Pendekatan kerajaan negeri melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) mewujudkan 88 buah perpustakaan desa di seluruh negeri ini nyata memberi impak positif kepada penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman.
Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pihaknya bangga dengan sikap penduduk pedalaman yang gemar mengunjungi `gedung ilmu’ atau perpustakaan berbanding mereka tinggal di kawasan bandar.
Berdasarkan perangkaan, perpustakaan desa mencatatkan 512,477 bilangan pengunjung pada tahun lalu, perpustakaan daerah dan pekan (354,372 pengunjung) dan perpustakaan pusat pula seramai 244,200 pengunjung.
“Sikap ini sewajarnya dicontohi, walaupun tingal di kawasan pedalaman dan kurang kemudahan awam untuk ke perpustakaan mereka tetap berusaha meluangkan masa,” katanya ketika dihubungi pemberita Teganukita, baru-baru ini.
Menurutnya, usaha PPAT menganjurkan 60 program ilmu dalam tempoh setahun bukan sahaja mampu meningkatkan jumlah pengunjung sedia ada malah memberi manfaat berguna kepada pelajar dan masyarakat.
“Setiap Sabtu pasti ada program khas untuk kanak-kanak, manakala satu aktiviti umum dalam tempoh sebulan dianjurkan, semata-mata ingin membuka minda masyarakat tentang pentingnya ilmu pengetahuan selain membuka peluang mencari bahan dan maklumat terkini,” katanya.
Antaranya adalah program jalinan ilmu, kuiz setempat, kaedah membina blog, bengkel teknik bercerita, pameran fotografi, pertandingan bercerita, mari mewarna serta melukis dan jelajah ilmu