-kejohanan itu tidak bermakna PSNT akan mengabaikan acara sukan sedia ada, malah akan memantapkannya lagi pada tahun depan.

"Acara sukan itu antaranya kejohanan sepaktakraw bawah 21 tahun sebagai gelanggang untuk mencungkil bakat-bakat baru dan kejohanan antara regu Piala Presiden PSNT," ujarnya.

Beliau berkata dalam masa yang sama, PSNT akan memperhebatkan lagi kejohanan sepaktakraw antara regu wanita di negeri ini.


19 December 2011

Tasik Kenyir zon pancing bertaraf dunia

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri optimis untuk menjadikan Tasik Kenyir sebagai zon kaki pancing bertaraf dunia apabila usaha untuk mengekal serta menambah saiz populasi pelbagai spesies ikan giat dijalankan.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, selain mengazetkan Santuari Kelah sepanjang tiga kilometer di Sungai Petang, usaha turut digiatkan dengan melepaskan benih dan ikan induk yang diancam kepupusan.

Menurutnya, spesis ikan air tawar yang diancam kepupusan seperti lampam, kerai, tenggalan dan siakap putih antara yang sedang dibiakkan di tasik berkenaan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Isu penangkapan ikan secara tidak terkawal tidak lagi berbangkit apabila usaha pemeliharaannya melibatkan pewartaan beberapa kawasan yang luas seperti Sungai Leban dan Sungai Petang di tasik ini.

“Dalam tempoh beberapa tahun lagi, kita harapkan tiada lagi pengunjung yang mengeluh kerana semakin sukar untuk memperoleh hasil tangkapan di tasik ini yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai syurga kaki pancing,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pelepasan Benih Ikan di Sungai Leban, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharom, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi LKIM, Dato’ Mohd. Jidin Shafie.

Pada majlis itu, 10,500 benih ikan siakap putih dilepaskan dengan melibatkan kos RM23,000 daripada kos keseluruhan program itu berjumlah RM100,000.

Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad memberitahu, spesis sikap yang mampu membesar sehingga 23 kilogram seekor itu mampu mengembalikan Tasik Kenyir sebagai yang menjadi buruan kaki pancing serata dunia termasuk China, Korea, Indonesia dan Singapura.

Katanya, kewujudan Pusat Pembenihan Ikan Air Tawar di Kampung Sungai Chamar, di sini dan Pusat Pembenihan dan Asuhan Ikan Laut Berteknologi Tinggi di Kampung Limau Nipis, Setiu dengan kos pembinaan RM12.6 juta awal tahun lalu merancakkan program berkenaan.

“Sehingga kini terdapat 38 spesies ikan di Tasik Kenyir dan apa yang penting spesies itu bukan sekadar boleh dipancing malah boleh dilihat dan sesuai dijadikan lokasi untuk kegiatan penyelidikan,” ujarnya.


Keputusan PMR diumum Khamis ini



Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 akan diumumkan Khamis ini (22 Disember).

Menurut satu kenyataan Kementerian Pelajaran yang dikeluarkan hari ini, analisis keputusan PMR akan diumumkan di Putrajaya pada hari berkenaan.

"Calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing selepas 10 pagi pada hari sama," menurut kenyataan itu.

Mulai tahun ini, kementerian memperkenalkan khidmat semakan keputusan PMR melalui mySMS 15888 yang diaktifkan mulai 10 pagi Khamis hingga 12 tengah malam, 28 Dis.

Maklumat lanjut berhubung khidmat pesanan ringkas (SMS) itu boleh diperoleh di laman sesawang kementerian www.moe.gov.my.

Seramai 23,157 calon di Terengganu menduduki Penilaian Menengah Rendah pada bulan Oktober lalu.

Daripada jumlah itu, 91 calon adalah pelajar Pendidikan Khas terdiri daripada enam calon masalah penglihatan, pendengaran (10), pembelajaran (75) dan kurang upaya fizikal (9).

Seramai 481,292 calon menduduki peperiksaan PMR di seluruh negara tahun ini.
Terengganu telah menjuarai peperiksaan selama tiga tahun berturut-turut mulai tahun 2009.

