Usaha berterusan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) meningkatkan bilangan usahawan di negeri ini ke tahap lebih global serta memaju dan menambah daya saing mereka semakin berhasil apabila berjaya muncul naib johan keseluruhan pada Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Showcase 2011 baru-baru ini.
Dalam pertandingan yang berlangsung tiga hari, di Melaka International Trade Centre (MITC), Terengganu berjaya menggondol hadiah utama bagi Kategori Produk Minuman Terbaik yang mengetengahkan produk Roselle dan Kategori Produk Kraf Terbaik menerusi `Terengganu Leather’.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata inisiatif yang digembeleng YPU serta usahawan dengan menampilkan produk berkualiti dan diterima pengguna membolehkan Terengganu muncul naib johan dan menggondol wang tunai RM75,000.
Manakala kemenangan di tempat pertama bagi kedua-dua katagori itu membolehkan masing-masing mendapat RM4,000.
Dalam pada itu, program SDSI diperkenalkan sebagai Satu Kampung Satu Produk (SKSP) pada 1992, sebelum program ini dikembangkan menjadi Satu Kampung Satu Industri SKSI) pada 2002 dan setahun kemudian ditukar kepada SDSI.
SDSI meliputi skop lebih luas yang berkonsepkan pembangunan produk atau perkhidmatan yang beridentitikan satu daerah yang menghasilkan produk secara komersial untuk menarik minat pelancong ke kawasan itu.
Program ini menjurus ke arah pembangunan budayamasyarakat kreatif dan berinovasi sekaligus memupuk keharmonian bermasyarakat melalui aktiviti sosio-ekonomi secara komuniti.
Konsep baru dilaksanakan pula berorientasikan model perniagaan yang lebih berdaya tahan dan berdaya maju serta mempunyai rantaian nilai tambah yang tinggi untuk mendapat manfaat sepenuhnya.
Melalui konsep ini, SDSI tidak dianggap semata-mata pekerjaan sampingan dan pendapatan tambahan yang boleh mmebasmi kemiskinan, sebaliknya sebagai satu bentuk perniagaan yang mampu menjana potensi serta prospek yang menjamin pendapatan berterusan.