Halaman

04 January 2012

Tindakan tegas kepada penjawat awam terlibat demonstrasi 901-MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Penjawat awam di negeri ini bakal berdepan dengan tindakan disiplin jika didapati terlibat dalam perhimpunan haram yang bakal diadakan penyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim di hadapan bangunan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin ini.

Menteri Besar , Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri berharap tiada penjawat awam serta rakyat Terengganu menyertai demonstrasi yang dianjurkan pihak pembangkang itu nanti kerana mereka boleh dikenakan tindakan tegas sekiranya didapati terlibat.

“Saya berharap tiada kakitangan kerajaan dan rakyat Terengganu secara keseluruhannya terlibat dengan demontrasi haram di depan mahkamah (Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur) pada 9 Januari nanti kerana tiada faedahnya meninggalkan kerja untuk melakukan perkara itu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam pada itu, sehingga kini, pihaknya tidak mendapat sebarang laporan mengenai pembabitan rakyat Terengganu untuk menyertai demonstrasi berkenaan, bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kegiatan tidak bermoral itu dilakukan secara perseorangan dan sulit.

Menteri Besar berkata, pihaknya berharap pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat bagi memastikan perkara itu tidak berulang pada masa depan.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita kejadian sebegini. Hakim membuat keputusan kes bunuh atau kes apa sekalipun tiada demontrasi. Bagaimanapun, mereka (pembangkang) seolah-olah mahu mempengaruhi mahkamah atau menakutkan hakim yang membuat keputusan dan perkara ini tidak boleh dibiarkan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh membiarkan budaya itu dilakukan pembangkang kerana semua pihak termasuk pemimpin kerajaan sekalipun mereka juga boleh melakukan perkara yang sama dengan membawa ribuan penyokong masing-masing jika tidak bersetuju dengan keputusan penghakiman yang dilaksanakan di mahkamah.

Katanya, tindakan berdemontrasi itu bukan satu cara yang betul dan semua pihak sepatutnya menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan demi keadilan kerana mereka sudah mendapat peluang melantik peguam yang hebat untuk mengemukakan bukti dan mempertahankan diri sepanjang perbicaraan.

Dalam perkembangan yang sama, sebanyak sembilan laporan polis sebagai membantah keras cadangan menganjurkan perhimpunan haram itu yang dibuat di seluruh Terengganu sehingga semalam.



Keluarga Mahmud Hamzah Cakna jadi ikon penduduk Besut

Oleh: Mohammad Ishak


Sebahagian keluarga KMHCakna bergambar kenangan pada majlis mengacau bubur asyura

Agak jarang persatuan yang diasaskan dalam bentuk keluarga mampu menganjurkan pelbagai aktiviti bukan sahaja untuk ahlinya malah kepada penduduk setempat.

Bagaimanapun, Keluarga Mahmud Hamzah Cakna (KMHCakna) dari Kampung Gong Bayor, Besut,yang diasaskan pada 1997 boleh dijadikan contoh kepada pertubuhan sukarela lain kerana ia sebuah pertubuhan keluarga yang mampu membuktikan kehebatannya kepada penduduk negeri ini.

Pengerusinya, Rokman Nordin berkata, sejak ditubuhkan pihaknya berjaya menganjurkan pelbagai program berbetuk kemasyarakatan bukan sahaja untuk ahli keluarga terbabit malah turut membabitkan masyarakat setempat.

Katanya, terbaru Program Mengacau Bubur Asyura yang di adakan di perkarangan salah seorang ahli keluarganya, Esah Ibrahim di Kampung Gong Bayor, dalam kawasan DUN Kota Putera.

Program bertemakan “Asyura Menjana Silatulrahim Unggul” bertujuan memupuk semangat kekeluargaan selain menyemarakkan konsep bersedekah dan menanam sikap cintakan pada agama melalui kerja kerja amal.

Katanya, aktiviti itu turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin dan ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof yang memberi sumbangan kewangan bagi membantu penganjuran program berkenaan.

