Halaman

28 December 2011

Mara beri pinjaman RM31 juta

Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri Terengganu telah mengeluarkan pinjaman pembiayaan hampir RM31 juta kepada 360 usahawan dan peniaga di negeri ini mulai Januari hingga November tahun ini.

Pengarah Mara Negeri Encik Abdullah Mohamad berkata, dalam tempoh berkenaan pihaknya menyalurkan pinjaman berjumlah RM21 juta disalurkan kepada 225 orang melalui Skim Pembiayaan Islamik Kontrak Ekspres (SPiKE).

Manakala pinjaman sebanyak RM9.892 juta pula diberikan kepada 135 peniaga biasa yang menjalankan pelbagai bentuk perniagaan.

"Kita beri pembiayaan bergantung kepada peniagaan yang mereka jalankan, tetapi ia tidak melebihi RM500,000," katanya semasa merasmikan kedai serbaneka "My Convenience Shop" di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Urusan My Convenience Shop Abdul Karim Mohamad dan Pengurus Malaysia Airport Berhad (MAB) Terengganu, Dr Ahmad Ramli Mahmood.

Encik Abdullah berkata, bagi bayaran balik pinjaman pula, pihaknya berjaya memungut RM15.413 juta sehingga November lalu di mana Mara mensasarkan pungutan bayaran balik sebanyak RM17.8 juta.

"Bayaran balik peminjam Mara di Terengganu tidaklah begitu teruk. Dari segi bayaran balik, kita adalah antara lima negeri terbaik," katanya.

Beliau yakin sehingga akhir Disember ini, pungutan bayaran balik dari peminjam akan meningkat.

Sementara itu, Abdul Karim ketika ditemui pada majlis itu berkata, MyConvenience Shop di lapangan terbang itu adalah cawangan ke-tiga kedainya dan cawangan ke-empat akan dibuka bulan depan di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

"Saya sangat berterima kasih kepada Mara kerana memberi sokongan dan bantuan modal bagi meluaskan perniagaan saya," katanya.


UMT dan WWF jalin kerjasama urus tanah bencah

Oleh; Esah Abdullah

Daerah Setiu mempunyai kawasan tanah bencah terluas di Pantai Timur yang dilitupi oleh ekosistem air payau dan rangkaian sungai-sungai Setiu, Chalok, Bari dan Merang.

Tanah bencah ini menempatkan pelbagai habitat semula jadi haiwan dan tumbuhan termasuk vetegasi riparian/sungai, hutan paya gelam, hutan paya laut dan nipah serta kawasan rumpai laut,

Kawasan ini juga menyokong populasi liar spesies reptilia terancam seperti tuntung laut, tuntung sungai dan juga penyu agar.

Kajian menunjukkan kawasan ini juga didiami 29 spesies mamalia, 161 spesies burung dan 28 spesies reptilian di samping mempunyai kepentingan sebagai tapak kepelbagaian biologi yang disokong kehadiran banyak banyak spesies vertebrata dan invertebrata laut dan air tawar.

Menyedari itu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Word Wild Fun For Nature Malaysia (WWF-Malaysia) baru-baru ini.

UMT diwakili Naib Canselornya, Prof. Dato’ Dr. Aziz Deraman manakala WWF-Malaysia diwakili Pengerusinya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latif Mohamad disaksikan Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee.

Dua agensi ini akan bekerjasama dalam bidang penyelidikan khususnya bagi pengurusan alam secara lestari di tanah bencah berkenaan.




Dialog Rakyat dan Penjelasan Bajet 2012

Oleh: Mohammad Ishak




Dialog Rakyat dan Penjelasan Bajet 2012 anjuran Pejabat Daerah Besut dengan kerjasama Jabatan Penerangan yang berlangung di Bangunan Persekutuan,Kampung Raja, Besut, hari ini, memberi banyak impak bukan sahaja kepada pemimpin komuniti malah kepada pegawai dan kakitangan daerah itu.

Siri penerangan berkenan yang diadakan di seluruh negeri sebenarnya dapat membantu pelbagai kerajaan menyampaikan mesej kepada peringkat akar umbi menerusi kehadiran pemimpin komuniti terbabit.

