Halaman

31 December 2011

Kadar jenayah di Setiu terendah

Kadar jenayah di daerah Setiu sepanjang November lalu merupakan paling rendah berbanding daerah lain di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superitendan Rohaizat Abd Ani, berkata pihaknya sedang berusaha untuk meningkatkan kadar penyelesaian kes jenayah bagi memastikan daerah tersebut terus berada dalam keadaan selamat.

Beliau berkata, pihaknya memerlukan kerjasama daripada penduduk setempat bagi melaporkan kegiatan jenayah di kawasan mereka bagi memudahkan tindakan susulan dan aktiviti mencegah jenayah.

Sejak awal tahun hingga Disember, sebanyak 146 kes jenayah dilaporkan di daerah Setiu dan daripada jumlah itu 87 kes telah diselesaikan.

Polis daerah Setiu berjaya menyelesaikan lebih 60 peratus daripada kes yang dilaporkan, melebihi sasaran 20 peratus yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.




JPS tambak pantai elak hakisan

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu sedang giat menjalankan kerja-kerja penambakan di kawasan pantai peranginan Teluk Lipat, Dungun bagi mengurangkan hakisan.

Pengarahnya, Mat Hussin Ghani berkata kerja menambak itu akan dilakukan secara berterusan sehingga Februari depan.

Beliau berkata, penambakan itu adalah langkah segera bagi menangani masalah hakisan memandangkan kerja membina tembok kekal bukan saja mengambil masa tetapi juga melibatkan kos yang tinggi.

Katanya JPS memerlukan kira-kira RM30 juta bagi membina tembok kekal dan setakat ini telah membelanjakan RM2 juta bagi membina tembok bongkah batu.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah memohon peruntukan daripada kerajaan pusat kira-kira RM15 juta bagi kerja menambak Pantai Teluk Lipat dan RM10 juta untuk Pantai Tok Jembal.

Kerja penambakan turut dijalankan di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu bagi mengurangkan hakisan yang sebelum ini telah memusnahkan puluhan pokok rhu dan chalet murah yang terdapat di sepanjang pantai tersebut.



100 pelajar sertai gunting rambut percuma

Oleh: Mohammad Ishak




Penyelaras Pemuda UMNO Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, menganjurkan program gunting rambut percuma kepada pelajar di kawasan berkenaan yang berlangsung di pejabat penyelaras Gong Kemuntong, hari ini.

Program bertujuan memberi khidmat komuniti kepada penduduk setempat turut disertai ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut.

Pengerusi penganjur, Sufian Abd Rashid berkata, khidmat gunting percuma pertama kali diadakan oleh pertubuhan itu bertujuan meringankan beban ibu bapa yang sedang membuat persiapan akhir untuk persediaan sekolah anak-anak.

Katanya, bagi menjayakan program itu pihaknya mengundang enam tukang gunting sekitar Bandar Jertih untuk melakukan kerja-kerja mengunting rambut.

“Saya bangga kerana program itu mendapat sambutan menggalakkan darpada ibu bapa yang menghantar anak mereka untuk menyertai program itu,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran Idris yang juga Pengerusi MARA melakukan kerja mengunting rambut turut mendapat perhatian orang ramai terutama ibu bapa yang sedang menungggu anak masing-masing.

Sufian berkata, dalam tempuh tiga jam program itu berjalan, seramai 100 pelajar mendaftar untuk bergunting rambut masing-masing.

Beliau berkata, selain gunting rambut pihak Pemuda Kawasan juga turut menganjurkan futsal sebagai aktiviti akhir tahun yang menamaptkan kegiatan sepanjang tahun ini.


Lima peninju jalani latihan di Thailand

Oleh: Aida Abd Rahman

Persatuan Tinju Amatur Terengganu (PTAT) akan menghantar lima atletnya bagi mengikuti latihan di Sekolah Sukan Tran, Thailand, Mac depan sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2012 di Pahang.
Setiausaha PTAT, Encik Razali Mamat berkata, atlet terlibat adalah Mohd Hafizuddin Hakim bagi Kategori 46kg, Mohd Hishamuddin Alias (49kg), Mohd Suhaimi Yacob (56kg), Mohd Shahrulnizam Che Nik (52kg) dan Nik Mohd Iqbal Shafi (64kg).

