Halaman

30 December 2011

Malam Nur Hijrah di DUN Batu Rakit

Oleh FAUZI MOHD

Hampir 1,500 penduduk DUN Batu Rakit dan sekitarnya hadir memeriahkan sambutan Malam Nur Hijrah yang diadakan secara terbuka dengan matlamat untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.



ADUN Batu Rakit, YB. Khazan Che Mat berkata, sambutan Malam Nur Hijrah ini adalah program tahunan terbesar di peringkat DUN dengan tujuan untuk mengumpulkan semua penduduk dengan pengisian program yang berunsurkan kerohanian.

“Kita percaya melalui program seumpama ini ia bukan sahaja terhad kepada golongan muda sahaja malah turut menarik perhatian golongan dewasa dan warga emas untuk sama-sama menjayakannya.

“Dalam keadaan hari ini bukan mudah untuk menarik golongan belia menyertai program yang berunsurkan kerohanian dan melalui penggabungan beberapa acara seperti lagi-lagu nasyid, forum dan persembahan selingan saya melihat ia begitu mendapat sambutan,” katanya.



Sempena Malam Nur Hijrah yang diadakan di Dataran Perumahan Rumah Awam Kos Rendah, Mengabang Lekar kumpulan nasyid Raihan telah menjadi tetamu istimewa untuk menghiburkan penonton dengan tujuh buah lagu nasyid selain persembahan murid dari Sekolah Kebangsaan Padang Kemunting.



Selain itu, slot bicara halaqah turut menjadi acara sampingan dengan menampilkan tiga ahli panel termasuk Khazan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri.



Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Setiu, Wan Maznah Wan Nong telah dinobatkan sebagai Tokoh Malam Nur Hijrah 1433.

Anugerah Khas Malam Nur Hijrah pula telah disandang oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Wan selain Anugerah Penghargaan telah diberikan kepada Bekas Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Terengganu, Abdul Halim Awang.



Geran RM10,000 untuk semua 491 koperasi masjid

Oleh FAUZI MOHD

Menerusi konsep 1Kampung 1Koperasi, Kerajaan Terengganu menyasarkan untuk menubuhkan koperasi di semua 491 masjid di negeri itu dalam tempoh lima tahun.

Pengerusi Jawatankausa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato' Mohamed Awang Tera berkata, dianggarkan 100 buah masjid di negeri itu akan menubuhkan koperasi masing-masing setiap tahun.

"Setiap masjid yang menubuhkan koperasi, kerajaan akan bagi geran sebagai bantuan sebanyak RM10,000. Dengan bantuan itu koperasi berkenaan bolehlah bergerak untuk buat bayaran pengurusan, beli peralatan, pejabat dan sebagainya.

"Malah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sendiri menyediakan pinjaman kepada koperasi sehingga RM10 juta untuk dijadikan modal jika ia ada projek yang hendak dijalankan," katanya.

Beliau bekata demikian pada bengkel penubuhan Koperasi Khairiah Masjid daerah Kuala Terengganu semalam yang melibatkan 150 ahli jawatankausa masjid daerah itu.

Tambah Dato' Mohamed, kerajaan melihat masjid merupakan institusi yang berpotensi untuk mewujudkan koperasi bagi meningkatkan ekonomi di sesuatu kariah.

Katanya, dengan adanya koperasi di setiap masjid, ia boleh menyediakan bahan-bahan yang diperlukan oleh kariah di kawasan berkenaan.

Beliau menjelaskan, modal untuk menggerakkan koperasi datangnya dari sumbangan ahli.

"Kita tidak ambil duit masjid untuk dijadikan modal. Modal kita adalah sumbangan daripada ahli keperasi itu sendiri," katanya.

Bengkel yang diadakan itu merupakan yang terakhir daripada tujuh siri penerangan yang diadakan di seluruh negeri tahun ini yang bertujuan memberi penjelasan kepada ahli jawatankuasa masjid mengenai penubuhan koperasi.


PHWT mahu hidupkan semula kejohanan hoki wanita

Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Hoki Wanita Terengganu (PHWT) akan menganjurkan lebih banyak kejohanan di peringkat negeri dalam usaha melahirkan pemain hoki wanita berwibawa di negeri ini.