Program yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, YB Muhamad Pehimi Yusof, bertujuan memberi penjelasan terperinci mengenai rancangan transformasi kerajaan serta pengumuman belanjawan 2012,

Majlis penerangan secara berfakta yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar, memberi banyak maklumat penting yang sebelum ini jarang diketahui peserta dialog itu.

Peserta mewakili Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Badan Bukan Kerajaan (NGO), wakil pelbagai jabatan dan agensi kerajaan juga dapat menyumbang kepada percambahan minda peserta yang hadir.

Mohd Iskandar yang menyampaikan taklimat itu dengan jelas membawa mesej kerajaan untuk disampaikan kepada golongan sasar supaya setiap pelaksanaaan dan dasar kerajaan dapat dihayati dan dipraktikkan.

Ketika merasmikan program itu, Muhammad Pehimi berkata, usaha yang dilakukan jabatan terbabit menyampaikan penerangan amat baik dan dapat membantu ketua jabatan dan kakitangan kerajaan melaksanakan dasar kerajaan secara berkesan.

“Sebelum ini rakyat kurang jelas dengan pelbagai isu dan rancangan kerajaan kerana tidak diberi pelung kepada mereka menyertai majlis yang disifatkan amat berfakta,” katanya.




JPS tangani hakisan ombak

Oleh; Esah Abdullah



Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang rancak melakukan kerja-kerja menambak di sepanjang Pantai Peranginan Teluk Lipat, Dungun dan Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu bagi mengurangkan hakisan ombak yang melanda kawasan itu.

Pengarahnya, Ir. Mat Hussin Ghani berkata, kerja menambak ini hanya bersifat sementara bagi menangani hakisan sebelum memperolehi kos sebenar yang dijangka lebih tinggi.

Katanya, kos sebenar untuk bina tembok kekal dijangka mencecah RM30 dan buat sementara waktu tembok bongkah batu yang dibina ini menelan belanja RM2 juta.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri juga turut memohon peruntukan Kerajaan Pusat berjumlah RM15 juta untuk kerja menambak Pantai Tok Jembal (RM10 juta) dan Pantai Teluk Lipat (RM5 juta).


“Kerja-kerja menambak yang dilakukan sekarang dijangka berterusan sehingga Februari tahun depan,” katanya.

Pantai Teluk Lipat dan Pantai Tok Jembal merupakan dua kawasan peranginan yang teruk dilanda hakisan ombak akibat fenomena air pasang yang berlaku sejak beberapa hari lalu.

Fenomena itu turut menumbangkan puluhan pohon Rhu yang terdapat di kawasan berkenaan selain mengancam operasi peniaga di sepanjang pesisir pantai.




Pelarasan skim SBPA – 4,000 kekosongan jawatan dibekukan

Oleh FAUZI MOHD

Sebanyak 4,000 kekosongan pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam negeri yang masih belum diisi, akan ditawarkan sehingga pelarasan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang bermula tahun depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah berkata, pembekuan bsementara itu bagi memudahkan perlaksanaan skim SBPA di kalangan penjawat awam negeri selesai.

“Skim baru ini kita belum tahu lagi macam mana kerana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang memberi penjelasan terperinci mengenainya.

“Sebab itu buat masa ini, JPA belum membenarkan kita mengeluarkan iklan jawatan kosong,” katanya ketika ditemui selepas Program Temu Mesra Setiausaha Kerajaan Negeri bersama kakitangan Kompleks Sri Iman, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Tambah Dato’ Mazlan, sehingga kini sebanyak 8,000 jawatan daripada 12,000 kekosongan telah diisi.

Dalam perkembangan yang sama, beliau memberitahu sebanyak RM28 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi melaksanakan skim SBPA di Terengganu

Katanya, jumlah tersebut membabitkan kenaikan gaji 10 peratus bagi kakitangan awam selain badan berkanun serta pihak berkuasa tempatan.

"Bagaimanapun penjawat awam masih mempunyai pilihan sama ada mahu mengekalkan skim lama ataupun memilih untuk terus berkhidmat di bawah skim baru SBPA.