“Semua atlet terbabit akan mengikuti latihan selama dua minggu. Kita pilih Sekolah Sukan Tran untuk menjadi rakan pelatih kepada atlet-atlet tinju kita kerana sekolah sukan itu mempunyai ramai petinju-petinju berwibawa,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan petinju terbabit baru saja selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kini mengikuti latihan intensif termasuk menjalani latihan pernafasan di kawasan sejuk di Cameron Highlands.

Untuk Sukma tahun depan, Encik Razali berkata PTAT akan menghantar tujuh atlet selain dua yang sedang dikenal pasti untuk kategori 75kg dan 81kg.




Terengganu kem latihan lumba basikal

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu terpilih sebagai kem latihan pasukan lumba basikal kebangsaan bagi persediaan menghadapi Kejohanan Asia (ACC) dan Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan.

Jurulatih Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG), Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan, berkata seramai 11 pelumba menyertai kem latihan bermula dari 20 Disember lalu hingga 20 Januari, tahun depan.

“Kita pilih Terengganu sebagai kem latihan pasukan kebangsaan kerana ia adalah salah satu laluan dalam kejohanan LTdL nanti,” katanya.

Katanya, latihan itu diadakan di sekitar daerah Hulu Terengganu, Dungun dan Kuala Terengganu meliputi jarak bawah 280 kilometer dua hala setiap hari.

Pelumba ke ACC terdiri daripada Mohd Haris Salleh, Zamri Salleh, Anuar Manan, Shahrul Mat Amin, Mohd Fauzan Mohd Lufti, Amir Mustapha dan Adiq Husaini.

Manakala ke LTdL adalah Akmal Amron, Mohamad Nazri, Mohd Fakharullah Alias, Suhardi Hasan, Falani Ali, Mohd Rauf Misbah selain Mohd Fauzan Mohd Lufti, Amir Mustafa dan Adiq Husaini.





YPU anjur Majlis Anugerah Usahawan Terengganu 2011

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan mengadakan majlis Anugerah Usahawan Terengganu 2011 di Dewan Besar Wisma Darul Iman, pada 11 Januari depan, bagi memberi penghargaan kepada usahawan tempatan yang berjaya.

Sebanyak lapan kategori, termasuk Tokoh Usahawan Terengganu 2011 akan dipertandingkan pada program berkenaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan menyampaikan anugerah kepada para usahawan yang memenangi pelbagai kategori yang dipertandingkan.

Kira-kira 600 orang, termasuk usahawan dari seluruh negeri akan menghadiri majlis tersebut.


30 December 2011

Guru dan ibu bapa perlu wujud kerjasama

Oleh: Suriati Ali

Guru dan ibu bapa sewajarnya perlu bersama-sama mengemblengkan tenaga dan usaha sekiranya ingin melihat anak-anak yang diasuh dan dididik itu menempa kejayaan dengan cemerlang.

Taska permata di bawah bimbingan Yayasan Pembagunan Keluarga Terengganu hari ini banyak membantu mewujudkan pelbagai program yang bermanfaat untuk kanak-kanak sejak daripada awal usia lagi.

Isteri kepada Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, To’ Puan Sea Shin Tyun, berkata melalui puluhan program yang diadakan itu sekaligus dapat membantu mencapai matlamat dan hasrat pemimpin serta Kerajaan Negeri Terengganu yang ingin melihat setiap anak yang dilahirkan di negeri ini berjaya dalam hidup.


“Saya menyatakan rasa bangga dan syabas kerana di Taska Permata Keluarga Batas Baru turut menyediakan pelbagai program bermanfaat kepada 203 kanak-kanak di bawah bimbingannya.