Setiausahanya, Nik Zaharah Nik Abdul Kadir berkata, PHWT juga akan menghidupkan kembali kejohanan hoki wanita yang telah dihentikan hampir tiga tahun lepas, termasuk pertandingan mini hoki.

“Mulai tahun depan, PHWT akan menyertai semua kejohanan hoki peringkat kebangsaan baik di peringkat remaja untuk memberi pendedahan dan mengasah bakat pemain-pemain yang baru meningkat ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu katanya, keputusan mengenai cadangan untuk menggabungkan PHWT dan Persatuan Hoki Lelaki Negeri Terengganu (PHLNT) dijangka diketahui apabila kedua-dua persatuan terbabit mengadakan mesyuarat bulan depan.

Menurut Nik Zaharah, pada dasarnya gabungan seumpama itu sangat baik kerana dapat memberi kekuatan kepada kedua-dua persatuan dalam semua aspek.

Persatuan Hoki Malaysia (PHM) baru-baru ini meminta semua persatuan hoki lelaki dan wanita negeri bergabung sebagai langkah untuk memantapkan sukan hoki.


Gunting rambut percuma untuk pelajar

Oleh: Mohammad Ishak


Muhamad Pehimi mengunting rambut seorang peserta


Sudah menjadi kelaziman setiap kali cuti penggal persekolahan pelbagai pihak mengambil kesempatan dengan menganjurkan pelbagai aktiviti bagi memberi peluang kepada pelajar menyertai program yang diadakan oleh pihak terbabit.

Menjelang beberapa hari lagi penggal persekolahan akan dibuka pelajar berebut-rebut untuk mengunting rambut menyebakan sebahagian besar kedai gunting terpaksa bekerja keras untuk melayani pelanggan yang ingin bergunting.

Program gunting rambut percuma kini menjadi daya tarikan baru kepada penganjur untuk mengadakan khidmat gunting rambut secara percuma terutama kepada pelajar bagi membantu meringankan beban ibu bapa menghadapi perbelanjaan sekolah.

Penyelaras Pemuda UMNO Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, mengambil daya usaha menganjurkan program berkenaan yang berlangsung di perkarangan Pejabat Penyelaras DUN berkenaan semalam.

Seramai 60 peserta terdiri daripada pelajar sekitar kawasan DUN Kota Putera menyertai program yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri,Kota Putera Muhamad Pehimi Yusof.
Bagi menjayakan program itu pihak pnganjur mendapatkan khidmat lima tukang gunting professional untuk melakukan kerja mengunting yang berlangsung separuh hari itu.

Muhamad Pehimi ketika merasmikan program itu mahu labih banyak program berbentuk kemasyarakatan dilakukan oleh parti supaya ia dapat memberi khidmat secara percuma kepada komuniti.

“Program gunting rambut adalah satu aktiviti menarik dan perlu dilakukan setiap kali cuti sekolah bagi memberi peluang kanak-kanak mendapat khidmat gunting secara percuma,” katanya.

Sementara itu, program yang sama akan diadakan di Pejabat Penyelaras DUN Jertih ,esok mulai jam 9 pagi yang akan dirasmikan oleh ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh.

JHEAT yakin mampu tangani isu solat dua Jumaat

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yakin mampu menangani isu dua solat Jumaat dalam satu kariah yang masih berlaku di negeri ini, dengan cara yang berhemah dan memupuk kembali hubungan antara kariah di kawasan berkenaan.

Pesuruhjaya JHEAT, Haji Rozali Salleh, berkata jawatankuasa yang dibentuk bagi menangani isu berkenaan akan mengadakan mesyuarat dalam masa dua minggu bagi membincangkannya dan menyerahkan hasil laporan kepada peringkat tertinggi.

Beliau berkata, dengan adanya jawatankuasa tersebut yang dibentuk oleh Majlis Agama Islam dan Adata Melayu Terengganu (Maidam), pihaknya yakin isu itu yang berlarutan sejak sekian lama, dapat ditangani.