"Penjawat awam yang berkenaan boleh membuat opsyen dan ini bukan satu paksaan. Mereka ada dua pilihan dan kalau hendak kekal dengan skim lama, maka gaji lama mereka tak akan berubah," jelasnya.


UMT raih dua emas di SIIF, Korea Selatan

Oleh FAUZI MOHD

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meraih dua emas, tiga perak dan dua gangsa dalam pertandingan Seoul International Invention Fair 2011 (SIIF) di Coex Exhibition Hall, Seoul, Korea Selatan pada awal bulan lalu.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Aziz Deraman berkata, kejayaan itu adalah hasil komitmen dan pencapaian terbaik para penyelidik sekali gus menjadi kebanggaan universiti dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

“Para penyelidik UMT juga meraih empat pingat emas, satu perak dan dua gangsa dalam pertandingan BioMalaysia Conference dan Exhibition 2011 (BMCE) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini,” katanya semalam.

Menurut beliau, dalam BMCE, UMT menghantar lapan produk, tujuh daripadanya mendapat pingat manakala di SIIF, universiti itu turut memenangi tujuh daripada sembilan produk yang dipertandingkan.

Katanya, produk Seagold Probiotik Liquid: Nutritional Health Supplement yang dihasilkan oleh Prof. Dr. Effendy Abd. Wahid dan Thirukanthan Chandra Segaran yang menerima pingat emas turut merangkul anugerah khas Bioteknologi Inovation of The Year.

Selain itu, UMT turut menggondol pingat emas menerusi projek penyelidikan Scalogel: Topical Wound Care Management, juga hasil kreativiti Dr. Effendy dan Thirukanthan.


27 December 2011

Jheat serius tangani isu murtad

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (Jheat) mengambil langkah sewajarnya bagi membendung isu murtad yang dikatakan semakin berleluasa di kalangan umat Islam di negeri ini.

Program bersama Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), aktiviti bersama belia dan remaja, menghebahkan isu berkaitan melalui media dipergiatkan bagi mengelak golongan tertentu terus terjebak gejala itu.

Pesuruhjaya Jheat, Haji Mohd Rozali Salleh (gambar kanan), berkata pihak mengakui bimbang dengan apa yang berlaku sekarang kerana terdapat beberapa penganut agama Kristian di negeri ini dikatakan giat menjadikan golongan tertentu sebagai sasaran untuk menganut agama mereka.

Katanya, berdasarkan beberapa aduan yang diterima, Orang Kurang Upaya yang dikategorikan pekak, pesakit tidak mempunyai waris dan golongan belia bermasalah mudah untuk didekati

“Penganut agama itu.memandangnya sebagai peluang untuk menabur pelbagai janji, menawarkan bantuan kewangan sebelum memujuk secara halus supaya menukar agama lain.

“Di Terengganu belum ada aduan yang rasmi berkaitan itu tetapi saya pasti ia berlaku secara terancang serta terselindung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Kursus Bahasa Isyarat kepada Penjawat Awam di Hotel Permai, Kuala Terengganu, hari ini.


JHEAT ketuai jawatankuasa khas isu solat

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membincangkan isu dua solat Jumaat dalam satu kariah di beberapa masjid di negeri ini

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman (gambar kiri) berkata, perkara berkenaan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Maidam yang diadakan Rabu lalu yang turut membincangkan isu solat dua kariah.

Katanya, jawatankuasa khas isu akan di pengerusikan oleh Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Haji Mohd. Rozali Salleh.

“JHEAT juga diberi mandat untuk melantik anggota jawatankusa di bawah jawatankuasa khas tersebut bagi mencari kaedah terbaik menyelesaikan kemelut berkenaan,” katanya.

Tambahnya, jawatankuasa tersebut juga diberi masa sebulan untuk mengemukakan cadangan serta tindakan sesuai bagi menyelesaikan isu terbabit,’’ katanya.

Sehubungan itu katanya, Ahli Majlis Maidam akan bermesyuarat setelah menerima laporan daripada jawatankuas khas itu sebelum dipersembahkan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Baginda Sultan Mizan ketika merasmikan pembukaan Masjid Sultan Ismail di Chendering baru-baru ini melahirkan rasa dukacita kerana kejadian solat Jumaat dua kariah masih berlaku di negeri ini.

