Halaman

20 January 2012

Rumah Terbuka Tahun Baru Cina - 23 Januari

Oleh: Aida Abd Rahman

Orang ramai dijemput memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina dengan menghadiri Rumah Terbuka sempena sambutan perayaan itu di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu pada 23 Januari (Isnin) ini.

Sambutan yang bermula jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari anjuran MCA Bahagian Kuala Terengganu.

Pengerusinya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Dato’ Toh Chin Yaw, berkata semua penduduk di sekitar Kuala Terengganu dijemput ke rumah terbuka itu yang akan menyediakan pelbagai menu istimewa yang boleh dinikmati semua kaum.

Katanya, program tahunan itu diharap bukan sahaja dapat mengukuhkan perpaduan, malah menyatukan semua penduduk tanpa mengira latar belakang dan bangsa bertepatan dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak.

Sebelum itu, katanya turut diadakan Malam Ambang Tahun Baru Cina di kawasan tokong Kampung Cina, pada malam 22 Januari (Ahad).



MDHT wujud Pondok Polis Komuniti

Oleh: Mastura Jamaluddin

Sebagai menyambut saranan Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT) yang telah mencadangkan Pelaksanaan Program Bandar Selamat yang mengandungi 23 Langkah Pencegahan Jenayah, Majlis Daerah Hulu Terengganu(MDHT) mewujudkan Pondok Polis Komuniti Kuala Berang bagi mewujudkan Bandar Selamat.

“Dengan kos RM10,500,kita telah membina Pondok Polis Komuniti ini untuk masyarakat membuat pelbagai aduan bagi mewujudkan Bandar yang selamat serta masyarakat yang harmoni.

“MDHT juga telah membina 13 buah lampu limpah (highmask) sebagai langkah pencegahan waktu malam untuk mengurangkan kadar jenayah seperti kecurian, maksiat dan sebagainya di samping 14 unit minimask di kawasan masjid dan sekolah,” kata Yang Dipertua MDHT, Haji Tallaha Ali .

Beliau berharap bandar Kuala Berang akan menjadi Bandar yang bebas dari semua ancaman fizikal, sosial dan mental, juga persekitarannya terpelihara dan yang paling penting penghuninya sentiasa berada dalam keadaan yang paling selamat,ceria dan sejahtera.

Katanya, ini sesuai dengan Kadar Indexs Jenayah Hulu Terengganu yang sentiasa terkawal .

Majlis penyerahan Pondok Polis Komuniti dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang, YB Haji Mohd Zawawi Ismail, baru-baru ini.

Hadir sama ialah Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, ASP Mohd Rosli Mohd Amir, wakil-wakil Pejabat Daerah, Ahli-ahli Majlis Daerah dan ketua-ketua jabatan serta masyarakat sekitar bandar.





Perpustakaan desa beri impak positif

Oleh: Suriati Ali

Pendekatan kerajaan negeri melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) mewujudkan 88 buah perpustakaan desa di seluruh negeri ini nyata memberi impak positif kepada penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pihaknya bangga dengan sikap penduduk pedalaman yang gemar mengunjungi `gedung ilmu’ atau perpustakaan berbanding mereka tinggal di kawasan bandar.

Berdasarkan perangkaan, perpustakaan desa mencatatkan 512,477 bilangan pengunjung pada tahun lalu, perpustakaan daerah dan pekan (354,372 pengunjung) dan perpustakaan pusat pula seramai 244,200 pengunjung.

“Sikap ini sewajarnya dicontohi, walaupun tingal di kawasan pedalaman dan kurang kemudahan awam untuk ke perpustakaan mereka tetap berusaha meluangkan masa,” katanya ketika dihubungi pemberita Teganukita, baru-baru ini.

Menurutnya, usaha PPAT menganjurkan 60 program ilmu dalam tempoh setahun bukan sahaja mampu meningkatkan jumlah pengunjung sedia ada malah memberi manfaat berguna kepada pelajar dan masyarakat.

“Setiap Sabtu pasti ada program khas untuk kanak-kanak, manakala satu aktiviti umum dalam tempoh sebulan dianjurkan, semata-mata ingin membuka minda masyarakat tentang pentingnya ilmu pengetahuan selain membuka peluang mencari bahan dan maklumat terkini,” katanya.

Antaranya adalah program jalinan ilmu, kuiz setempat, kaedah membina blog, bengkel teknik bercerita, pameran fotografi, pertandingan bercerita, mari mewarna serta melukis dan jelajah ilmu


Lawatan kerja sehari Perdana Menteri ke Terengganu 3 Februari

Oleh FAUZI MOHD

Dato' Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan kerja sehari ke Terengganu pada 3 Februari ini, kata Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said.

Menurutnya, Perdana Menteri akan bertemu rakyat di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili parti pembangkang di Batu Buruk, Ladang dan Rhu Rendang.