Katanya, JHEAT dan Maidam tidak boleh membuat keputusan sendiri berhubung isu itu, tetapi perlu mengambilkira pandangan pihak lain kerana ia perkara yang serius.

Peninju Terengganu berlatih di Thailand

Persatuan Tinju Amatur Terengganu (PTAT) akan menghantar lima atletnya mengikuti latihan di Sekolah Sukan Tran, Thailand pada Mac depan sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma).

Setiausaha PTAT Razali Mamat berkata mereka ialah Mohd Hafizuddin Hakim bagi kategori 46kg, Mohd Hishamuddin Alias (49kg), Mohd Suhaimi Yacob (56kg), Mohd Shahrulnizam Che Nik (52kg) dan Nik Mohd Iqbal Shafi (64kg).

"Kita pilih Sekolah Sukan Tran untuk menjadi rakan pelatih kepada atlet-atlet tinju kita kerana sekolah sukan itu mempunyai ramai petinju berwibawa," katanya.
Beliau berkata, semua atlet terbabit akan mengikuti latihan selama dua minggu.

Kebanyakan petinju terbabit baru saja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan kini mengikuti latihan intensif termasuk menjalani latihan pernafasan di tempat sejuk di Cameron Highlands, katanya.

Untuk Sukma tahun depan, Razali berkata PTAT akan menghantar tujuh atlet selain dua lagi yang sedang dikenal pasti untuk kategori 75kg dan 81kg.


Hati-hati dengan motivasi ‘beracun’

Oleh; Esah Abdullah

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman mengingatkan ibu bapa tidak menerima bulat-bulat ‘motivasi’ yang mendakwa pendidikan sekular tidak perlu diutamakan.

“Saya mendapat tahu ada gerakan dari pihak pembangkang yang mengunjungi rumah pelajar cemerlang (UPSR dan PMR) mengucapkan tahniah sambil mengingatkan itu hanya kejayaan di dunia sahaja,” katanya di majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar UPSR dan PMR DUN Seberang Takir di Dewan Sivik Seberang Takir semalam.

Tambahnya, pihak berkenaan itu sanggup meminta keluarga dan pelajar terbabit memberi tumpuan lebih untuk bekalan di akhirat kerana itu lebih penting dari segalanya.

“Kita tidak nafikan bekalan akhirat penting tetapi bimbang motivasi yang diberikan itu menjadi racun kepada pelajar dan juga ibu bapa untuk tidak memajukan diri pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, kerajaan tidak pernah serik untuk terus membantu rakyat yang berhadapan dengan apa juga masalah walaupun secara terang terangan mereka seolah tidak berterima kasih.

“Selaku kerajaan yang bertanggung jawab, akan tetap menyumbangkan pelbagai dana bagi memastikan semua lapisan rakyat menikmati kehidupan yang selesa,” katanya.



29 December 2011

Durian di PBKP laris

Oleh: Suriati Ali

TERIAKAN `mari beli durian’ oleh peniaga durian di Pasar Besar Kedai Payang (PBKP), Kuala Terengganu nyata menarik minat pengunjung dan pengguna jalan raya di kawasan itu untuk membeli `raja buah’ itu.

Lebih 10 peniaga tempatan setia mempromosi pelbagai jenis durian yang dijual antara RM4 hingga RM20 walaupun terpaksa menahan kesejukan ketika hari hujan.

Seorang peniaga, Mohd Ramli Bidin, 38, berkata durian yang dibeli dari Perak dan Pahang itu mendapat sambutan cukup menggalakkan berikutan buah itu kini sukar didapati di Terengganu.

Katanya, pada musim sekarang, durian di negeri ini tak berbuah, sebab itu kami terpaksa mendapatkan durian dari luar Terengganu untuk dijual.

“Pelbagai kaedah digunakan peniaga, termasuk menjualnya secara longgok iaitu RM20 bagi lima hingga tujuh biji durian.

“Ada juga di antara kami mengisikan ulas buah durian ke dalam bekas semata-mata ingin menarik minat pembeli. Kaedah itu lebih laris berbanding menjualnya secara timbang,” katanya ketika ditemui di PBKP.