PPT akan buka ladang sawit

Oleh; Esah Abdullah

Pulangan lumayan yang diperolehi melalui industri kelapa sawit telah mendorong Pertubuhan Peladang Terengganu (PPT) memajukan tanaman itu secara besar-besaran.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPT, Dato’ Haji Wan Zakaria Abdul Rahman berkata, PPT akan terus mencari kawasan baru untuk mengembangkan industri berkenaan di negeri ini.

“Setakat ini kita ada 400 hektar tanah berkelompok yang dibeli daripada individu di negeri ini dan akan dimajukan secara berperingkat sedikit masa lagi,” katanya.

Katanya, pihak lembaga masih berminat untuk membeli tanah-tanah terbiar yang sesuai untuk tanaman kelapa sawit jika ada individu yang sedia menawarkan harga yang berpatutan.

Sehubungan itu PPT juga akan memajukan kira-kira 200 hektar tanah di Langkap, Setiu dengan tanaman yang sama di samping mengurus ladang-ladang kecil milik persendirian dan milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Katanya, sehingga ini pertubuhan mempunyai 38,000 keahlian seluruh negeri dan sedia merekrut ahli baru dalam usaha membantu mewujudkan golongan peladang, petani berdaya maju.




Kenyir Motocross promosi Tasik Kenyir

Oleh:Aida Abd Rahman

Kejohanan Kenyir Motocross Monsoon Challenge 2011 yang dianjurkan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Tasik Kenyir bertujuan mempromosikan tasik buatan manusia itu kepada umum khususnya kepada pelancong dalam dan luar negara.

Pengurus Besar Ketengah, Encik Wan Mat Amin Wan Daud, berkata program itu juga diadakan bagi memperkaya atau mempelbagaikan aktiviti Sport Tourism di tasik terbesar buatan manusia itu.

"Kejohanan motocross ini merupakan kali kelima kita adakan di sini, tetapi kali pertama ia dikenali sebagai Kenyir Motocross Monsoon Challenge, di mana ia berlangsung dalam keadaan hujan sepanjang hari.

"Kita terima sambutan yang memberangsangkan daripada peminat motocross dari Jerman, Thailand dan Malaysia sendiri," katanya.

Kejohanan itu diadakan dalam sembilan ketegori melibatkan 170 peserta dengan menawarkan hadiah keseluruhan RM40,000, piala serta hadiah sampingan yang lain.

Encik Wan Mat Amin berkata, kejohanan itu merupakan program terakhir daripada 12 program yang diadakan Ketengah di tasik itu tahun ini.

Pada tahun depan, pelbagai program lagi bakal dilaksanakan termasuk `motocross’, `International Triathlon’, kejohanan memancing `Kenyir Cup’ dan pertandingan ayam serama.

"Kita juga merancang untuk mengadakan `Mini Kenyir Fest’ pada tahun hadapan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke tasik itu," katanya.

Pada kejohanan yang berlangsung selama dua hari, peserta dari Jerman Daniel Sediak muncul juara bagi kagetori Expert dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 serta hadiah sampingan yang lain.

Manakala Kategori Novice A dimenangi Mohd Izat Azwan (RM1,500), Kategori Novice B ( Sharum Nizam Mohd Nazri (RM1,000), Kategori Junior pula dimenangi Mohd Izuddin Zulkifli (RM1,000) dan Kategori Endurance Open pula dirangkul Looi Son Kim (RM1,000).

Kategori Endurance Veteran pula dimenangi Mohd Jefri Abdullah (RM1,000), Kategori Cub Cross 4T - Azwadi Mohamad (RM1,000), Kategori Cub Cross 2T dirangkul Mohd Hassan Wahab (RM1,000) dan Kategori Cub Cross (Terengganu) Mohd Abdul Salam (RM1,000).





RM34,000 bakal jadi rebutan di ABN

Oleh; Esah abdullah

Sebanyak sembilan kategori termasuk lapan kategori individu bakal menjadi rebutan 540 pertubuhan belia berdaftar dengan 35,000 keahlian di seluruh negeri bersempena majlis Anugerah Belia Negara (ABN) peringkat negeri yang akan berlangsung di Primula Beach Resort esok (Selasa).