“Kebanyakan anak-anak yang dihantar ibu bapa sejak berusia 3 bulan hingga 9 tahun telah pun mendapat pendidikan yang sempurna mengikut modul yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Majlis Garduasi dan Sambutan Hari Lahir Berkelompok di Dewan Utama YPKT, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, anak-anak yang diasuh dan dididik guru taska sepanjang tempoh ibu-bapa bertugas dilihat lebih pandai berdikari, matang dan pandai menyesesuaikan diri apabila bertemu rakan baru di alam persekolahan.

“Penggunaan program Tb Kids diterapkan di taska ini nyata memberi manfaat kepada setiap kanak-kanak kerana mampu memberi pendedahan awal tentang kepentingan dan pengunaan tentang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Kanak-kanak yang berusia 3 hingga 4 tahun yang melibatkan diri dalam Program Hafazan peringkat negeri baru-baru ini telah berjaya menghafaz 23 surah-surah lazim dengan baik.


“Penglibatan kanak-kanak taska ini dengan Kem Anak Pintar Soleh dan Kem Pemantapan Rohani juga mampu membantu keperibadian jati diri setiap kanak-kanak yang terlibat itu supaya lebih berani menghadapi cabaran yang akan dating,” katanya.

Beliau yakin setiap penglibatan ibu-bapa dengan program yang dianjurkan pihak taska mahu pun YPKT itu sendiri bukan saja dapat membantu mengukuhkan hubungan baik malah dapat membantu mencerdaskan minda setiap anak-anak.







150 serbu program ‘Jom Gunting Rambut’

Oleh FAUZI MOHD

Kira-kira 150 murid sanggup menunggu seawal pukul 8 pagi di perkarangan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, di sini untuk untuk mendapatkan khidmat gunting rambut percuma.



Program itu diadakan sebagai persiapan sesi persekolahan 2012 akan bermula tidak lama lagi yang mana menjelang hari tersebut salah satu persediaan utama bakal pelajar adalah menggunting rambut masing-masing agar kemas sebelum ke sekolah.

ADUN Seberang Takir, YB. Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, program sehari itu bertujuan memberi khidmat gunting rambut kepada mereka terutama yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan bagi mendapat hasil guntingan rambut yang kemas dan rapi secara percuma.

"Dengan kerjasama 16 tukang gunting rambut tempatan, program rutin setiap tahun ini mahu mengurangkan beban yang ditanggung oleh ibu bapa menjelang sesi persekolahan yang bakal bermula sehari dua lagi.

"Kos menggunting rambut seorang pelajar sahaja antara RM5 hingga RM8. Walaupun sumbangan ini tidak besar ia dapat menampung sedikit sebanyak kos persediaan persekolahan ibu bapa yang mempunyai ramai anak," katanya ketika ditemui pada program itu.

Pada kesempatan itu, Ahmad Razif turut bersama Kelab Rukun Tetangga (KRT) Kampung Baru Seberang Takir yang bergotong-royong menyiapkan empat kawah bubur syura untuk diagihkan kepada orang ramai.

Sejurus selepas itu, beliau menyampaikan bantuan musim tenkujuh kepada 300 nelayan dan 24 pengusaha bot di DUN berkenaan dalam majlis berasingan di Dewan Sivik Seberang Takir, di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri memberitahu, bantuan wang tunai RM100 dan hamper makanan diberikan kepada setiap penerima dengan kos keseluruhan hampir RM70,000.

“Bantuan itu tepat pada waktunya kerana kebanyakan nelayan tidak mempunyai pendapatan pada musim tengkujuh berikutan tidak dapat ke laut kerana ombak besar. Tambahan pula, sesi persekolahan baru akan dibuka dan keperluan anak-anak bersekolah perlu disediakan.

“Pemberian pelbagai bantuan kepada golongan nelayan itu merupakan inisiatif kerajaan bagi menjaga kebajikan keluarga nelayan khususnya pada musim tenkujuh di mana pendapatan golongan itu terjejas,” ujarnya.