Peniaga dari Setiu, Salleh Idris 40, berkata hampir setiap hari, dia bersama dua pembantu akan mula berniaga seawal jam 8.00 pagi dan hanya akan pulang apabila menjelang tengah malam.

“Harga durian yang dijual bergantung kepada jenis durian, buah yang mahal adalah durian kunyit iaitu RM20 bagi sekilogram.

“Kebanyakan penggemar durian tidak kisah mengenai harganya asalkan rasa dan kualitinya memang bagus dan enak,” katanya.




Pelajar nakal bakal bertemu empat mata dengan YB

Oleh; Esah Abdullah

Saya akan pergi ke setiap buah rumah pelajar yang bermasalah untuk bersemuka antara empat mata dengan pelajar dan juga penjaga mereka.



Itu janji Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dalam usaha menangani masalah disiplin di kalangan pelajar yang begitu membimbangkan kebelakangan ini.

“Saya terima senarai nama 17 orang pelajar nakal dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir yang bakal dikenakan tindakan buang sekolah,” katanya di majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar UPSR dan PMR DUN Seberang Takir di Dewan Sivik Seberang Takir hari ini.

Katanya, tindakan buang sekolah bukan jalan terbaik, kerana dikhuatiri boleh mendatangkan masalah lebih besar lagi selepas itu.

"Saya beritahu guru sekolah berkenaan, jangan bertindak lagi kerana saya ingin ke rumah jumpa mereka dan keluarga mereka sekali," katanya.

Adun Seberang Takir itu juga akan membuat ‘road show’ ke setiap buah sekolah mulai tahun depan bertemu guru, pelajar dan ibu bapa untuk lebih dekat berbincang hati ke hati tentang masalah dan perancangan serta hala tuju pendidikan negeri.

“Kadang-kadang kita risau dengan fenomena hari ini terdapat sesetengah pelajar sudah hilang rasa hormat kepada pemimpin tertinggi negeri, guru dan juga ibu bapa sendiri akibat terpengaruh dengan dakyah-dakyah songsang,” katanya.

Tambahnya, kerajaan sudah lakukan segalanya bagi memastikan pembangunan pendidikan mendapat yang terbaik namun perubahan minda itu perlu datang dari dalam diri individu sendiri.



YB Haji Ahmad Razif kemudiannya menyampaikan sumbangan kepada 97 orang pelajar cemerlang termasuklah 73 orang mendapat 5A (UPSR) manakala 24 pelajar mendapat 8A dan 9A (PMR) yang diumumkan baru-baru ini.



Pelajar PMR menerima wang tunai RM150 beserta sijil dan UPSR menerima RM100 beserta sijil setiap seorang serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah rendah (5 buah) dan sekolah menengah (2 buah) masing-masing menerima wang tunai RM1,000.






Terengganu jadi kem latih pelumba

TERENGGANU dipilih sebagai kem latihan pasukan lumba basikal kebangsaan bagi persediaan menghadapi Kejohanan Asia (ACC) dan Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan.

Jurulatihnya, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata, seramai 11 pelumba menyertai kem latihan bermula dari 20 Disember lalu hingga 20 Januari, tahun depan.

“Kita pilih Terengganu sebagai kem latihan pasukan kebangsaan kerana ia adalah salah satu laluan dalam kejohanan LTdL nanti,” katanya.

Menurutnya, latihan itu diadakan di sekitar daerah Hulu Terengganu, Dungun dan Kuala Terengganu meliputi jarak bawah 280 kilometer dua hala setiap hari.

Syed Mohd Hussaini berkata, pelumba ACC terdiri daripada Mohd Haris Salleh, Zamri Salleh, Anuar Manan, Shahrul Mat Amin, Mohd Fauzan Mohd Lufti, Amir Mustapha dan Adiq Husaini.

Manakala, pelumba-pelumba LTdL pula ialah Akmal Amron, Mohamad Nazri, Mohd Fakharullah Alias, Suhardi Hasan, Falani Ali, Mohd Rauf Misbah selain Mohd Fauzan Mohd Lufti, Amir Mustafa dan Adiq Husaini.