Halaman

16 January 2012

Beri ganjaran jika berjaya kutip hasil

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri berhasrat memberi ganjaran setimpal kepada Pejabat Tanah di negeri sekiranya berjaya mengutip 85 peratus hasil tahunan daripada keseluruhan hak milik tanah di daerah masing-masing.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata urusan masyarakat berkaitan tanah semakin hari semakin rancak perjalanannya. Jangka masa proses berkaitan permohonan tanah, serah balik beri milikan semula, tukar syarat, pecah bahagian dan pecah sempadan dapat disingkatkan.

“Sebagai contoh, sebanyak 1,832 permohonan tukar syarat dapat diselesaikan dengan sempurna bagi tahun lalu berbanding 1,328 permohonan bagi 2010.

“Jangka masa proses tukar syarat telah dipersetujui untuk sampai ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam tempoh tidak sampai tiga bulan,” katanya ketika berucap di satu majlis baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap bagi tahun ini, proses sama dapat disingkatkan lagi sehingga tempoh 30 hari di Pejabat Tanah di setiap daerah sebelum di hantar ke Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) untuk dibawa kepada pertimbangan MMKN.

“Saya percaya perkara ini boleh dilaksanaka jika semua pihak yang terlibat mampu melakukan anjakan paradigm dan tugasan masing-masing.

“Kesemua warga pentadbiran daerah juga perlu mahir dengan sistem atas talian pengurusan tanah yang sedia di jabatan masig-masing seperti e-Convert, e-Consent dan e-Mohon supaya proses permohonan dapat dipercepatkan,” katanya.