Halaman

29 December 2011

14 pelumba basikal Terengganu sertai Grand Prix Akhir

Seramai 14 pelumba basikal Terengganu mengayuh basikal ke Muar, Johor, untuk menyertai Kejohanan Grand Prix Akhir yang akan berlangsung pada Ahad ini.

Jurulatih Terengganu Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata mereka terdiri daripada pelumba elit Sukma, junior dan pelumba wanita.

"Kita buat pendekatan sebegini supaya pelumba-pelumba tidak merasa letih sekiranya mereka pergi dengan kenderaan," katanya.



Pelumba-pelumba itu berkayuh sejauh kira-kira 1,000 kilometer pergi dan balik iaitu dari Kuala Terengganu-Kuantan, Kuantan-Segamat dan Segamat-Muar manakala perjalanan balik pula dari Muar-Mersing, Mersing-Pekan, Pekan-Kuantan, Kuantan-Kemaman, Kemaman-Kuala Terengganu, mengikut laluan Le Tour de Langkawi (LTdL).

Syed Mohd Hussaini berkata turut serta dalam rombongan itu ialah pelumba-pelumba kebangsaan yang sedang membuat persiapan di sini bagi menghadapi Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) dan LTdL.

Beliau berkata latihan seumpama itu memberi satu kelebihan kepada pelumba-pelumba yang bakal mewakili Terengganu pada Sukma nanti.

Katanya, Terengganu tidak meletakkan harapan terlalu tinggi pada kejohanan itu yang lebih bersifat untuk memberi pendedahan kepada pelumba.





Malam Anugerah Pengkalan TUDM Gong Kedak meriah

Oleh: Mohammad Ishak




Majlis sambutan Malam Anugerah Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, Besut, yang berlangsung di Dewan Besar pangkalan itu malam tadi sungguh meriah dan menarik dengan kehadiran ramai anggota serta keluarga masing-masing.

Acara tahunan bertujuan memberi pengiktirafan kepada anggota yang berjaya dalam pelbagai bidang sepanjang tahun 2011 turut disertai tetamu luar yang diundangkan khas oleh TUDM berkenaan.

Menariknya, majlis yang bertemakan “Back To School” semua peserta diwajibkan berpakaian penuh seragam sekolah termasuk pegawai tinggi pasukan, anggota dan ahli keluarga mereka.

Ketibaan Komander Pangkalan itu, Brig Jen Mohd Fauzi Ahmad dan isteri serta pegawai kanan pasukan dengan menaiki bas sekolah ke dewan besar dengan diiringi paluan kompang memeriahkan lagi suasana berkenaan.

Pengerusi penganjur, Lt Kol Parves Mohamed Yusof berkata, acara tahunan itu bertujuan memberi penghargaan kepada anggota yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang sepanjang tahun ini.

Katanya, sempena program itu pihaknya mengisi dengan pelbagai acara menarik termasuk anugerah kecemerlangan membabitkan 13 kategori yang ditetapkan. Selain itu orang ramai juga turut terhibur dengan persembahan hiburan nyanyian, dikir barat dan sketsa berkonsepkan suasana di sekolah.


Brig Jen Mohd Fauzi berkata, pangkalan TUDM berkenaan kini lebih banyak menganjurkan aktiviti bukan sahaja untuk anggota pasukan malah pihaknya juga turut membabitkan komuniti setempat.

“Usaha ini dilakukan bagi merapatkan hubungan antara anggota pasukan dengan penduduk setempat melalui kegiatan berjiwa rakyat,” katanya.



Jauhi kawasan hakisan ombak besar – Ketua Polis Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Orang ramai dinasihatkan agar menjauhi kawasan yang terjejas akibat fenomena ombak besar dan air pasang sepanjang pantai di negeri ini, kata Ketua Polis Terengganu Dato’ Jamshah Mustapa.

Nasihat itu turut ditujukan kepada orang ramai yang mengunjungi pusat peranginan di kawasan pantai di tiga daerah terbabit iaitu Besut, Dungun dan Kemaman.