Setibanya di Kuala Terengganu katanya, Perdana Menteri ke Majlis Agihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di DUN Batu Buruk sebelum Solat Jumaat dan menyertai jamuan rakyat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di DUN Ladang.

"Kemudian, beliau bertemu rakyat di DUN Rhu Rendang, Marang untuk majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia," katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Program Pemukiman Kepimpinan UMNO Terengganu di Janda Baik, Pahang sebentar tadi.



Jangan buat spekulasi calon PRU 13 - Ahmad Said

Oleh FAUZI MOHD

Dato' Seri Ahmad Said meminta pihak-pihak tertentu tidak membuat spekulasi berhubung siapa yang bakal dicalonkan atau digugurkan pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 akan datang.



Sebaliknya, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu meminta pihak terbabit bertenang kerana tiada sebarang arahan daripada pucuk pimpinan parti supaya menyerahkan nama-nama calon Barisan Nasional kepada Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak.

"Pelbagai cerita tersebar melalui khabar angin, kedai kopi, SMS (sistem pesanan ringkas) dan sebagainya berhubung calon-calon yang bertanding serta calon-calon yang digugurkan. Spekulasi itu bohong belaka.

"Buat masa ini saya minta semua pihak bertenang kerana ini akan mencetuskan persaingan tidak sihat. Saya baru saja bermesyuarat bersama Dato' Seri Najib (Presiden UMNO) dan isu calon langsung tidak disentuh," katanya.



Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Program Pemukiman Kepimpinan UMNO Terengganu di Janda Baik, Pahang sebentar tadi.

Kata Dato' Seri Ahmad, perkara itu akan dipanjangkan kepada semua UMNO Bahagian secara bertulis apabila mendapat isyarat daripada Presiden parti berhubung penyenaraian cadangan calon PRU ke-13 kelak.

"Proses seperti biasa dimana UMNO Bahagian akan menyenaraikan cadangan calon masing-masing untuk dihantar kepada Perdana Menteri," jelasnya.


19 January 2012

500 pemimpin UMNO Terengganu sertai program pemukiman

Oleh FAUZI MOHD



Seramai 500 pemimpin UMNO dari seluruh negeri hari ini akan melancarkan program pemukiman selama tiga hari di Janda Baik, Pahang bagi memperkasakan jentera parti dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.


Pengarah program itu, Datuk Wira Rosli Mat Hassan berkata, program tersebut akan dijadikan platform untuk mengenal pasti, memperbaiki serta membuat perancangan bersama dalam misi mengekalkan Terengganu di bawah pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional.

"Melalui pemukiman itu, kami akan memberi tumpuan dan penekanan kepada kaedah penyelesaian menerusi pendekatan 'analisis bersilang' yang meliputi kajian kepada kekuatan, kelemahan, peluang dan juga ancaman," katanya kepada Teganukita di Janda Baik, Pahang sebentar tadi.




Tambah beliau, ucapan perasmian akan disempurnakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said malam ini dan diikuti taklimat Program Transformasi Kerajaan (GTP) oleh Menteri Belia dan Sukan, Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek.

Katanya, peserta akan melalui tiga sesi ceramah yang antaranya akan disampaikan Setiausaha Kerja UMNO, Dato' Ab. Rauf Yusof dan penganalisis politik, Dato' Seri Alies Anor Abdul.

"Turut diadakan Malam Harmoni bersama Setiausaha Agung UMNO, Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, acara sukaneka serta diskusi agama bersama Dato' Zainal Abidin Sakom dan Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya," jelasnya.

Majlis perasmian penutup akan disempurnakan Naib Presiden UMNO, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein Sabtu ini.


BRIM pemberian ikhlas kerajaan untuk rakyat

Oleh; Esah Abdullah

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri kesal dengan tindakan pihak tertentu yang sanggup mempengaruhi penduduk kampung agar tidak mengisi borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) dengan dakwaan kononnya bantuan tersebut adalah tindakan kerajaan untuk memancing undi.

“Mereka sungguh-sungguh minta rakyat jangan isi borang tu (BRIM) dan jangan harap duit tu kerana memang ia tidak dapat pun,” katanya di majlis penyampaian BRIM bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tunggal, petang semalam.

Hadir sama, Pegawai Pembangunan DUN Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik dan Penghulu Mukim Kuala Nerus, Encik Muhamad Abu Bakar.

Dato’ Haji Mohd Nasir berkata, tindakan tidak bertanggungjawab pihak berkenaan terbongkar bila ada orang datang kepada beliau di majlis penyampaian bantuan BRIM di DUN Seberang Takir menyatakan kekesalan kerana mereka tidak mengisi borang BRIM.

“Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan membela rakyat tanpa mengira fahaman politik Pas, DAP, Keadilan ke semua dapat bantuan ini,” katanya.

Menurutya, pihak penyelaras berjaya mengesan siapa dalang yang menghasut orang kampung malah dia ada dalam senarai sebagai orang pertama yang mengisi borang BRIM.