Pada majlis itu pihaknya berjaya menyediakan 10 kawah bubur asyura dan 2,500 bubur asyura yang siap dibungkus dan diagihkan kepada orang ramai termasuk penduduk kampung itu serta kampung berhampiran.

Rokman berkata, bagi memeriahkan progam pihaknya juga turut menganjurkan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun yang juga mendapat sambutan membanggakan.

“Pada tahun ini KMHC merancang menganjur lebih banyak program kemasyarakatan termasuk membantu golongan kurang berada dan yang terbabit dalam sebarang bentuk bencana,” katanya.





Dua sekolah di Setiu mula dibuka

Oleh; Esah Abdullah

Dua buah sekolah di daerah Setiu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bukit dan SK Kampung Besut memulakan sesi persekolah hari ini setelah tidak dapat dibuka semalam.

Timbalan Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Setiu, Haji Kipayatu Allah Mohd Said ketika dihubungi mengesahkan seramai 704 murid di dua sekolah berkenaan mula memasuki kelas masing-masing pagi ini.

Semalam SK Kampung Bukit (53 murid ) dan SK Kampung Besut (201 murid ) tidak dapat dibuka seperti sekolah lain seluruh negeri kerana belum pulih sepenuhnya akibat banjir.

Sementara itu 129,471 murid termasuk 21,024 murid Tahun Satu di 349 sekolah rendah memulakan sesi persekolahan musim baru 2012 di seluruh Terengganu semalam.

Manakala 490 pelajar lagi berjaya meneruskan pelajaran ke Tingkatan Satu yang melibatkan 141 sekolah menengah kerajaan di negeri termasuk sebuah sekolah yang baru dibuka tahun ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram, Kuala Terengganu.




Guru Kafa wujud keseimbangan dunia dan akhirat

Oleh; Esah Abdullah

Guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) diminta memberi tumpuan terhadap membentuk sahsiah pelajar di sekolah rendah khususnya dalam ilmu agama untuk melahirkan generasi seimbang dunia dan akhirat.

“Masa depan mereka terletak di atas kebijaksanaan guru Kafa membekal ilmu agama di samping ibu bapa mereka di rumah,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (DN) Telemong, YB Haji Rozi Mamat di majlis Penyampaian Sijil Perlantikan Guru Kafa DUN Telemong di Dewan Utama, UMNO Bahagian Hulu Terengganu semalam.

Katanya, menjadi tanggung jawab bersama untuk membentuk survival bangsa dan agama terus kekal dan harmoni tanpa diganggugugat anasir yang cuba membuat kacau.

Beliau yang juga Pengerusi jawatankuasa Belia dan Sukan negeri itu menambah, apa yang diperjuangkan hari ini semata-mata untuk memastikan generasi akan datang dapat menikmati kehidupan yang aman damai.

Katanya, kerajaan memberi penekanan terhadap pendidikan agama kalangan pelajar di sekolah kerana yakin melaluinya mampu mengelak gejala sosial kalangan remaja.

Sementara itu seramai 105 guru Kafa dalam DUN Telemong mewakil 22 buah sekolah dilantik semula ke jawatan masing-masing untuk terus menjadi pembimbing kepada masyarakat tempatan.

“Saya yakin tugas guru Kafa ini penting kepada perkembangan minda anak-anak membekalkan ilmu agama lebih mendalam sebagai benteng diri menempuh kehidupan hari-hari mendatang,” katanya.




Terengganu, T-Team tandatangani kontrak pemain, tajaan

Oleh FAUZI MOHD



Para peminat bola sepak Terengganu pasti akan menunggu ketibaan perlawanan pembukaan Liga Super 2012 dengan penuh debaran untuk melihat sama ada kedua-dua pasukan dari negeri Sang Penyu itu mampu untuk memulakan cabaran dengan bergaya ataupun sebaliknya.




Pasukan Terengganu dan T-Team masing-masing mengumumkan kontrak penajaan bersama beberapa buah organisasi dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Primula Kuala Terengganu malam tadi.