Beliau juga meminta penduduk di kawasan terbabit agar sentiasa berwaspada memandangkan fenomena tersebut dijangka berterusan sehingga awal Januari ini.

"Itu kawasan berisiko dan jika berlaku sesuatu insiden yang tidak diingini kerja-kerja menyelamat sukar dijalankan," katanya baru-baru ini.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian air pasang dan ombak besar yang melanda sebahagian kawasan pantai di negeri ini merupakan antara yang terburuk pernah berlaku sejak 50 tahun lepas.

Dungun merupakan daerah paling teruk terjejas dengan hampir sebahagian besar kawasan pesisir pantai peranginan Teluk Lipat dihakis ombak besar.

Fenomena itu juga mengakibatkan jalan raya sepanjang tiga kilometer berhampiran kawasan pantai itu runtuh dan rosak teruk serta terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan.

Bagaimanapun fenomena itu menyebabkan kawasan terbabit dibanjiri orang ramai yang ingin melihat sendiri kejadian tersebut.

Dalam pada itu, Dato’ Jamshah menasihatkan pengguna jalan raya yang ingin ke Dungun atau Kemaman agar menggunakan jalan utama.


28 December 2011

Karnival Sukan Ambang Tahun Baru di Kuala Nerus

Oleh FAUZI MOHD

Sempena kedatangan tahun baru 2012, Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Nerus menganjurkan Karnival Sukan Ambang Tahun Baru bermula esok di perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Ketuanya, Apli Yusoff berkata, program tiga hari anjuran bersama Pejabat Ahli Parlimen Kuala Nerus dan Gerakan Belia 4B (M) Kuala Nerus dijangka menarik lebih 3,000 penyertaan dengan penganjuran lebih 10 acara sukan, rekreasi dan pertunjukan.

Katanya, pengisian program termasuklah penyertaan 100 buah kereta pasukan Ekplorace sekitar Kuala Nerus, 100 pasukan futsal, 30 pasukan bola jaring, 100 pasukan sepak takraw, pameran permotoran dan ‘drift’.

“Turut diadakan, kayuhan basikal ambang tahun baru yang melibatkan penyertaan 300 buah basikal dengan kerjasama Kelab Ngayuh Kuala Nerus.

“Kemuncak acara pada malam 31 Disember dengan pertunjukkan bunga api, cabatan bertuah dan penyampaian hadiah oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd. Nasir Ibrahim Fikri,” katanya di sini hari ini.


Mara beri pinjaman RM31 juta

Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri Terengganu telah mengeluarkan pinjaman pembiayaan hampir RM31 juta kepada 360 usahawan dan peniaga di negeri ini mulai Januari hingga November tahun ini.

Pengarah Mara Negeri Encik Abdullah Mohamad berkata, dalam tempoh berkenaan pihaknya menyalurkan pinjaman berjumlah RM21 juta disalurkan kepada 225 orang melalui Skim Pembiayaan Islamik Kontrak Ekspres (SPiKE).

Manakala pinjaman sebanyak RM9.892 juta pula diberikan kepada 135 peniaga biasa yang menjalankan pelbagai bentuk perniagaan.

"Kita beri pembiayaan bergantung kepada peniagaan yang mereka jalankan, tetapi ia tidak melebihi RM500,000," katanya semasa merasmikan kedai serbaneka "My Convenience Shop" di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Urusan My Convenience Shop Abdul Karim Mohamad dan Pengurus Malaysia Airport Berhad (MAB) Terengganu, Dr Ahmad Ramli Mahmood.

Encik Abdullah berkata, bagi bayaran balik pinjaman pula, pihaknya berjaya memungut RM15.413 juta sehingga November lalu di mana Mara mensasarkan pungutan bayaran balik sebanyak RM17.8 juta.

"Bayaran balik peminjam Mara di Terengganu tidaklah begitu teruk. Dari segi bayaran balik, kita adalah antara lima negeri terbaik," katanya.

Beliau yakin sehingga akhir Disember ini, pungutan bayaran balik dari peminjam akan meningkat.