Pegawai Pembangunan Sosial Ekonomi Jabatan Belia dan Sukan negeri, Fikri Mahmud berkata, lapan kategori individu yang dipertandingan itu melibatkan Aktivis Sosial, Kepimpinan, Inovasi dan Kreativiti , Usahawan Agro dan Usahawan.

“Manakala kategori individu lain yang turut dipertandingkan ialah Daya Juang Malaysia Boleh, Tokoh Belia Lelaki dan Tokoh Belia Wanita,” katanya.

Katanya, kira-kira RM34,000 hadiah wang tunai disediakan untuk pemenang ABN tahun ini.

Tambahnya, kategori individu masing-masing menerima wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan manakala kateogri persatuan belia akan menerima wang tunai RM10,000 dan sijil penghargaan.

Menurut Fikri, anugerah tersebut merupakan program tahunan sebagai menghargai jasa dan sumbangan persatuan serta individu yang banyak membantu dalam meningkatkan pembangunan belia di peringkat negeri khasnya dan negara amnya.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Haji Rozi Mamat (gambar atas kiri) dijangka merasmikan majlis tersebut serta menyampaikan hadiah kepada pemenang.





18 December 2011

Enam fasa pemantapan lonjak kualiti penyelidikan

Oleh; Esah Abdullah

Sekurang-kurangnya enam perkara penting yang perlu dititikberatkan dalam fasa pemantapan penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi tempoh 2011-2015.

Antaranya, menghasilkan kualiti penyelidikan berimpak tinggi, sistem mentor mentee, penyelidikan multi-disiplin, etika penyelidikan dan system penarafan – Malaysia Research Assessment (MyRA).

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Aziz Deraman (gambar kanan) berkata, fasa ini bakal merubah fizikal UMT bagi menyokong kativiti penyelidikan dapat dilaksana dengan berkesan hasil kemudahan fizikal termasuk pembinaan Makmal Berpusat Akreditasi.

“Para penyelidik perlu mengekalkan konsep ‘penyelidik berintegriti’ yang terus memelihara moral dan integrity yang tinggi dalam melaksanakan kajian dan penyelidikan,” katanya.

Katanya kesibukan tugas tidak harus dijadikan penghalang untuk menghasilkan kualiti penyelidikan dan penerbitan yang lebih tinggi.




Stadium mula dibaiki awal tahun depan

Oleh: Aida Abd Rahman


Kerajaan negeri akan memastikan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang terbiar akibat struktur bumbungnya runtuh dua tahun lalu mula dibaiki awal tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri mengambil keputusan itu selepas mendapati semakin banyak kerosakan berlaku pada stadium itu akibat terbiar dalam tempoh yang lama sebaik kejadian runtuhan itu.
"Kita akan mula baiki kawasan padang sebelum membaiki bahagian bumbung stadium. Kerja membaiki bumbung stadium akan mengambil masa kerana banyak struktur mengalami kerosakan dan memerlukan reka bentuk baru,"katanya.

Menurutnya, Jabatan Kerja Raya akan mengeluarkan tender sebut harga untuk kerja-kerja berkenaan dalam masa terdekat.

"Kita tidak akan buat bumbung biasa dan mungkin buat bumbung seperti bumbung Stadium Bukit Jalil (di Kuala Lumpur) yang lebih ringan," katanya yang turut tidak pasti berhubung kos baik pulih berkenaan.

Menteri Besar berkata, sebaik kerja membaik pulih padang siap, perlawanan bola sepak akan dilangsungkan di stadium itu, tetapi hanya pada siang hari kerana stadium berkenaan masih mengalami masalah lampu limpah.

Stadium berkenaan mengalami kerosakan apabila bumbung utama runtuh pada 2 Jun 2009 selepas kira-kira setahun digunakan bagi kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2008.

Kemudahan gelanggang boling dan skuasy turut disediakan di stadium yang boleh memuatkan 50,000 penonton dan terbesar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia itu.