Skuad Penyu terus menerima tajaan dari pengeluar pakaian sukan ‘Specs’ berjumlah RM300,000 yang akan membekalkan juara Piala FA 2011 itu dengan kelengkapan untuk perlawanan dan juga latihan untuk semua pasukan Terengganu.



Selain dari itu tajaan juga diterima dari syarikat teknologi maklumat tempatan, Top IT Sdn Bhd berjumlah RM250,000 yang meneruskan penajaan mereka yang bermula dari kempen Piala Malaysia 2011 yang lalu.

Penaja-penaja lain ialah Syarikat Tiara Pesona Sdn Bhd yang mengendalikan perkhidmatan bas Ekspres Perdana dan Zaid Enterprise dengan masing-masing menyumbang sebanyak RM50,000.

Sementara itu jenama telekomunikasi ‘Happy’ juga diumumkan sebagai penaja pasukan Terengganu namun jumlah penajaannya hanya akan dimaklumkan dalam satu majlis yang lain.



T-Team pula terus bersama dengan pengeluar pakaian sukan tempatan ‘Admiral’ yang akan menaja semua pakaian pasukan kelab itu dengan jumlah penajaan sebanyak RM350,000.

Ianya merupakan musim ke empat Admiral menaja pasukan berstatus kelab itu.

Terengganu yang dipimpin Mat Zan Mat Aris itu mengumumkan senarai 24 pemain yang akan telah didaftarkan untuk beraksi bersama mereka musim ini.

Turut tersenarai ialah dua orang pemain import, Francis Doe dan Erison Da Silva ‘Baiano’ Santos Carnietto yang masing-masing berasal dari Liberia dan Brazil.

Turut memperkemaskan jentera pasukan Terengganu ialah ‘graduan’ dari pasukan Harimau Muda iaitu Muslim Ahmad, Abdul Shukur Jusoh dan Faizal Muhamad.

Pemain pertahanan Hariri Mohd Safii kembali semula ke negeri kelahirannya selepas beraksi bersama pasukan Sabah musim lepas.

Penyerang Shamsul Kamal Mohamad pula menyertai pasukan Terengganu dari T-Team.

Berikutan dengan pemilihan Shahril Sa’ari ke dalam skuad Harimau Muda yang akan bertanding dalam Liga Super, Terengganu turut menamakan bekas pelajar Sekolah Sukan Terengganu, Mohamad Saifuddin Mokhtar sebagai salah seorang dari tiga penjaga golnya musim ini.

Sementara itu T-Team turut memperkenalkan pemain import mereka, Zachariah Simoukonda dan Borjan Petric di samping pemain-pemain lain yang baru menyertai pasukan tersebut.

Antaranya ialah dua bekas pemain Selangor musim lepas, Fadzlie Shaari dan Iqbal Suhaimi.

Beberapa orang bekas pemain Terengganu turut kelihatan bersama dengan pasukan T-Team untuk musim yang akan datang, di antaranya ialah Mohd Hassan Basri, Wan Mohd Aliff Wan Jasmi dan Mohd Zharif Husna.



Peminat bola sepak no. 1 Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said menyatakan harapannya untuk melihat kedua-dua pasukan memberi cabaran yang bermakna dalam arena bolasepak negara musim ini dengan menyasarkan dua piala oleh mana-mana pasukan berikutan pelaburan besar yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri.

Dengan pasukan Terengganu mencapai kejayaan yang cemerlang dalam musim 2011, Menteri Besar juga berharap pasukan T-Team turut mampu untuk memberi cabaran yang lebih bermakna dalam Liga Super.

Katanya, T-Team tidak boleh lagi dibelenggu dengan masalah persembahan ala ‘yoyo’ yang menjadi faktor utama anak-anak buah Yunus Alif hanya mampu menamatkan saingan Liga Super di tempat ke tujuh sahaja.

Dato’ Seri Ahmad menyaksikan majlis menandatangi kontrak tersebut yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB. Rozi Mamat, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Dato’ Che Mat Jusoh.





Program ETA ke peringkat nasional

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri bangga berikutan Program English Teaching Assistant (ETA) yang dilaksanakan beberapa sekolah menengah terpilih di negeri ini akan dijadikan model atau contoh oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam tempoh terdekat.