Sementara itu, Abdul Karim ketika ditemui pada majlis itu berkata, MyConvenience Shop di lapangan terbang itu adalah cawangan ke-tiga kedainya dan cawangan ke-empat akan dibuka bulan depan di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

"Saya sangat berterima kasih kepada Mara kerana memberi sokongan dan bantuan modal bagi meluaskan perniagaan saya," katanya.


UMT dan WWF jalin kerjasama urus tanah bencah

Oleh; Esah Abdullah

Daerah Setiu mempunyai kawasan tanah bencah terluas di Pantai Timur yang dilitupi oleh ekosistem air payau dan rangkaian sungai-sungai Setiu, Chalok, Bari dan Merang.

Tanah bencah ini menempatkan pelbagai habitat semula jadi haiwan dan tumbuhan termasuk vetegasi riparian/sungai, hutan paya gelam, hutan paya laut dan nipah serta kawasan rumpai laut,

Kawasan ini juga menyokong populasi liar spesies reptilia terancam seperti tuntung laut, tuntung sungai dan juga penyu agar.

Kajian menunjukkan kawasan ini juga didiami 29 spesies mamalia, 161 spesies burung dan 28 spesies reptilian di samping mempunyai kepentingan sebagai tapak kepelbagaian biologi yang disokong kehadiran banyak banyak spesies vertebrata dan invertebrata laut dan air tawar.

Menyedari itu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Word Wild Fun For Nature Malaysia (WWF-Malaysia) baru-baru ini.

UMT diwakili Naib Canselornya, Prof. Dato’ Dr. Aziz Deraman manakala WWF-Malaysia diwakili Pengerusinya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latif Mohamad disaksikan Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee.

Dua agensi ini akan bekerjasama dalam bidang penyelidikan khususnya bagi pengurusan alam secara lestari di tanah bencah berkenaan.




Dialog Rakyat dan Penjelasan Bajet 2012

Oleh: Mohammad Ishak




Dialog Rakyat dan Penjelasan Bajet 2012 anjuran Pejabat Daerah Besut dengan kerjasama Jabatan Penerangan yang berlangung di Bangunan Persekutuan,Kampung Raja, Besut, hari ini, memberi banyak impak bukan sahaja kepada pemimpin komuniti malah kepada pegawai dan kakitangan daerah itu.

Siri penerangan berkenan yang diadakan di seluruh negeri sebenarnya dapat membantu pelbagai kerajaan menyampaikan mesej kepada peringkat akar umbi menerusi kehadiran pemimpin komuniti terbabit.

Program yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, YB Muhamad Pehimi Yusof, bertujuan memberi penjelasan terperinci mengenai rancangan transformasi kerajaan serta pengumuman belanjawan 2012,

Majlis penerangan secara berfakta yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar, memberi banyak maklumat penting yang sebelum ini jarang diketahui peserta dialog itu.

Peserta mewakili Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Badan Bukan Kerajaan (NGO), wakil pelbagai jabatan dan agensi kerajaan juga dapat menyumbang kepada percambahan minda peserta yang hadir.

Mohd Iskandar yang menyampaikan taklimat itu dengan jelas membawa mesej kerajaan untuk disampaikan kepada golongan sasar supaya setiap pelaksanaaan dan dasar kerajaan dapat dihayati dan dipraktikkan.

Ketika merasmikan program itu, Muhammad Pehimi berkata, usaha yang dilakukan jabatan terbabit menyampaikan penerangan amat baik dan dapat membantu ketua jabatan dan kakitangan kerajaan melaksanakan dasar kerajaan secara berkesan.

“Sebelum ini rakyat kurang jelas dengan pelbagai isu dan rancangan kerajaan kerana tidak diberi pelung kepada mereka menyertai majlis yang disifatkan amat berfakta,” katanya.




JPS tangani hakisan ombak

Oleh; Esah Abdullah



Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang rancak melakukan kerja-kerja menambak di sepanjang Pantai Peranginan Teluk Lipat, Dungun dan Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu bagi mengurangkan hakisan ombak yang melanda kawasan itu.

Pengarahnya, Ir. Mat Hussin Ghani berkata, kerja menambak ini hanya bersifat sementara bagi menangani hakisan sebelum memperolehi kos sebenar yang dijangka lebih tinggi.

