Halaman

16 January 2012

Program Semai Bakti Parlimen Kemaman 2012

Oleh: Nurul Aziela Saberi



Hujan lebat tidak mematahkan semangat orang kampung dan golongan belia bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar Kampung Kuala Kemaman, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kemaman, YB Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek turut meluangkan masa bersama orang kampung dalam menyertai program tersebut.

Program ini merupakan anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung JKKK Kuala Kemaman, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kemaman serta Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kemaman dan turut dimeriahkan dengan kehadiran sukarelawan dari Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Belia Negeri Terengganu, INSPI dan Ranaco.

Menurut YB Dato’ Seri Ahmad Shabery yang juga Menteri Belia dan Sukan, kerajaan akan membantu membina semula dan memperbaiki sekurang-kurangnya 41 buah rumah penduduk kampung terbabit yang musnah dipukul ombak besar akhir tahun lalu.

“Kerajaan juga akan membina semula dan menaik taraf 10 jeti pendaratan ikan yang rosak ketika kejadian ombak besar selain memberi bantuan lain seperti enjin bot, peralatan menangkap ikan dan beberapa keperluan lain bagi membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri bertekad tidak mahu mengalah dan tidak akan membenarkan Kuala Kemaman pupus begitu sahaja. Sehubungan itu, kerajaan akan membina tembok-tembok bagi menahan pukulan ombak yang kuat agar kampung ini masih selamat untuk diduduki.

Sementara itu, Ketua JKKK Kuala Kemaman Haji Wan Ali Embong berasa amat berbangga dengan kehadiran YB Dato’ Seri Ahmad Shabery kerana sudi meluangkan masa bersama membersihkan kawasan sekitar kampung.