KPM akan memperluaskan program itu ke sekolah-sekolah seluruh negara bagi melahirkan lebih ramai pelajar terbilang yang mampu menguasai bahasa Inggeris secara lebih mendalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata Kerajaan Pusat berminat menggunakan modul program ETA itu selepas melihat peningkatan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar bertambah baik dan memberangsangkan.

Katanya, ini satu pengiktirafan yang sangat besar apabila program yang dirintis oleh kerajaan Terengganu menjadi ikutan orang lain.

“Melalui konsep pembelajaran ETA, setiap pelajar nyata lebih berani menjawab soalan, tidak gentar membentang hasil kerja dan gemar menjalankan pelbagai aktiviti berasaskan penggunaan bahasa berkenaan.

“Di Terengganu, program seumpama ini sudah enam tahun dilaksanakan, bermula 2006 di mana setiap tahun terdapat 10 hingga 12 sekolah menengah dipilih untuk memberi ruang kepada pelajar universiti di Amerika Syarikat mengajar di sekolah terpilih,” katanya

Menurutnya, pendekatan yang dilaksanakan ini adalah sebahagian daripada usaha murni yang dilakukan Kerajaan Terengganu bagi meningkatkan mutu pendidikan di negeri ini di mana sebahagiannya tidak dilakukan di negeri lain.



03 January 2012

Lebih separuh pengundi golongan muda

Oleh; Esah Abdullah

Terdapat 315,835 daripada 597,671 orang atau 52.8 peratus pengundi merupakan golongan muda berusia 40 tahun ke bawah di seluruh negeri sehingga Jun 2011.

Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT), YB Haji Rozi Mamat berkata, daripada jumlah berkenaan terdapat 106,159 orang atau 17 peratus daripadanya merupakan pemilih baru dan pertama kali menjadi pengundi.

“Daripada jumlah keseluruhan pendaftar pemilih yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berakhir Jun tahun lalu lebih separuh terdiri golongan muda,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri.

YB Haji Rozi berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan Sijil Perlantikan Guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong di Dewan Utama UMNO Bahagian Hulu Terengganu hari ini.

“Saya yakin golongan muda hari ini sudah bijak menilai kerajaan mana yang boleh membantu mereka berjaya dalam mengharungi kehidupan pada zaman yang mencabar ini,” katanya.

Katanya, bagi melancarkan lagi proses pemilih baru setiap DUN dua pekerja sepenuh masa ditempatkan bagi memudahkan mereka membuat pendaftaran.

“Jawatankuasa pemuda cawangan bertindak membuat semakan di kampung masing-masing bagi mengenalpasti mereka yang genap 21 tahun dan membantu memudahkan proses daftar,” katanya.

Selain itu katanya, banyak aktiviti dan program dilaksanakan tujuan memberi pendedahan kerjaya serta pemahaman perancangan kerajaan untuk masa depan mereka.

Beliau tidak menolak adanya segelintir golongan muda begitu taksub kepada pembangkang tetapi jangan lupa kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memberi perhatian dalam apa juga bentuk bantuan bagi memastikan mereka mempunyai hala tuju yang boleh memberi manfaat kepada diri, keluarga dan negara.




21,024 murid melangkah ke Tahun Satu seluruh Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 129,471 murid di 349 sekolah rendah dengan 21,024 daripadanya murid Tahun Satu memulakan sesi persekolahan musim baru 2012 di seluruh Terengganu bermula hari ini.

Sementara 490 pelajar lagi berjaya meneruskan pelajaran ke Tingkatan Satu yang melibatkan 141 sekolah menengah kerajaan di negeri ini.

Daripada keseluruhan sekolah menengah kerajaan, hanya satu sekolah yang baru dibuka dan menerima pelajar untuk pertama kalinya tahun ini, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram, Kuala Terengganu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin, berkata jumlah murid Tahun Satu pada tahun ini sedikit bertambah berbanding tahun lalu yang merekodkan 20,297 orang.