Katanya, kos sebenar untuk bina tembok kekal dijangka mencecah RM30 dan buat sementara waktu tembok bongkah batu yang dibina ini menelan belanja RM2 juta.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri juga turut memohon peruntukan Kerajaan Pusat berjumlah RM15 juta untuk kerja menambak Pantai Tok Jembal (RM10 juta) dan Pantai Teluk Lipat (RM5 juta).


“Kerja-kerja menambak yang dilakukan sekarang dijangka berterusan sehingga Februari tahun depan,” katanya.

Pantai Teluk Lipat dan Pantai Tok Jembal merupakan dua kawasan peranginan yang teruk dilanda hakisan ombak akibat fenomena air pasang yang berlaku sejak beberapa hari lalu.

Fenomena itu turut menumbangkan puluhan pohon Rhu yang terdapat di kawasan berkenaan selain mengancam operasi peniaga di sepanjang pesisir pantai.




Pelarasan skim SBPA – 4,000 kekosongan jawatan dibekukan

Oleh FAUZI MOHD

Sebanyak 4,000 kekosongan pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam negeri yang masih belum diisi, akan ditawarkan sehingga pelarasan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang bermula tahun depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah berkata, pembekuan bsementara itu bagi memudahkan perlaksanaan skim SBPA di kalangan penjawat awam negeri selesai.

“Skim baru ini kita belum tahu lagi macam mana kerana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang memberi penjelasan terperinci mengenainya.

“Sebab itu buat masa ini, JPA belum membenarkan kita mengeluarkan iklan jawatan kosong,” katanya ketika ditemui selepas Program Temu Mesra Setiausaha Kerajaan Negeri bersama kakitangan Kompleks Sri Iman, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Tambah Dato’ Mazlan, sehingga kini sebanyak 8,000 jawatan daripada 12,000 kekosongan telah diisi.

Dalam perkembangan yang sama, beliau memberitahu sebanyak RM28 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi melaksanakan skim SBPA di Terengganu

Katanya, jumlah tersebut membabitkan kenaikan gaji 10 peratus bagi kakitangan awam selain badan berkanun serta pihak berkuasa tempatan.

"Bagaimanapun penjawat awam masih mempunyai pilihan sama ada mahu mengekalkan skim lama ataupun memilih untuk terus berkhidmat di bawah skim baru SBPA.

"Penjawat awam yang berkenaan boleh membuat opsyen dan ini bukan satu paksaan. Mereka ada dua pilihan dan kalau hendak kekal dengan skim lama, maka gaji lama mereka tak akan berubah," jelasnya.


UMT raih dua emas di SIIF, Korea Selatan

Oleh FAUZI MOHD

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meraih dua emas, tiga perak dan dua gangsa dalam pertandingan Seoul International Invention Fair 2011 (SIIF) di Coex Exhibition Hall, Seoul, Korea Selatan pada awal bulan lalu.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Aziz Deraman berkata, kejayaan itu adalah hasil komitmen dan pencapaian terbaik para penyelidik sekali gus menjadi kebanggaan universiti dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

“Para penyelidik UMT juga meraih empat pingat emas, satu perak dan dua gangsa dalam pertandingan BioMalaysia Conference dan Exhibition 2011 (BMCE) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini,” katanya semalam.

Menurut beliau, dalam BMCE, UMT menghantar lapan produk, tujuh daripadanya mendapat pingat manakala di SIIF, universiti itu turut memenangi tujuh daripada sembilan produk yang dipertandingkan.

Katanya, produk Seagold Probiotik Liquid: Nutritional Health Supplement yang dihasilkan oleh Prof. Dr. Effendy Abd. Wahid dan Thirukanthan Chandra Segaran yang menerima pingat emas turut merangkul anugerah khas Bioteknologi Inovation of The Year.

Selain itu, UMT turut menggondol pingat emas menerusi projek penyelidikan Scalogel: Topical Wound Care Management, juga hasil kreativiti Dr. Effendy dan Thirukanthan.