"Pihak Maidam sedar masalah tersebut berlarutan lebih 30 tahun lalu, namun sukar dieselesaiknya apabila ada pihak tidak memberi kerjasama kerana lebih mmentingkan agenda politik daripada memelihara kesucian agama Islam,” katanya.






TATIUC, University Collage of Dublin jalin kerjasama

Oleh FAUZI MOHD

Bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang pengajaran dan penyelidikan, Kolej Universiti Tati (TATIUC) baru-baru ini telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan University Collage of Dublin, Ireland.

Rektornya, Dr. Rozailan Mamat @ Ibrahim berkata, kerjasama itu bagi membuka peluang kepada pelajar TATIUC dan penuntut Terengganu melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di universiti tersebut.

Menurutnya, pihak universiti itu bersetuju memberi kadar yuran istimewa kepada TATIUC dengan pengurangan yuran sebanyak 40 hingga 60 peratus.

“Perkembangan ini membuktikan kualiti pendidikan di TATIUC telah diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya pada majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan di Awanal Kijal Golf, Beach & Spa Resort, Kemaman malam tadi.



Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud serta Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB. Ahmad Razif Abd Rahman.

Sebelum ini kata Dr. Rozailan, TATIUC telah mendapat kerjasama beberapa institusi pengajian tinggi luar negara termasuklah MIE University (Jepun), Universiti Sumatera Utara (Indonesia) dan Queen's University of Belfast (Ireland) dan Universiti Kookmin (Korea Selatan).

"Pihak kami berharap kerjasama dengan universiti berkenaan dapat membantu memperkasakan program-program akademik serta bidang penyelidikan yang bermutu tinggi," ujarnya.



Pada majlis itu, Dato’ Seri Ahmad turut menyampaikan hadiah kepada 15 penerima Anugerah Perkhidmatan Setia dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang seramai 35 orang.

Kata Dr. Rozailan, sejak ditubuhkan pada Jun 1993, TATIUC kini mempunyai 336 orang kakitangan dan 95 orang daripada mereka telah berkhidmat lebih dari 10 tahun.


MB sertai penduduk kayuh basikal beramai-ramai

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan menyertai kira-kira 2,000 penduduk sekitar bandar Kuala Terengganu, mengayuh basikal di sekitar bandar ini, sempena sambutan Tahun Baru pada 31 Disember ini (Sabtu).


Gambar hiasan

Acara berkenaan yang sebahagian besarnya akan disertai golongan remaja dan peminat basikal ‘fixie’ dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Kelab Belia Generasi Prihatin Kuala Terengganu.

Antara objektif program itu ialah meningkatkan hubungan antara golongan remaja dengan pemimpin Kerajaan Negeri Terengganu. Ia akan turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Haji Rozi Mamat dan beberapa pemimpin negeri.

Program itu juga bertujuan menarik perhatian anak-anak muda daripada melakukan kegiatan tidak berfaedah bagi menyambut Tahun Baru seperti berlumba motosikal dan merempit sekitar bandar.

Peserta program itu akan mengayuh basikal sejauh kira-kira 20 kilometer dan melalui beberapa jalan utama menuju Hotel Primula, Pasar Besar Kedai Payang, Pulau Warisan, Jalan Banggol, Jalan Kampung Tiong, Pulau Kambing, Cabang Tiga, Simpang Tok Ku, Jalan Hiliran (depan Mydin Mall), Gong Kapas, Jalan Sultan Pmar dan Bulatan Ladang.

Acara tersebut bermula di Dataran Batu Buruk dan turut berakhir di tempat yang sama di mana pelbagai acara menarik turut diadakan bagi menyerikan sambutan Tahun Baru.

Pelbagai acara lain turut diadakan seperti pertandingan basikal klasik, pertandingan basikal cantik, persembahan fixie dan cabutan nombor bertuah.

Mereka yang berminat menyertai acara tersebut boleh mendaftar pada jam 8 malam, sebelum program tersebut dimulakan.