Dato’ Haji Mohd Nasir kemudiannya meminta orang ramai masih belum terlambat untuk mendapatkan RM500 pemberian kerajaan BN kerana tarikh daftar telah dilanjutkan hingga 10 Februari depan.

Seramai 11,836 penerima BRIM dalam Parlimen Kuala Nerus membabitkan peruntukan RM591,800, yang mula diagihkan sejak 15 Januari lalu dan jumlah ini termasuklah dari DUN Bukit Tunggal (2,336 orang), Seberang Takir (2,500), Tepoh (4,000) dan Teluk Pasu, (3,000).

“Ini agihan peringkat pertama dan bila kerajaan lanjutkan tempoh permohonan, saya yakin masih ada yang tercicir dulu dan yakin perkara ini dapat diselesaikan sepenuhnya akhir bulan depan,” katanya




Sultan Mizan berkenan sertai pertandingan kuda lasak

Oleh: Suriati Ali

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bersama dua anakanda baginda berkenan menyertai di Taman Ekuestrian Antarabngsa Terengganu, Lembah Bidong, Setiu pada 21 Januari ini.

Pertandingan anjuran Kelab Ekuestrian al-Khathiri itu itu akan membabitkan dua kategori iaitu 80 kilometer (km) dan 50 km.

Pelepasan peserta pertandingan akan disempurnakan oleh pengerusi kelab itu, Shaikh Abdul Halim Al-Kathiri, kira-kira 6.15 pagi. Seramai 50 peserta dijangka menyertai pertandingan yang berlangsung selama dua hari.

Penerangan Bajet 2012 untuk Zon Tengah, 26 Januari

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri akan menganjurkan Penerangan Bajet 2012 bagi Zon Tengah yang bertempat di Stadium Negeri, pada 26 Januari ini (Khamis) jam 10 pagi.

Program anjuran Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu, Pejabat Kewangan Negeri serta Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) itu bertujuan memberi gambaran sebenar mengenai Bajet 2012 yang dibentangkan Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said dalam Sidang Dewan Undangan Negeri pada 5 Disember lalu.

Jurucakap program, susulan Diskusi Bajet 2012 yang diadakan pada 10 Januari lalu mendapat sambutan baik, pihaknya berhasrat meneruskan program itu dan mensasarkan semua Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) bagi Zon Tengah dapat menyertai program berkenaan.

Selain JKKK, semua pemimpin masyarakat dan politik disaran supaya meluangkan masa menyertai program itu supaya mendapat input daripada penerangan itu nanti.

Katanya, pihak penganjur menjemput semua pemimpin masyarakat, jawatankuasa Umno Bahagian dan sayap, ketua dan setiausaha cawangan dalam semua parlimen di Zon Tengah menghadiri program itu nanti.

“Selain menerangkan kepada rakyat mengenai kepentingan Bajet 2012 kita juga mahu supaya mereka sedar dan faham segala perbelanjaan kerajaan yang menggunakan pendekatan pembangunan berkonsepkan `Merakyat Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu’.

“Jangan lepaskan peluang menyertai penerangan bajet yang akan mengupas lebih jelas dan terperinci kepentingan bajet yang berteraskan kesejahteraan rakyat ini,” katanya.



Daerah baru Kuala Nerus mampu bersaing

Oleh; Esah Abdullah

Kewujudan daerah baru Kuala Nerus mampu bersaing dengan daerah-daerah lain kerana banyak kemudahan insfrastruktur berada dalam kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, pembangunan sedia ada seperti Stadium Sultan Mizan, Masjid Kristal, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika membuat pembentang bajet 2012 Disember lalu mengumumkan peruntukan RM20 juta bagi tujuan pembangunan daerah baru Kuala Nerus.

“ Saya bersyukur dan gembira dengan berita itu dan berharap pengistiharan mengenainya dapat dibuat dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal di Sekolah Menengah Bukit Tunggal (SMK) petang semalam.

Tambahnya lebih 100,000 penduduk sedang menanti penuh debar pengisytiharan yang akan dibuat oleh pemimpin nombor satu negeri itu pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

“Saya harap ia dapat diumumkan sebelum menjelang tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan diumumkan Perdana Menteri,” katanya.

Katanya, di samping pembangunan sedia ada, masih terdapat beberapa kekurangan yang perlu diberi penambahbaikan termasuk pembinaan Pejabat Daerah dan Pejabat Agama yang akan berurusan terus dengan masyarakat setempat.

“Ia sebahagian daripada langkah agar kawasan yang pesat berkembang dan padat dengan penduduk itu dapat menikmati perkhidmatan perbandaran dan program pembangunan sosial dengan lebih baik,” katanya.

Menurutnya, daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu mempunyai keluasan kawasan sama namun Kuala Terengganu mempunyai kepadatan penduduk melebihi Kuala Nerus.