“Daripada 20,297 orang murid, seramai 10,550 murid lelaki, sementara 9,747 murid perempuan.Jumlah murid yang memasuki Tahun Satu di seluruh Terengganu sejak enam tahun lalu merekodkan jumlah sekitar 20,000 hingga 22,000 murid setiap tahun,” katanya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, suasana di perkarangan sekolah kembali sibuk terutamanya sekolah kebangsaan yang melibatkan kemasukan murid Tahun Satu pada minggu pertama sesi 2012 yang baru bermula hari ini.

Pelbagai gelagat dan aksi kanak-kanak terutama yang baru melangkah ke alam persekolahan dapat disaksikan.

Hari pertama persekolahan juga menyaksikan jalan utama semakin sesak terutama di kawasan terdapat sekolah disebabkan ibu bapa meletakkan kenderaan di sekitar jalan utama dan luar pagar sekolah untuk menemani anak masing-masing, selain menguruskan pendaftaran persekolahan mereka.




10 anak Terengganu ke China dalami industri keluli

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 10 anak Terengganu akan dihantar ke China untuk mempelajari dan mendalami bidang industri keluli dan besi waja.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, langkah yang dirintis itu bagi menyediakan lebih ramai tenaga mahir bagi menggerakkan operasi kilang besi Eastern Steel yang sedang dibina di kawasan perindustrian Telok Kalong.

Menurut beliau, penghantaran bagi mengikuti kursus selama enam bulan itu yang dibiayai sepenuhnya syarikat berkenaan dijangka dilakukan selepas sambutan Tahun Baru Cina.

"Penghantaran mereka yang layak akan ditanggung oleh syarikat berkenaan," katanya beru-baru ini.

Dato’ Seri Ahmad tidak menolak kemungkinan lebih ramai akan dihantar untuk mengikuti kursus dan kerajaan negeri amat menggalakkan usaha itu bagi menampung perkembangan industri berat di negeri ini.


Tasik Kenyir pusat pelancongan keluarga kelas dunia

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu memperuntukkan kira-kira RM100 juta sepanjang tahun ini bagi membangunkan dan memajukan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan keluarga bertaraf antarabangsa.

Daripada jumlah itu, RM30 juta bagi pelancongan tasik itu, manakala selebihnya bagi membangunkan kawasan bebas cukai dengan memberi tumpuan kepada Zon Bebas Cukai meliputi Pulau Bayas sebagai `Kenyir Trade Centre’ dan Pengkalan Gawi yang melibatkan pembinaan terminal utama, kompleks dan kuaters kastam.

“Selain itu, tumpuan khusus juga diberikan kepada pembangunan fizikal di Santuari Kelah, mempelbagaikan produk Kenyir Island Hoping dengan mewujudkan Taman heliconia, Taman Rambutan serta Taman Botani. Pada masa yang sama turut membangunkan eko pelancongan Santuari gajah di Sungai Telemong,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Dalam perkembangan yang sama, bagi memastikan sektor pelancongan terus meningkat, kerajaan mengumumkan 2013 sebagai Tahun Melawat Terengganu, selain menjadikan setiap tahun adalah Tahun Melawat Terengganu.

Untuk rekod, pada 2010 seramai 2,815,149 pelancong melawat negeri ini, sementara tahun lalu pelancong diunjurkan mencecah 3.44 juta berikutan dalam tempoh enam bulan pertama seramai 1,885,832 pelancong sudahpun direkodkan.

Menurutnya, pada tahun ini, kerajaan mensasarkan seramai 3.78 juta pelancong akan mengunjungi negeri ini yang secara tidak langsung menyumbang kepada RM2.583 bilion kepada ekonomi negeri.

Menteri Besar berkata, kerajaan akan memastikan usaha berterusan digerakkan supaya sektor ini terus berkembang dan mampu memberi manfaat kepada rakyat secara langsung dan tidak langsung.

Malah, bagi menjana aspek itu, kerajaan memperuntukkan RM138.85 juta bagi melaksanakan pelbagai projek.