Malam Nur Hijrah di DUN Batu Rakit

Oleh FAUZI MOHD

Hampir 1,500 penduduk DUN Batu Rakit dan sekitarnya hadir memeriahkan sambutan Malam Nur Hijrah yang diadakan secara terbuka dengan matlamat untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.



ADUN Batu Rakit, YB. Khazan Che Mat berkata, sambutan Malam Nur Hijrah ini adalah program tahunan terbesar di peringkat DUN dengan tujuan untuk mengumpulkan semua penduduk dengan pengisian program yang berunsurkan kerohanian.

“Kita percaya melalui program seumpama ini ia bukan sahaja terhad kepada golongan muda sahaja malah turut menarik perhatian golongan dewasa dan warga emas untuk sama-sama menjayakannya.

“Dalam keadaan hari ini bukan mudah untuk menarik golongan belia menyertai program yang berunsurkan kerohanian dan melalui penggabungan beberapa acara seperti lagi-lagu nasyid, forum dan persembahan selingan saya melihat ia begitu mendapat sambutan,” katanya.



Sempena Malam Nur Hijrah yang diadakan di Dataran Perumahan Rumah Awam Kos Rendah, Mengabang Lekar kumpulan nasyid Raihan telah menjadi tetamu istimewa untuk menghiburkan penonton dengan tujuh buah lagu nasyid selain persembahan murid dari Sekolah Kebangsaan Padang Kemunting.



Selain itu, slot bicara halaqah turut menjadi acara sampingan dengan menampilkan tiga ahli panel termasuk Khazan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri.



Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Setiu, Wan Maznah Wan Nong telah dinobatkan sebagai Tokoh Malam Nur Hijrah 1433.

Anugerah Khas Malam Nur Hijrah pula telah disandang oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Wan selain Anugerah Penghargaan telah diberikan kepada Bekas Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Terengganu, Abdul Halim Awang.



Geran RM10,000 untuk semua 491 koperasi masjid

Oleh FAUZI MOHD

Menerusi konsep 1Kampung 1Koperasi, Kerajaan Terengganu menyasarkan untuk menubuhkan koperasi di semua 491 masjid di negeri itu dalam tempoh lima tahun.

Pengerusi Jawatankausa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato' Mohamed Awang Tera berkata, dianggarkan 100 buah masjid di negeri itu akan menubuhkan koperasi masing-masing setiap tahun.

"Setiap masjid yang menubuhkan koperasi, kerajaan akan bagi geran sebagai bantuan sebanyak RM10,000. Dengan bantuan itu koperasi berkenaan bolehlah bergerak untuk buat bayaran pengurusan, beli peralatan, pejabat dan sebagainya.

"Malah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sendiri menyediakan pinjaman kepada koperasi sehingga RM10 juta untuk dijadikan modal jika ia ada projek yang hendak dijalankan," katanya.

Beliau bekata demikian pada bengkel penubuhan Koperasi Khairiah Masjid daerah Kuala Terengganu semalam yang melibatkan 150 ahli jawatankausa masjid daerah itu.

Tambah Dato' Mohamed, kerajaan melihat masjid merupakan institusi yang berpotensi untuk mewujudkan koperasi bagi meningkatkan ekonomi di sesuatu kariah.

Katanya, dengan adanya koperasi di setiap masjid, ia boleh menyediakan bahan-bahan yang diperlukan oleh kariah di kawasan berkenaan.

Beliau menjelaskan, modal untuk menggerakkan koperasi datangnya dari sumbangan ahli.

"Kita tidak ambil duit masjid untuk dijadikan modal. Modal kita adalah sumbangan daripada ahli keperasi itu sendiri," katanya.

Bengkel yang diadakan itu merupakan yang terakhir daripada tujuh siri penerangan yang diadakan di seluruh negeri tahun ini yang bertujuan memberi penjelasan kepada ahli jawatankuasa masjid mengenai penubuhan koperasi.